Pertempuran Marawi Beri Ilham Kepada Ekstremis, Amaran Badan Pemikir Jakarta

John Bechtel
2017.07.21
Washington DC
170721-PH-IPAC-620.jpg Militan yang dikaitkan oleh Negara Islam dipindahkan ke sebuah kenderaan polis setelah ditangkap di sebuah kampung di Marawi City, selatan Filipina, 3 Jun 2017.
AFP

Keupayaan militan yang berkait dengan Negara Islam (IS) mengawal beberapa bahagian di bandar Marawi, Selatan Filipina mampu memberi kesan jangka panjang kepada ekstremis di Asia Tenggara, kata sebuah badan pemikir Indonesia  yang memberi amaran itu dalam satu  laporan yang diterbitkan pada Jumaat.

Bandar Marawi yang diserang berterusan selama dua bulan dari pihak berkuasa kerajaan boleh memberi inspirasi kepada pengganas di rantau itu serta dilihat dapat membawa strategi serantau yang lebih teratur kepada kumpulan ekstremis.

Selain itu, ia juga dilihat dapat memperkuatkan organisasi pro-IS di Indonesia dan Malaysia, demikian menurut laporan Institut Analisa Dasar Konflik (IPAC), sebuah badan pemikir yang berpejabat di Jakarta.

“Risiko tidak akan berakhir apabila pihak tentera mengisytiharkan kemenangan,” Pengarah IPAC Sidney Jones berkata dalam laporan itu. “Indonesia dan Malaysia akan menghadapi ancaman baru dalam bentuk pengganas yang pulang dari Mindanao, dan di Filipina pula akan melihat pertumbuhan sel yang kecil dengan lebih banyak beserta kemampuan melakukan keganasan dan indoktrinasi.”

Laporan bertajuk “Marawi, ‘Wilayah Asia Timur’ dan Indonesia,” membandingkan gambar-gambar yang dimuatnaik ke laman media sosial selepas pertempuran bermula pada 23 Mei lalu yang menunjukkan pengganas mengangkat senjata mereka dalam keadaan tersenyum, dengan gambar kemenenangan dari Mosul, Iraq, pada tahun 2014.
“Mereka telah menaikkan semangat kemenangan secara bersama dan telah menaikkan keinginan penyokong ISIS di rantau ini untuk menyertai pertempuran itu,” menurut IPAC dalam kesimpulan laporannya.

IPAC juga telah mengamati peranan warga asing yang dikaitkan dengan IS membuat persediaan bagi pertempuran itu. Laporan itu juga telah mengenalpasti seorang profesor dari Malaysia, Mahmud Ahmad yang memainkan peranan penting dalam membantu militan di Marawi.

Menurut laporan itu, bukan setakat warga asing yang ingin menyertai pertempuran itu perlu melalui Mahmud untuk ke Mindanao, yang terletak di pulau selatan Filipina, tetapi warga Malaysia itu juga bertanggungjawab menyalurkan beribu-ribu dolar dari IS untuk membeli senjata.

Laporan terperinci 25-mukasurat itu merungkaikan bagaimana Mahmud pada Januari lepas berjaya menguruskan penghantaran AS$10,000 melalui akaun Telegram. Wang tersebut dihantar melalui Western Union kepada penerima yang dipercayai berada di Filipina.

Pada Februari dan Mac pula, Mahmud juga didapati telah menguruskan pemindahan yang sama iaitu masing-masing sebanyak AS$25,000 dan AS$20,000 dari sumber di Syria kepada penerima di Filipina.

Mahmud berada di Marawi ketika pertempuran itu tetapi, menurut pegawai Polis Anti-Keganasan Malaysia, dia mungkin telah melarikan diri ke Indonesia atau Borneo, Malaysia dari Filipina selepas kemunculannya dilaporkan pada bulan lalu yang beliau berkemungkinan terbunuh.

Seorang sumber perisikan di Sabah ketika dihubungi memberitahu Mahmud dipercayai masih hidup tetapi telah meninggalkan Marawi bersama-sama pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, yang mendapat sokongan pengganas dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Timur Tengah.

