IPCC lemah, tidak mampu siasat pegawai salah laku, kata kumpulan masyarakat sivil

Gabungan 57 badan bukan kerajaan berkata kekurangan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis menjadikan ia seperti harimau tanpa taring.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2024.01.22
Kuala Lumpur
IPCC lemah, tidak mampu siasat pegawai salah laku, kata kumpulan masyarakat sivil Dua anggota polis dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ampang selepas didakwa atas pertuduhan seksual terhadap remaja Uzbekistan, Ampang, Selangor, 17 Januari 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Badan kawal selia pasukan polis yang ditubuhkan Malaysia baru-baru ini hanyalah merupakan sebuah suruhanjaya yang "tidak bertaring" kerana tidak memiliki kuasa secukupnya bagi menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pegawai yang mempunyai salah laku, kata kumpulan masyarakat sivil negara itu pada Isnin.

Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang ditubuhkan pada Julai tahun lepas menjadi sasaran kritikan kerana dikatakan tidak mempunyai kemampuan untuk menjalankan tugas dengan efektif dalam menyiasat kes-kes melibatkan pegawai polis, seperti kejadian langar lari pelajar sekolah menengah sehingga mati di Perak serta kes samun-dan-rogol remaja warga asing di Selangor.

Dalam satu kenyataan bersama oleh gabungan 57 badan bukan kerajaan negara itu menyenaraikan kelemahan IPCC yang antaranya adalah ketiadaan kuasa bagi menjalankan penggeledahan dan membuat rampasan untuk mendapatkan bukti, selain perlu memberikan notis awal sebelum ahlinya boleh membuat lawatan ke mana-mana lokap polis.

IPCC juga tidak berkuasa menjatuhkan hukuman kepada mana-mana pegawai yang didapati mempunyai salahklaku dan hanya boleh memberikan syor kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) supaya mengenakan tindakan, dan ia bergantung kepada SPP sama ada mahu melaksanakan cadangan atau sebaliknya.

"Bidang kuasa IPCC jauh kurang berbanding badan profesional yang bertanggungjawab mengawal selia profesion undang-undang... Jelas sekali IPCC bahkan kurang keberkesanannya sebagai sebuah badan penyeliaan berbanding Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum ini yang sudah sedia lemah," kata Wong Yan Ke, koordinator kumpulan hak asasi manusia SUARAM, dalam sidang media bersama oleh kumpulan berkenaan.

"... kami khuatir kekurangan IPCC secara struktural hanya akan menjadikannya sebuah ‘Suruhanjaya Rujukan’ (Referral Commission), ibarat ‘harimau tidak bertaring’," tambah Wong yang merupakan jurucakap gabungan itu.

Sebelum ini, pada 2005, sebuah suruhanjaya diraja telah mengesyorkan supaya kerajaan menubuhkan sebuah badan bebas bagi menyiasat aduan dan dakwaan mengenai salahlaku membabitkan pegawai dan anggota polis.

Cadangan itu dibuat ekoran peningkatan aduan orang ramai mengenai keganasan dan tingkahlaku buruk oleh polis, serta kes-kes kematian dalam tahanan.

Susulan daripada itu, kerajaan pada 2009 telah menubuhkan EAIC, sebelum pentadbiran kerajaan baharu pada 2019 di bawah pimpinan perdana menteri ketika itu, Mahathir Mohamad memperkenalkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Bagaimanapun, penubuhan IPCMC ditarik balik Putrajaya selepas Muhyiddin Yassin mengambil alih kerajaan dalam satu rampasan kuasa politik pada 2020.

Menurut Wong, IPCMC yang diperkenalkan pada 2019 itu mempunyai kuasa penguatkuasaan untuk melaksanakan tindakan disiplin terhadap pegawai bermasalah, tidak seperti IPCC yang diluluskan oleh Parlimen pada 2022 dan mula berkuatkuasa pada Julai 2023.

Awal bulan ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pelantikan lima daripada tujuh ahli suruhanjaya tersebut, manakala Kementerian Dalam Negeri masih mencari dua orang lagi untuk mengisi kekosongan.

Menurut laporan media tempatan, ahli IPCC terdiri daripada bekas penjawat awam daripada Pejabat Perdana Menteri dan beberapa individu daripada badan penguatkuasaan seperti polis dan agensi anti rasuah.

