Malaysia: Pembantu Kedai Dipenjara 13 Tahun Sokong Pengganas
2017.04.25
Kuala Lumpur

Seorang pembantu kedai makan dari Kedah, negeri utara Malaysia, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan termasuk memberi sokongan kepada perbuatan pengganas yang melibatkan letupan kelab malam Movida di Puchong, Jun tahun lepas.
Azizi Abdullah, 21, juga mengaku bersalah terhadap dua lagi pertuduhan iaitu memiliki bahan berkaitan pengganas dengan menerima hukuman penjara empat tahun masing-masing bagi setiap pertuduhan.
Hakim Nordin Hassan memerintahkan hukuman itu dilaksanakan secara serentak dari tarikh Azizi ditangkap pada 29 Jun, 2016.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi meminta mahkamah memberi hukuman setimpal dalam usaha untuk menyampaikan mesej jelas kepada penyokong kumpulan militan, bagaimanapun, Azizi, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan kerana menyesal dengan perbuatannya dan sudah insaf.
"Ini adalah kesalahan pertama saya…saya mengaku kesalahan saya dan berjanji tidak akan mengulanginya," kata pemuda itu.
Pada 10 April lalu, Azizi membuat pengakuan tidak bersalah bagi tiga pertuduhan sama di hadapan Hakim Nordin menyebabkan beliau menetapkan Selasa untuk sebutan semula kes itu.
Bagaimanapun, tertuduh tiba-tiba menukar keputusannya dan mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu yang dilakukan di Kampung Baru Lubok Buntar, Serdang Bandar Baharu, Kedah di antara 25 Mac hingga 29 Jun 2016.
Bagi pertuduhan pertama, Azizi mengaku bersalah memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan bahan letupan menerusi aplikasi Telegram dalam telefon bimbit miliknya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara seumur hidup atau 30 tahun penjara atau didenda, dan juga harta yang terbabit dalam kesalahan tersebut dirampas, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia mengaku bersalah memiliki bahan berkaitan pengganas dalam telefon bimbit miliknya dan didakwa di bawah Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tujuh tahun atau denda, atau perlucutan harta terbabit, jika disabit kesalahan.
'Serangan pengganas IS pertama di Malaysia'
Serangan bom tangan ke atas kelab malam Movida pada 28 Jun tahun lepas adalah serangan pertama yang dikaitkan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) yang berpangkalan di Syria.
Dua lelaki - Wahyudin Karjono, 21, dan Jonius Ondie, 24 – masing-masing dijatuhi hukuman penjara 25 tahun kerana melancarkan serangan yang mencederakan lapan orang dalam insiden itu.
Kedua-dua lelai itu didakwa menerima arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, seorang anggota IS dari Malaysia yang berpangkalan di Syria, untuk melancarkan serangan tersebut.
Pada hujung Mac lepas, Amerika Syarikat mengisytiharkan Wanndy sebagai Pengganas Global Tentuan Khas.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mendedahkan hampir 50 rakyat Malaysia yang menyertai IS sedang merancang untuk pulang ke tanah air termasuk wanita yang kematian suami akibat terbunuh dalam pertempuran dan kemudian mengahwini militan IS yang lain.
"Anak mereka pula di bawah jagaan keluarga militan lain," katanya, seperti dilaporkan oleh akhbar bahasa Inggeris The Star.
Khalid berkata kebanyakan kumpulan militan menggunakan Sabah, negeri Malaysia Timur, sebagai transit untuk bergerak ke negara jiran bagi melibatkan diri dalam kegiatan keganasan.
Statistik terkini yang diperoleh BeritaBenar menunjukkan pihak berkuasa Malaysia telah menahan 294 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS sejak 2013. Daripada jumlah itu, seramai 66 orang telah dibebaskan.