Presiden Indonesia, Pemimpin Dunia Kutuk Pegeboman Bunuh Diri Di Jakarta

Rina Chadijah
2017.05.25
Jakarta, Indonesia
170525_ID_Bombing_1000.jpg Anggota-anggota Polis Indonesia mengiringi Ning Wiyarti, ibu pegawai polis Imam Gilang Adinata yang dibunuh oleh seorang pengebom bunuh diri, selepas pengebumian Imam di Jakarta, 25 Mei, 2017.
AFP

Pemimpin-pemimpin dunia menyertai Presiden Indonesia pada Khamis dalam mengutuk serangan pengganas yang menyebabkan tiga anggota polis mati di luar terminal bas yang sibuk di kawasan Jakarta.

Tiada kumpulan militan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan pada malam Rabu itu, tetapi pegawai-pegawai Indonesia menunjukkan potensi kaitannya dengan Negara Islam (IS) tanpa mendedahkan sebarang butiran. Dua orang yang disyaki pengebom turut terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam serangan pengganas terburuk itu di ibu negara Indonesia sejak Januari 2016.

Presiden Joko "Jokowi" Widodo menggesa siasatan menyeluruh dilakukan berhubung keadaan yang membawa kepada serangan itu, dengan pemimpin kerajaan Malaysia berkata kejadian itu boleh dikaitkan dengan kematian seorang pemimpin IS serantau yang berpangkalan di Syria, baru-baru ini.

"Ini sudah keterlaluan. Mangsanya adalah pemandu teksi motosikal dan pengangkutan awam, penjaja dan anggota polis, "kata Jokowi kepada wartawan di Solo, Jawa Tengah, pada pagi Khamis.

"Saya telah mengarahkan Ketua Polis Nasional untuk menyiasat secara terperinci rangkaian sel pelakunya. Buru mereka hingga ke akar umbi," katanya, sambil menggesa orang ramai supaya bertenang.

Di negara jiran, Malaysia, Perdana Menteri Najib Razak mencatatkan mesej yang menyuarakan  sokongan kepada Indonesia di laman Facebook.

“Rakyat Malaysia bersama-sama dengan rakyat Indonesia pada waktu seperti ini," kata beliau. Berlaku selang tidak berapa lama dengan kejadian pengeboman menyedihkan di Manchester (England),  kejadian terbaru yang mengejutkan ini menunjukkan keganasan tidak mempunyai sempadan dan mengenal bangsa serta fahaman. Ingatan dan doa saya buat orang-orang tersayang yang berkenaan.”

Najib berkata rantau itu akan menjadi lebih kukuh.

“Walaupun pengganas cuba untuk menakutkan kita, namun kita mesti merasa tidak gentar dengan mereka. Setiap kekejaman mesti mengentalkan keputusan kita. Lebih-lebih lagi, inilah masanya untuk kita bersatu padu walaupun keganasan ekstrem cuba memecah-belahkan kita," kata beliau.

Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull pula berkata, beliau telah bercakap dengan Jokowi dan berjanji untuk mengukuhkan sokongan negaranya terhadap Indonesia.

Para pengguna media sosial juga mengutuk serangan itu, dengan menggunakan hashtag Twitter #KamiTidakTakut dan #PrayForJakarta untuk menyampaikan mesej mereka. Tag tersebut mendahului senarai trending pada Khamis.

Berikutan serangan yang didakwa dilakukan Negara Islam di tengah Jakarta pada Januari 2016 yang mengorbankan lapan orang termasuk empat suspek, para pengguna media sosial menggunakan hashtag sama untuk menunjukkan bantahan dan kemarahan mereka, bersama-sama dengan sokongan dan  solidariti kepada mangsa.

 

 

 

 

 

 

 

 

Bukti

Para penyiasat menjumpai beg galas, kepingan aluminium, bebola logam dan bahan-bahan yang dipercayai untuk membuat bom di tempat kejadian, kata jurucakap Polis Nasional Inspektor Jeneral Setyo Wasisto kepada pemberita pada Khamis.

Polis turut menemui resit bagi sebuah periuk tekanan dalam poket seorang daripada pengebom yang dipersalahkan kerana bagi serangan terbaru itu, yang berlaku kira-kira 9 malam Rabu di luar terminal bas Kampung Melayu di Jakarta Timur.

Pegawai-pegawai mengeluarkan sedikit maklumat tentang para pengebom itu, dengan menyatakan singkatan nama mereka adalah A.S. dan I.N.S. Setyo berkata pasangan itu, yang meledakkan bahan letupan mereka selang beberapa minit, menyasarkan pihak polis.

"Para pelakunya masih dalam siasatan. Sila bersabar, kami akan mengeluarkan maklumat apabila kita mempunyai maklumat lanjut, "kata Setyo kepada pemberita, sambil menambah kata bahawa polis sedang memeriksa padanan  DNA dan hubungan dengan rangkaian pengganas untuk membuktikan identiti mereka.

Anggota-anggota Densus 88, skuad elit bagi menangani keganasan negara, telah menyerbu rumah suspek pada Khamis, menurut laporan media.

Setyo mengaitkan serangan Rabu itu dengan pengeboman di sebuah taman pada awal tahun ini di wilayah Jawa Barat.

“Para penyiasat menemui bukti yang menunjukkan persamaan dengan insiden di Bandung tidak lama dahulu," kata Setyo sambil merujuk kepada letupan di taman awam di ibu kota wilayah Jawa Barat pada 27 Feb. Tiada siapa yang cedera apabila Yayat Cahyadi, 42, meletupkan bom periuk tekanan, tetapi dia kemudian terbunuh semasa insiden tembakan dengan polis ketika melarikan diri ke dalam sebuah bangunan pejabat berhampiran.

