Pengurus Bengkel Dipenjara Tujuh Tahun Cuba Masuki Syria

Shuman Vasu
2016.12.16
Kuala Lumpur
161216-MY-syria-620.jpg Sebuah pesawat Malaysia Airlines mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, 20 Ogos, 2015.
AFP

Seorang pengurus bengkel dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumat atas kesalahan cuba memasuki Syria untuk melakukan aktiviti keganasan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) di negara itu.

Azmi Mohd Asari, 28, mengaku bersalah keatas pertuduhan itu dan Hakim Azman Abdullah mengarahkan tempoh pemenjaraan Azmi berjalan dari tarikah beliau ditangkap iaitu pada 18 Mei lalu.

Hakim Azman dalam menjatuhkan hukumannya juga berkata rakyat Malaysia harus sentiasa menghargai keamanan di negara ini, kerana ia adalah sesuatu yang tidak mudah diperolehi.

“Banyak perkara kamu boleh berjihad seperti menjaga, membantu dan memberi nafkah kepada keluarga, itupun sudah dikira jihad. Tidak semestinya berjihad dengan hanya mengangkat senjata semata-mata.

"Orang luar yang hidup di negara bergolak, berebut-rebut mahu datang ke Malaysia jika diberi peluang untuk tinggal di sini," katanya dalam penghakimannya itu.

Azman juga mengingatkan Azmi untuk bersyukur kerana niatnya ke Syria, telah gagal kerana tertuduh masih mempunyai keluarga dan isteri selain baru saja mendirikan rumahtangga, dua bulan sebelum ditangkap.

"Hukuman ini bukan setakat menghukum, tetapi juga sebagai ingatan dalam mewujudkan rasa takut terhadap masyarakat supaya tidak sewenang-wenangya menyokong dan memberi simpati kepada kumpulan keganasan," kata beliau.

Azmi hanya menundukkan kepalanya tanpa sebarang reaksi selepas hukumannya itu dibacakan terhadapnya manakala anggota keluarganya yang duduk di galeri awam, kelihatan menangis teresak-esak.

Peguam Farida Mohammad yang mewakili Azmi meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap tertuduh kerana ia merupakan kesalahan pertamanya dan  mendakwa tertuduh sudahpun insaf.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan sesiapa juga yang berniat menyokong aktiviti keganasan.

Mengaku kepada keluarga


Azmi yang berkelulusan diploma, telah dituduh cuba memasuki Syria melalui Gazientep, Turki, dengan menaiki sebuah pesawat Turkish Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan tujuan melakukan perbuatan keganasan di Syria, pada 19 Julai tahun lepas.

Azmi telah didakwa dibawah Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.

Fakta kes menyebut bahawa Azmi telah ditahan oleh pihak berkuasa Turki dan diusir pulang ke Malaysia dan dia selepas itu, telah mengaku pada keluarga dan rakannya bahawa dia telah cuba ke Syria untuk menyertai kumpulan IS, yang juga dikenali sebagai Daesh.

Pihak berkuasa Malaysia yang mendapat maklumat mengenai perkara itu kemudian telah menjalankan siasatan dan seterusnya membawa kepada penangkapan Azmi di sebuah bengkel kereta di Tanjung Karang Selangor pada 18 Mei lalu.

Ratusan tangkapan


Setakat bulan lalu, polis telah menahan lebih 260 individu kerana terbabit dengan kegiatan militan IS. Lebih 70 orang telah didakwa di mahkamah.

Statistik terbaru menunjukkan sebanyak 56 orang rakyat Malaysia berada di Syria, termasuk 12 wanita dan 17 kanak-kanak lelaki dan perempuan dengan seramai 27 rakyat Malaysia telah meninggal dunia dan lapan orang sudah kembali ke tanahair.

Antara yang ditahan kerana penglibatan mereka dengan kumpulan militan ialah anggota keselamatan seperti polis dan tentera, imam masjid, pensyarah universiti dan juga pegawai kerajaan.

Polis Malaysia dalam keadaan berjaga-jaga dan siap-siaga dalam menghadapi ancaman IS, terutamanya setelah serangan bom tangan ke atas kelab malam Movida di Puchong pada Jun lepas - serangan pertama di negara ini yang dikaitkan dengan IS.

Pengaruh Wanndy

Ramai antara suspek yang ditangkap pihak berkuasa Malaysia telah dikenal pasti tertarik dengan ideologi IS yang disebar, atau direkrut secara langsung oleh militan IS dari Malaysia yang berada di Syria, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi.

Pemuda yang berusia 26 tahun dari Melaka itu telah dikenal pasti aktif menggunakan media sosial untuk melakukan aktiviti merekrut rakyat Malaysia untuk menyertainya di Syria.

Muhammad Wanndy telah ke Syria pada Januari tahun lalu dengan isterinya yang juga berusia 26, dari Baling, Kedah.

Muhammad Wanndy dan rakannya  Mohd Faris Anuar mula dikenalpasti polis apabila kedua lelaki itu muncul dalam sebuah video pembunuhan kejam seorang warga Syria yang disiarkan tahun lalu.

Polis juga telah mengumumkan bahawa serangan ke atas Movida telah dilancarkan atas arahan Muhammad Wanndy.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.