Lima Warga Nigeria Ditahan Edar Kitab Injil Secara Terbuka Kepada Orang Awam
2018.11.08
Kuala Lumpur, Malaysia

Lima warganegara Nigeria telah ditahan pihak berkuasa Malaysia selepas dipercayai dengan sengaja mahu menyebarkan ajaran Kristian secara terbuka di Pulau Pinang, demikian disahkan oleh Polis DiRaja Malaysia.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, SAC Roslee Chik mengesahkan penangkapan kesemua mereka termasuk tiga wanita yang ditahan semasa sedang mengedarkan kitab Injil dan majalah bertajuk "Rhapsody Of Realities" yang dipercayai dibawa masuk daripada Amerika Syarikat pada Rabu.
"Kami menahan mereka selepas hasil risikan mendapati mereka mengedarkan kitab Injil secara terbuka dan sewaktu ditahan kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Kitab Injil yang dirampas dari mereka adalah sama seperti yang diedarkan oleh dua individu di hadapan sekolah menengah pada Jumaat lalu. Tapi mereka tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain," kata Roslee kepada BeritaBenar.
Menurut Roslee, kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Seksyen 298 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
Dibawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Kami menahan mereka selama 14 hari dan turut akan disiasat dibawah akta Immigresen." tambah Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang itu.
Siasatan awal mendapati kelima-lima mereka tiba di Pulau Pinang pada Selasa bersama tujuh lagi individu dan polis masih mengesan tujuh lagi untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, Roslee juga mengesahkan bahawa pihak polis sedang menyiasat dakwaan sebanyak 200 buah kitab Injil New Testament (Psalms Proverbs) yang dicetak di Amerika Syarikat telah di edarkan kepada lebih kurang 200 orang pelajar Melayu, Cina dan India disebuah sekolah di Bukit Mertajam Pulau Pinang pada Jumaat lalu.
Roslee turut mengesahkan tiga laporan polis sudah dibuat keatas kejadian itu dan kes disiasat di bawah seksyen 298 kanun keseksaan.
Beliau berkata bahawa pihak polis masih belum menahan mana-mana individu yang terlibat dalam pengedaran kitab di Bukit Mertajam itu, tetapi telah mengenal pasti salah seorang suspek.
"Setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan tetapi kita sudah kenalpasti salah seorang dari mereka,” katanya beliau.
Termaktub dalam perlembagaan negara
Pengedaran kitab Injil ataupun mana mana ajaran lain selain Islam dilarang di Malaysia dan ianya termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia di bawah fasal 4 yang menyatakan bahawa penyebaran agama selain dari Islam dilarang.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa ketika ditemui pemberita pada Rabu berkata, “Pihak kami juga sedang menunggu laporan polis dan hasil siasatan mereka. Polis akan mengambil maklumat daripada sekolah dan pelajar. Kita tunggu sahaja siasatan pihak polis,"
Beliau turut berkata kejadian pengedaran kitab Injil secara terbuka itu tidak dijalankan oleh pihak gereja di Pulau Pinang.
"Pihak gereja di Pulau Pinang memberitahu saya bahawa mereka tidak menjalankan aktiviti sebegini. Aktiviti ini dijalankan oleh pihak persendirian dan bukannya dari gereja," tambah menteri itu lagi.
Pertubuhan bukan kerajaan berhaluan kanan sewaktu dihubungi BeritaBenar meluahkan rasa bimbang mengenai kejadian tersebut.
Kamaruzaman Mohamad daripada Persatuan Pembela Ummah Malaysia (Ummah) menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelaku kes itu.
"Di bawah Perlembagaan, orang bukan Islam tidak dibenarkan menyebarkan agama mereka. Tindakan ini mencabar Perlembagaan negara. Pihak polis harus mengambil timdakan tegas terhadap mereka yang terlibat. Ia akan mengancam agama Islam di Malaysia," kata Kamaruzaman ketika dihubungi.
Isu agama dieksploitasi
Dalam pada itu, parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam satu kenyataan berkata aktiviti pengedaran kitab Injil sudah lama berlaku di Malaysia.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman, perkara itu sudah lama berlaku sejak tahun 2013 dan 2014.
"Siapa yang melakukannya, kita kurang pasti tetapi saya secara peribadi tidak mempunyai masalah dengan perkara ini cuma tidak semua orang bersetuju. Saya beranggapan orang Melayu patut tahu isi ajaran agama selain Islam yang diiktiraf Perlembagaan di negara ini. Ia sekadar untuk menambah pengetahuan," kata Faiz dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, “Namun tidak semua Melayu mampu berfikiran kritis, rasional dan analitikal, maka penyebaran sebarang kitab agama selain Islam kepada orang Islam, lagi-lagi dicetak dalam Bahasa Melayu akan menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang di negeri-negeri dalam Semenanjung Malaysia,”
Jelasnya lagi, perkara itu juga mungkin bakal dijadikan modal politik perkauman oleh pihak tertentu untuk menanamkan rasa benci terhadap orang bukan Islam di Malaysia.
"Isu agama dan bangsa mudah dieksploitasi. Saya mohon agar Dr Mujahid berhati-hati dengan kes sebegini. Ini mungkin satu bentuk fitnah dan provokasi agar dapat menimbulkan perasaan benci orang Melayu-Islam terhadap kaum lain dan pentadbiran kerajaan baru," tegas beliau.
Malaysia mempunyai penduduk berbilang kaum seramai 38 juta orang setakat 2018.
Kaum Melayu berjumlah 68.3 peratus diikuti masyarakat Cina, 23.8 peratus, dan kaum India 7 peratus daripada penduduk Malaysia.
Islam adalah agama rasmi Malaysia seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan negara dengan kaum lain dibenarkan untuk mengamalkan cara dan kepercayaan mereka tetapi tidak dibenarkan untuk menyebarkan agama mereka secara terbuka.