Tujuh Orang Didakwa Atas Pelbagai Tuduhan Berkaitan IS

Haireez Azeem Azizi
2016.04.19
Kuala Lumpur
160418-my-is-photo620 Peniaga barangan kanak-kanak Muhammad Saiful Hashim, 35, dan surirumah Siti Nor Intan Shafinaz Johari, 27, yang didakwa atas pertuduhan memiliki bahan-bahan berkaitan keganasan, semasa dibawa keluar daripada bangunan Mahkamah Majistret Kangar, Perlis, 19 April 2016.
Ihsan Polis DiRaja Malaysia/BeritaBenar

Tujuh orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pelampau Negara Islam (IS) pada Selasa didakwa dengan pelbagai tuduhan berkaitan keganasan di mahkamah berasingan di beberapa negeri di Malaysia.

Enam tertuduh yang didakwa pada Selasa adalah di antara lima belas orang yang ditahan dalam serbuan seluruh negara yang dijalankan selama tiga hari pada bulan Mac lalu.

Baki sembilan lagi suspek dalam serbuan polis itu masih ditahan untuk siasatan.

Tiga kes di bawa ke tiga buah mahkamah sesyen di ibu negara manakala dua mahkamah di Terengganu mendengar dua kes, dan dua kes lagi di Perlis.

Antara mereka yang didakwa hari ini ialah seorang anggota polis wanita, Koperal Jusninawati Abdul Gani, 35 yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan dengan sengaja tidak memberikan maklumat berhubung kumpulan IS sejak Ogos tahun lepas.

Jusninawati dituduh melakukan kesalahan itu di Balai Polis Petaling Jaya antara Ogos 2015 dan 22 Mac 2016 .

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pula, seorang ahli perniaagaan Mohd Naazri Ishak @Bahari, 49, didakwa menyediakan akaun Maybanknya dengan pengetahuan bahawa ia akan digunakan untuk aktiviti keganasan di Bandar Tun Razak pada 22 Mac lepas.

Manakala, di Mahkamah Majistret Selayang, seorang pengurup wang Mohd Haniffa Syedul Akhbar, 36 , didakwa memiliki barangan berkaitan dengan perbuatan pengganas di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kesalahan itu juga di bawah  Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan kes mereka akan dipindahkan ke mahkamah itu.

Mahkamah juga tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Sementara itu di Terengganu, seorang bekas penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam, Siti Noor Aishah Atam, 29, di dakwa di Mahkamah Majistret Kemanan, kerana memiliki bahan yang mempunyai kaitan dengan pengganas.

Siti Noor Aishah, yang tidak diwakili pegum itu, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lapangan Terbang, Dungun, Terengganu manakala Anuar di Manir, Kuala Terengganu, kedua-duanya pada 22 Mac lepas.

Kes itu didengar Majistret Haswanie Hussain Bustari dengan pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mona Shazwani Kamarul Zaman dan Syawani Nawawi.

Dalam pada itu, mahkamah Majistret Kuala Terengganu mendengar kes Anuar Ab Rawi, 40, yang turut didakwa memiliki bahan yang mempunyai kaitan dengan pengganas dengan melakukan kesalahan itu di Taman Manir Indah, Manir, Kuala Terengganu.

Anuar dituduh di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim dengan pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hafizah Mohd Sokran.

Kedua-dua mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan kes dan tiada jaminan dibenarkan terhadap kedua-dua tertuduh.

Di Kangar, peniaga barangan kanak-kanak Muhammad Saiful Hashim, 35, dan surirumah Siti Nor Intan Shafinaz Johari, 27, juga di Mahkamah Majistret Kangar didakwa memiliki bahan-bahan berkaitan pengganas.

Muhammad Saiful didakwa melakukan kesalahan itu dirumahnya di Jalan Sekolah Menengah Derma, Kangar manakala Siti Nor Intan dituduh melakukan kesalahan sama di Kamping Ujung Tanjung, Kuala Perlis, pada 22 Mac lepas.

Pertuduhan terhadap kedua-dua mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Izmi Ibrahim, namun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari, dan kedua-dua mereka tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

Operasi cawangan khas polis bulan lepas itu dibuat di tengah-tengah kemuncak amaran tahap tinggi di Malaysia pada hari sama IS mengaku bertanggungjawab terhadap serangan letupan bom yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dan mencederakan lebih 270 orang lagi di Brussels, Belgium.

Penangkapan di Malaysia itu membawa kepada seramai 177 orang berada dalam tahanan kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan IS.


Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.