Polis Malaysia Gagalkan Serangan Sukan SEA, 19 Suspek Militan Ditangkap
2017.09.05
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia pada Selasa memberitahu bahawa mereka telah menggagalkan rancangan untuk melancarkan serangan keganasan semasa temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) di Kuala Lumpur bulan lepas dengan menangkap 19 suspek pengganas, termasuk dua pemimpin Negara Islam dari selatan Iraq.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun membuat pengumuman itu dalam satu kenyataan pada hari pertama beliau menyandang jawatan baharu itu.
Fuzi berkata, para pegawai unit anti-keganasan telah menangkap 11 warga asing dan lapan rakyat Malaysia semasa pasukan keselamatan itu menyerbu tempat persembunyian suspek pengganas itu di negeri Selangor, Johor, Kelantan dan di ibu negara Kuala Lumpur dari 4 Julai hingga 30 Ogos.
Lapan daripada suspek tersebut - dua warganegara Filipina dan enam rakyat Malaysia yang disyaki menjadi anggota Kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina (ASG) - ditahan di Kuala Lumpur pada 30 Ogos.
Beliau berkata, serbuan itu dilancarkan "untuk menggagalkan rancangan keganasan" yang bertujuan mengganggu temasya sukan dan sambutan Hari Kebangsaan ke-60 negara itu.
Antara suspek yang ditangkap ialah pemimpin ASG Hajar Abdul Mubin, 25, (alias Abu Asrie), kata Fuzi, yang menggambarkan beliau sebagai dalang rancangan keganasan itu.
Fuzi berkata, sebelum ini, Hajar terlibat dalam beberapa penculikan dan bertempur dengan tentera di selatan Filipina sebelum dia menyelinap masuk ke bandar Sandakan di Malaysia dan pergi ke Kuala Lumpur pada Disember 2015.
"Risikan menunjukkan suspek itu merancang untuk melancarkan serangan semasa majlis penutupan Sukan SEA di Stadium Nasional (Bukit Jalil) dan semasa sambutan Hari Kebangsaan," katanya.
Sebelas negara dan beribu atlet mengambil bahagian dalam edisi ke-29 Sukan SEA dari 19 hingga 30 Ogos.
Kenyataan Fuzi tidak memberi butiran lanjut mengenai rancangan keganasan itu dan tidak menyatakan sama ada sebarang senjata atau bahan letupan dirampas.
Ketua Polis Negara itu juga berkata, dua beradik rakyat Iraq ditangkap pada 11 Ogos di Gombak, sebuah bandar di negeri Selangor.
Fuzi tidak memberitahu lanjut tentang dua rakyat Iraq itu kecuali mereka berusia 41 dan 63 tahun, serta tidak mengeluarkan butiran mengenai dakwaan kegiatan keganasan mereka.
"Kedua-duanya bekerja sebagai juruteknik dan ditangkap kerana disyaki menjadi pemimpin sebuah organisasi pengganas di selatan Iraq," kata Fuzi sambil memberitahu bahawa semua suspek itu ditahan di bawah undang-undang anti-keganasan yang membolehkan kerajaan menahan mereka sehingga 28 hari tanpa perbicaraan.
Serbuan itu juga membawa kepada penangkapan seorang guru sementara rakyat Bangladesh berusia 25 tahun di sebuah sekolah agama di negeri Selangor pada 4 Julai.
"Beliau disyaki ahli Jamat-ul Mujahideen Bangladesh. Suspek itu, yang dikehendaki oleh polis Bangladesh, telah memasuki Malaysia pada 4 Sept 2016 dengan alasan untuk meneruskan pengajiannya di sebuah universiti awam tempatan, "kata Fuzi.
Antara rakyat asing yang ditangkap dalam serbuan berasingan adalah dua warganegara Maldives, dua rakyat Indonesia, seorang rakyat Palestin dan seorang lagi warganegara Iraq.
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 329 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan Negara Islam, dengan 66 orang daripadanya telah dibebaskan, menurut angka yang dikeluarkan kerajaan dan dikumpulkan oleh BeritaBenar.