“Kami percaya Mahmud, sebagai perancang dan pentadbir kumpulannya tidak lagi berada di Marawi sperti pada awal bermulanya pertempuran… dia dan Isnilon telah melarikan diri. Mahmud dipercayai berada bersama IS di Basilan,” kata sumber itu kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Pengganas Indonesia

Berdasarkan anggaran seramai 20 warga Indonesia menyertai pengganas dari negara asing lain di Marawi, IPAC menyenaraikan beberapa potensi kebimbangan bagi kerajaan negara itu.

Ia termasuk “potensi pulangya beberapa individu untuk menyusun, bergabung dan memimpin beberapa sel pro-ISIS yang sedia ada; keinginan menjalankan operasi bersama di Indonesia, bersama rakan baru dari Filipina dan Malaysia; kemungkinan terdapat penglibatan warga Indonesia yang melakukan keganasan di Filipina atau Malaysia; penubuhan tapak latihan serantau yang baru di Mindanao yang boleh merekrut lebih ramai dari Indonesia dan Malaysia, bahkan dari jauh lagi.”

IPAC berkata pertempuran di Marawi boleh membawa tentera Indonesia untuk memainkan peranan penting dalam menangani keganasan. Laporan itu juga berkata terdapat kemungkinan yang tipis serangan yang serupa boleh berlaku di Indonesia.

“Tidak ada serangan gaya tentera di pusat bandar di Indonesia oleh kumpulan ekstremis. Indonesia tidak mempunyai pemberontak yang mempunyai kategori pelbagai dimana golongan ekstremis boleh mendapatkan ahli dan senjata, walaupun mengambil faktor kembalinya pengganas yang lebih mahir, keganasan seharusnya berada dalam kapasiti penggendalian polis,” kata IPAC.

Menurut laporan itu, perisikan polis negara berkenaan, khususnya skuad anti-keganasan Densus 88, bakal berhadapan dengan tugas mengenalpasti dan menghalang plot berkemungkinan serangan militan.

Kesimpulan

IPAC membuat kesimpulan bahawa Indonesia, Malaysia dan Filipina – tiga negara di “garis hadapan” dalam usaha menentang IS – perlu mengenalpasti di mana permasalahan di antara mereka dan fokus perlu diberikan dalam memperbaiki kerjasama agar ia lebih erat.

“Ini termasuk ketidakpercayaan politik yang mendalam di antara Filipina dan Malaysia yang menghalang perkongsian maklumat; kebimbangan polis Indonesia dan Malaysia mengenai kesetiaan yang bercampur-baur dari rakan sejawatnya di Mindanao terutamanya hubungan puak dan keluarga, serta kecacatan institusi yang memberi maklumat menentang keganasan kepada polis di Indonesia dan Malaysia tetapi tentera di Filipina,” menurut laporan itu.

IPAC dalam pengakhiran laporan itu juga memberikan beberapa cadangan dalam meningkatkan usaha menentang IS dan militan lain.

“Pengepungan Marawi yang bersifatkan serantau memberi penekanan perlunya negara-negara Asia Tenggara memperbanyakkan kepakaran sistematik dalam jaringan ekstremis masing-masing, supaya polis dan tentera Filipina tahu perbezaan antara JAD (Jamaah Ansharud Daulah) dan JI (Jemaah Islamiyah), Indonesia pula mengenali perbezaan diantara penculik Abu Sayyaf dan puak Abu Sayyaf pro-ISIS serta Malaysia mengetahui perbezaan antara pelbagai puak Darul Islam, termasuk yang menembusi negeri Sabah,” kata IPAC.

Laporan itu juga mencadangkan kerajaan semua negara mengendalikan satu siri kursus jangka pendek, melalui kajian sebenar terhadap kes eskstremis rentas sempadan.

“Satu hasil konkrit yang boleh disasarkan ialah pemetaan terkini dan terperinci rangkaian ekstremis transnasional,” kata IPAC, sambil memberitahu perlu adanya perhatian khusus kepada peranan wanita dalam rangkaian sebegini.


Colin Forsythe di Kota Kinabalu Sabah turut menyumbang kepada laporan ini




Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.