Kes salah laku polis

Kejadian jenayah dan salah laku membabitkan pegawai dan anggota polis dilihat menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, dengan beberapa siri insiden dilaporkan media dalam tempoh kurang sebulan.

Antaranya ialah penangkapan dua orang anggota polis di Selangor kerana dikatakan terbabit dalam kes samun-dan-rogol seorang pelajar wanita yang berasal dari Uzbekistan.

Dalam kejadian itu, salah seorang daripada suspek dikatakan telah membawa rakan lelaki mangsa ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang sementara seorang lagi anggota polis merogol mangsa.

Kedua-dua anggota polis tersebut telah didakwa di mahkamah secara berasingan atas kesalahan rogol dan melakukan ugutan, dan mengaku tidak bersalah, menurut laporan media.

Pada Disember lepas, seorang pegawai kanan polis di Perak telah didakwa membunuh seorang pelajar sekolah menengah dengan melanggar menggunakan keretanya. Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah selepas motosikalnya dilanggar oleh pegawai tersebut.

Dalam bulan yang sama, tiga anggota polis lain telah ditahan kerana disyaki mencuri RM85,000 (AS$18,100) daripada sebuah premis ketika pihak berkuasa melakukan operasi menangkap warga asing di ibu negara Kuala Lumpur.

Pada minggu lepas, akhbar tempatan The Star memetik ketua polis negara Razarudin Husain menyatakan bahawa sebanyak dua peratus, atau 2,740 orang anggota dan pegawai polis, telah didapati melakukan kesalahan sepanjang tahun 2023.

Mekanisme lebih kukuh diperlukan

Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Salim Bashir berkata Malaysia memerlukan sebuah mekanisme kawalselia yang lebih kukuh bagi memastikan akauntabiliti pasukan polis kerana IPCC hanya mampu merujuk hasil siasatannya kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dan membuat cadangan tindakan.

"IPCC mempunyai kuasa siasatan yang terhad kerana ia tidak diberikan kuasa melakukan pemeriksaan atau membuat lawatan mengejut ke mana-mana pusat tahanan. Suruhanjaya itu tidak mempunyai kuasa untuk memaksa SPP melaksanakan hukuman yang telah dicadangkan.

"Anggota suruhanjaya yang bebas dan mempunyai pengetahuan adalah penting untuk memastikan mereka faham apa berlaku di bawah sana, dan pengalaman juga adalah diperlukan dalam mengendalikan aduan spesifik," kata beliau kepada BenarNews.

Akan tetapi, seorang lagi peguam yang merupakan pegawai polis bersara tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa IPCC tidak mempunyai taring. Sebaliknya, beliau percaya suruhanjaya itu mempunyai kuasa mencukupi untuk memastikan anggota pasukan polis bertanggungjawab ke atas kelakuan mereka.

Wan Azmir Wan Majid berkata fungsi IPCC adalah untuk menyiasat sekiranya terdapat dakwaan bahawa polis cuba menyembunyikan kes atau salah guna kuasa.

Dalam membongkar sebarang cubaan menyembunyikan kes atau siasatan yang tidak dilakukan dengan mencukupi oleh polis, Akta IPCC dan undang-undang lain yang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani kesalahan dilakukan oleh polis," kata beliau kepada BenarNews.

Sementara itu, Meor Chek Hussien Mahayuddin, Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia, berkata dengan pelaksanaan IPCC, ia bermakna kerajaan telah mengambil langkah lebih ketat dalam mengawalselia pasukan polis.

"IPCC merupakan satu badan yang penting bagi memastikan akauntabiliti dalam penguatkuasaan undang-undang. IPCMC pula mempunyai kuasa untuk melangkaui bidang kuasa polis. Ini tidak boleh dipusing kembali dengan mudah kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan serta konflik bidangkuasa, sekaligus menyebabkan proses bertambah perlahan.

"Walaupun saya menyokong tindakan lebih tegas terhadap salah laku anggota polis, kita kena menilai keberkesanan IPCC. Jika ia benar tidak berkesan, maka kerajaan perlu memikirkan semula tindakannya," kata beliau kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.