Penggangur Didakwa Miliki Pelbagai Barangan IS
2017.08.08
Kuala Lumpur

Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa atas tuduhan memiliki pelekat, buku serta beberapa keping gambar berkaitan kumpulan Negara Islam (IS) tahun lalu.
Bagaimanapun, Mohamad Saufi Ibrahim, 22, yang berasal dari Pulau Pinang mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sofian Abd Razak.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Saufi didakwa memiliki sekeping pelekat yang berlambangkan bendera IS, dua buah buku bertajuk 'Tarbiyah Jihadiyah' iaitu Jilid 1-6 dan Jilid 7-11 serta 10 keping gambar yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas.
Mohamad Saufi didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Pangsapuri Tanjung Bungah, Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada jam 3.15 petang, 15 Julai tahun lalu.
Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak keatas mana-mana barangan berkenaan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan terhadap Mohamad Saufi dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadzlan Mohd Noor manakala Mohd Imran Mohd Farouk mewakili tertuduh.
Hakim Mohd Sofian juga menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 25 September depan.
Pihak berkuasa Malaysia kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan pelbagai usaha dijalankan dalam meningkatkan keselamatan menjelang temasya Sukan SEA ke-29 di mana Malaysia adalah tuan rumah bagi acara sukan terbesar bagi Asia Tenggara itu. Pelbagai acara sukan melibatkan 11 buah negara dijadualkan berlangsung antara 19 hingga 31 Ogos ini.
Jumaat lalu, polis melancarkan latihan serangan komando di Kuala Lumpur sebagai persediaan untuk sukan berkenaan. Perdana Menteri Najib Razak dan Timbala Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan latihan tersebut.
"Kami bukan hanya bercakap tentang ancaman dari Daesh, tetapi juga sebarang bentuk ancaman dari mana-mana entiti lain yang boleh menjejaskan negara kita dan Sukan SEA," kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kepada pemberita pada Jun lalu, menggunakan nama lain bagi kumpulan pengganas Negara Islam.
Pada Ahad lalu, pihak berkuasa Malaysia mengerahkan kira-kira 200 pegawai dari cawangan anti-keganasan menyerbu perniagaan dan kawasan perumahan di Masjid India, sebuah kawasan yang dikenali sebagai “Little India of Malaysia” yang juga tempat pertemuan popular bagi warga asing.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa menahan lebih 400 orang, kebanyakannya pekerja asing, dan daripada jumlah itu, seramai 275 telah dibebaskan, 133 ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan melibatkan pelanggaran akta imigresen dan seorang telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) Malaysia, kata pegawai tertinggi anti-keganasan Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay kepada BeritaBenar.
Pada Jun 2016 Malaysia menjadi sasaran serangan pengganas apabila sebutir bom tangan dilemparkan ke arah kelab malam Movida yang mencederakan lapan orang.
Dua lelaki tempatan mengaku bersalah melakukan serangan berhampiran Kuala Lumpur itu, dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun setiap seorang.
Muhammad Wanndy Bin Mohamed Jedi, perekrut prolifik bagi IS di Malaysia, yang berpangkalan di Syria, sebelum beliau terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Syria bulan lepas, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Tindakan keras terhadap keganasan dalam tempoh empat tahun yang lalu juga telah menyebabkan penangkapan 310 orang, menurut data kerajaan yang diperolehi BeritaBenar. Kira-kira 66 suspek telah dibebaskan, kata pegawai.