Malaysia Tahan 16 Didakwa Ada Kaitan Dengan Keganasan
2016.10.10
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia berkata mereka telah menahan 16 lelaki yang dipercayai mempunyai hubungan dengan rangkaian pengganas, termasuk 14 orang, yang para pegawai syaki adalah anggota pengganas dari sel yang diketuai oleh seorang rakyat Malaysia yang didakwa berjuang untuk kumpulan Negara Islam (IS) di Syria sejak tahun lepas.
Kesemua suspek, 15 rakyat Malaysia dan seorang warga asing, ditangkap dalam satu siri serbuan yang dijalankan oleh cawangan counter terrorism Polis DiRaja Malaysia bermula dari 21September hingga 6 Oktober lepas, di Selangor, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Empat belas daripadanya adalah anggota kumpulan yang baru dibentuk, Gagak Hitam, yang diketuai oleh Muhammad Wanndy Mohamad Jedi (juga dikenali sebagai Abu Hamzah al-Fateh), menurut Khalid.
Polis mendakwa bahawa Wanndy telah mengarahkan serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, di pinggir di Kuala Lumpur, yang mencederakan lapan orang pada 28 Jun lepas, dan merupakan serangan pertama yang didakwa oleh IS di Malaysia.
Kesemua 14 lelaki itu juga disyaki "menyalurkan dana kepada beliau," kata Khalid, merujuk kepada Wanndy.
Antara lain, dua lagi suspek, iaitu seorang pelajar berusia 20 tahun dari sebuah universiti awam di Johor ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 22 September lepas, kata Khalid. Pelajar itu telah terbang ke Istanbul pada 7 September dan kemudiannya ditahan oleh pihak berkuasa Turki pada hari berikutnya selepas dia didakwa merancang perjalanan ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas di negara itu.
Seorang lagi suspek, seorang lelaki berusia 32 tahun yang berasal dari sebuah negara di utara Afrika, ditahan di Selangor pada 25 September dan dikenal pasti sebagai anggota kumpulan Jahbat Al Nusra, kumpulan pengganas Islam di Syria, kata Khalid. Lelaki itu telah beberapa kali datang ke Malaysia sejak Mei lalu dan dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket yang memalsukan dokumen perjalanan.
Para pegawai Malaysia mengenal pasti mereka yang ditahan terdiri daripada lima ahli perniagaan, empat juruteknik, seorang guru kaunseling sekolah awam, seorang pekerja bank, pengurus eksekutif, seorang pengumpul barangan antik dan pelajar manakala dua lagi penganggur.
Semua 16 suspek disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kata Khalid.
Bertindak balas kepada berita penangkapan seorang guru kaunseling itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Isnin mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana guru dan kakitangan sokongan di bawah kementerian itu, atau pelajar yang terlibat dalam kegiatan militan.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya terbukti mana-mana guru atau kaki tangan sokongan di bawah KPM terlibat dengan kegiatan tersebut termasuk kegiatan seperti penyebaran fitnah menerusi pelbagai media sosial dan juga aktiviti yang bercorak anti kerajaan," kata Ketua Pengarah Pendidikan Khair Mohamad Yusof dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Kerjasama diperlukan: Pakar
Rohan Gunaratna, Pengarah Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura memberitahu BeritaBenar bahawa kerjasama antara polis dan kumpulan-kumpulan sosial yang berbeza adalah perlu untuk membasmikan ancaman IS yang muncul di Malaysia dan juga empat lain di Asia Tenggara.
"Bagi menangani ancaman semasa yang kini muncul di Malaysia, kerajaan perlu mendapatkan kerjasama pihak berkuasa agama, penguatkuasa undang-undang dan pendidik. Manakala pihak pendidikan perlu menggalakkan kesederhanaan, pihak berkuasa agama pula perlu menangkis pengaruh propaganda dari pihak pelampau, " kata Gunaratna yang juga kolumnis BeritaBenar.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pihak berkuasa Malaysia telah memberi amaran bahawa negara itu sedang menghadapi ancaman dari IS yang berusaha merekrut belia tempatan untuk menjadi anggotanya melalui media sosial, serta ancaman daripada anggota IS warga Malaysia yang kembali dari medan pertempuran di Timur Tengah, yang berkomplot untuk melancarkan serangan di negara sendiri.
Sejak tahun 2013, seramai 90 rakyat Malaysia telah menyertai kumpulan militan di luar negara, di mana 24 daripada mereka dipercayai telah terbunuh dalam pertempuran manakala lapan lagi yang pulang ke tanah air dari Timur Tengah telah ditahan serta didakwa dengan kesalahan berkaitan keganasan, Ketua Anti-Keganasan PDRM Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu BeritaBenar bulan lepas.
Mereka yang masih bersama kumpulan militan IS di Syria dan Iraq terdiri daripada 32 lelaki, 10 wanita dan 16 kanak-kanak.
Dan sejak dari itu, pihak berkuasa telah menahan sekurang-kurangnya 230 orang yang disyaki anggota IS dengan sekurang-kurangnya 75 lagi suspek yang mempunyai kaitan dengan kumpulan itu telah di dakwa di mahkamah.