Pada masa itu, polis mengaitkan Yayat dengan Jamaah Ansharut Daulah (JAD), sebuah pertubuhan militan Indonesia yang telah menyatakan sokongan kepada IS.

Kaitan rasmi Malaysia kepada Wanndy

Pada Khamis juga, timbalan perdana menteri Malaysia mengaitkan dua pengeboman di Jakarta Timur dan serangan di Asia Tenggara baru-baru ini dengan kematian perekrut Malaysia bagi IS Muhammad Wanndy Bin Mohamed Jedi, yang terbunuh dalam satu serangan pesawat di Syria pada April.

"Berdasarkan penemuan oleh unit perisikan, serangan keganasan terbaru di selatan Thailand, Mindanao dan Jakarta mempunyai kaitan dengan satu sama lain," kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi kepada pemberita. "Pembunuhan Muhammad Wanndy, seorang daripada penyelaras untuk Katibah Nusantara, dikaitkan dengan serangan pengeboman di lokasi-lokasi ini."

Para pegawai dan penganalisis di negara-negara lain menafikan komen Zahid itu.

Di Thailand, di mana letupan bom paip di sebuah hospital mencederakan 21 orang pada Isnin, Ketua Polis Nasional Jeneral Chakthip Chaijinda memberitahu pemberita beliau tidak mempunyai maklumat risikan yang mengaitkan serangan itu.

"Jika IS bertanggungjawab bagi serangan di hospital yang dikendalikan pihak tentera itu, kumpulan pengganas akan secara terbuka mengambil kredit bagi kejadian itu seperti yang dilakukan dalam serangan pengganas di negara-negara lain sebelum ini," katanya kepada pemberita.

Sidney Jones, Pengarah Institut bagi Analisis Dasar Konflik di Jakarta, juga mempersoalkan kenyataan Zahid mengenai kaitan dengan Wanndy.

"Itu nampaknya tidak mungkin, terutamanya kerana tidak ada saranan yang kumpulan Bandung bertanggungjawab bagi serangan Jakarta mempunyai sebarang kaitan dengan Wanndy dan tidak ada saranan daripada sesiapa pun dalam kumpulan Maute bahawa kematiannya menjadi satu daripada faktornya," kata beliau kepada BeritaBenar. Beliau merujuk kepada kumpulan Maute, sebuah pertubuhan militan yang dikaitkan dengan IS yang terikat dalam pertempuran tiga hari dengan pasukan keselamatan kerajaan Filipina di selatan bandar Marawi.

Bagaimanapun, Jones pernah berkata bahawa serangan Jakarta kemungkinan dilakukan oleh kumpulan pro-IS, menurut perkhidmatan berita Reuters.

Zachary Abuza, seorang pakar tentang pemberontakan Asia Tenggara yang berpejabat di AS, juga mempersoalkan komen Zahid.

"Ya, sel-sel IS mungkin mahu bertindak balas selepas kematian pemimpin kanan seperti Muhammad Wanndy. Tetapi, tiada bukti langsung bahawa adanya kaitan dengan pengeboman Big C di Pattani, atau mana-mana keganasan berkaitan pemberontakan itu, "kata Abuza, seorang profesor di Kolej Perang Nasional di Washington, kepada BeritaBenar menerusi e-mel.

Beliau merujuk kepada dua serangan bom kereta yang mencederakan sekurang-kurangnya 69 orang di pasar raya Big C di Pattani, sebuah wilayah dilanda pergolakan di Thailand dan majoriti penduduknya adalah Islam di Selatan Thailand, pada 9 Mei lalu.

"Pengeboman berlaku di Indonesia apabila mereka  bersedia melakukannya,  terutamanya setelah rekod Densus 88 menunjukkan ia mengganggu sel-sel baru-baru ini," kata Abuza. "Ini adalah secara kebetulan. Saya rasa tiada kemungkinan langsung adanya sebarang penyelarasan. "

Ada kaitan dengan JAD - Penganalisis

Menurut Taufik Andrie, pengarah eksekutif Yayasan Prasasti  Perdamaian,  sebuah badan pemikir di Jakarta, keterangan mengenai jenis bom yang digunakan dalam serangan di Jakarta Timur menunjukkan para penyerangnya menganggotai sebuah kumpulan Indonesia yang menyokong IS.

Selain itu, bom-bom berkenaan adalah sama seperti yang digunakan dalam cubaan serangan yang digagalkan di bandar-bandar Bandung, Bekasi dan Tangerang di Jawa Barat dalam tempoh tujuh bulan lepas yang membawa kepada penangkapan beberapa pengebom yang disyaki, katanya.

Pada Disember, seorang wanita, Dian Geografi Novi, ditahan kerana disyaki cuba meletupkan dirinya semasa majlis menukar pengawal di luar istana presiden di Jakarta.

"Nampaknya, kali ini, eksperimen mereka berjaya. Andaian saya kini membawa kepada kumpulan JAD," kata Taufik kepada BeritaBenar.

Al Chaidar, seorang penganalisis keganasan di Universiti Malikussaleh di Lhokseumawe, Aceh, berkata, serangan itu ada kaitan dengan IS kerana kumpulan militan itu baru-baru ini menggesa supaya dilakukan serangan serentak di wilayah-wilayah termasuk di Asia Tenggara.

Beliau bersetuju dengan Taufik bahawa serangan itu mungkin dikaitkan dengan JAD.

"Bom periuk tekanan adalah sama dengan corak serangan IS dan sudah tentu JAD adalah (pertubuhan pengganas) yang paling kuat pada masa ini di Indonesia," katanya.

 

Ray Sherman di Kuala Lumpur dan Kusumasari Ayuningtyas di Solo, Indonesia, turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.