Pejuang IS Malaysia Beralih Kepada Akaun Bank Rakyat Sebagai Sumber Pembiayaan

Razlan Rashid
2016.06.20
Kuala Lumpur
160620-my-IS-funding620 Beberapa pekerja membersihkan papan tanda di atas bangunan bank CIMB di Kuala Lumpur, 8 Mei 2015.
AFP

Rakyat Malaysia yang berjuang untuk kumpulan militan Negara Islam (IS) di luar negara dipercayai mendapatkan dana daripada rakan-rakan senegara mereka dengan menggunakan bank-bank tempatan dan bukannya rangkaian kewangan bawah tanah tradisional, demikian menurut para pegawai dan pakar.

Sekurang-kurangnya tiga rakyat Malaysia yang bersimpati dengan IS telah didakwa di negara itu, baru-baru ini kerana membiayai pejuang Malaysia yang menyertai kumpulan pelampau itu di luar negara, termasuk Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, yang dilihat dalam satu video yang merakamkan IS memenggal kepala seorang lelaki Syria.

Seorang daripada tiga rakyat Malaysia itu termasuk abang Wanndy sendiri.

Laporan perisikan menunjukkan bahawa Wanndy menggunakan rakyat Malaysia yang bersimpati dengan kumpulan itu untuk membiayai aktiviti jihadnya, kata Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Ayob Khan Mydin Pitchay.

"Saya percaya wang itu digunakan untuk menampung perbelanjaannya di Syria," kata beliau kepada BeritaBenar.

Sebilangan kecil rakyat Malaysia telah memberikan wang mereka kepada Wanndy kerana mereka yakin dia menggunakannya untuk membiayai jihad di Syria, kata Ayob Khan.

Hanya dua bulan lalu, pihak berkuasa Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa mereka menghadapi kesukaran mengesan dana yang mengalir keluar kepada pejuang IS kerana ia dihantar melalui rangkaian pasaran gelap di Asia Tenggara, atau sistem pemindahan wang tidak rasmi antarabangsa yang sukar dijejaki iaitu "Hawala".

Kes-kes di Malaysia baru-baru ini, bagaimanapun, menunjukkan bahawa mereka yang bersimpati dengan IS telah mengambil risiko dengan menggunakan sistem perbankan konvensional bagi menghantar dana kepada pejuang kumpulan itu.

Pada 15 Jun, dua orang yang bersimpati dengan IS didakwa di mahkamah berasingan di Malaysia kerana menyediakan dana untuk Wanndy, yang merupakan seorang ahli Katibah Nusantara, iaitu unit  berbahasa Melayu dengan para pejuangnya kebanyakannya dari Indonesia dan Malaysia.

Beliau bertanggungjawab merekrut rakyat Malaysia untuk menyertai kumpulan itu di Syria melalui pelbagai platform media sosial, menurut beberapa laporan.

Pada 17 Jun, juruteknik audio dituduh membiayai seorang yang didakwa pengganas Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, 37, yang berada di Syria. Tidak banyak maklumat diketahui tentang Wan Mohd Aquil, yang merupakan bekas pemuzik.

Pada 10 Jun, seorang tukang cat kereta rakyat Malaysia didakwa membiayai Muhammad Joraimee Awang Raimee, 41, seorang anggota kumpulan militan Filipina, Abu Sayyaf.

Nama Muhammad Joraimee terdapat dalam senarai buruan polis Malaysia sejak April 2014.

Menurut laporan berita, Muhammad Joraimee adalah sebahagian daripada kumpulan perancangan yang membentuk puak rasmi IS di Asia Tenggara dengan menghimpunkan kumpulan militan Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Setakat ini, polis Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 193 suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dan 64 orang daripada mereka telah didakwa di mahkamah, menurut statistik polis.

Perubahan landskap pembiayaan keganasan

Rohan Gunaratna, seorang pakar keganasan antarabangsa, berkata, siasatan mengenai serangan keganasan dan beberapa rancangan  keganasan yang gagal mendedahkan bahawa entiti operasi IS telah menerima dana daripada sel sokongan pusat dan tempatan kumpulan itu.

Dana itu  digunakan untuk membolehkan para pejuang asing bergerak, merancang, menyediakan dan melakukan aktiviti serangan, kata Gunaratna, yang mengetuai Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di S. Rajaratnam School of International Studies di Singapura.

"Pihak berkuasa perlu mempunyai kefahaman yang lebih mendalam mengenai pengubahan wang haram yang sering berubah dan landskap ancaman pembiayaan keganasan," katanya kepada BeritaBenar. "Ini amat penting."

"Dengan menggunakan petunjuk, dana pengganas boleh dikesan semasa peringkat pengumpulan, penyimpanan, pergerakan dan pengagihan tetapi bank-bank dan kerajaan perlulah saling berkerjasama," katanya.

IS merancang untuk membina infrastruktur kewangan global dan serantau bagi melengkapi pendapatan tempatan sedia ada, kata Gunaratna yang juga kolumnis untuk BeritaBenar.

"Melalui rangkaian kewangannya yang berpangkalan di Turki, IS memindahkan wang untuk menyokong kumpulan, rangkaian, sel dan personaliti di negara-negara sasaran atau negara-negara jiran negara sasaran, dan ada kalanya menerusi hab kewangan global," kata beliau.

Sementara itu, pakar keselamatan Malaysia Zaini Othman berkata, isu tentang IS bergantung kepada penduduk tempatan untuk mendapatkan pembiayaan bukanlah perkara baru.

"Tetapi, kita perlu melihat keadaan itu secara tersirat. Sama ada IS  benar-benar kehabisan bantuan kewangan untuk menyokong perjuangan mereka atau bantuan kewangan mereka menjadi semakin kukuh dari semasa ke semasa, " kata Zaini, yang mengetuai Pusat Penyelidikan Keselamatan dan Strategik (SASSREC) di Universiti Malaysia  Sabah,  kepada BeritaBenar.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Malaysia, lebih daripada 130 rakyat Malaysia telah cuba untuk menyertai IS di Iraq atau Syria.

Sekurang-kurangnya 19 rakyat Malaysia terbunuh semasa berjuang untuk IS di Timur TeTimur Tengah, kata Ayob Khan.


Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.