Penjaga Zoo Dipenjara 10 Tahun Sokong IS

Fadzil Aziz
2017.08.15
Kuala Lumpur
150605-my-is-620.jpeg Seorang pejuang Syiah Iraq memegang cantuman kain berlogo kumpulan militan Negara Islam (IS) di bandar Baiji, utara Tikrit, Iraq, 7 Jun 2015.
AFP

Seorang penjaga Zoo dihukum penjara 10 tahun oleh sebuah mahkamah Malaysia atas dua kesalahan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Negara Islam (IS) menggunakan aplikasi Telegram dan memiliki barang-barang berkaitan kumpulan tersebut tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas tertuduh Mohd Shahrullizam Ramli, 31, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu pada Selasa.

“Kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh merupakan satu ancaman kepada negara serta dunia dan tertuduh sepatutnya sedar bahawa ketika memberi sokongan kepada kumpulan itu, perbuatannya itu amat menakutkan.

“Walaupun tertuduh telah mengaku bersalah tidak semestinya dia akan diberikan hak istimewa dalam hukuman,” kata Hakim itu dalam penghakimannya.

Bagi pendakwaan menyokong kumpulan tersebut, tertuduh yang merupakan bapa kepada seorang anak, dihukum penjara 10 tahun manakala bagi memiliki barang berkaitan kumpulan itu, Mohd Shahrullizam dipenjara tiga tahun.

Walaubagaimanapun, Hakim Mohd Sofian memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 19 Julai 2016.

S.Sivanesan yang mewakili tertuduh memohon hukuman yang ringan kerana Mohd Shahrullizam insaf dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.

"Mohd Shahrullizam juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan dia sudah berada dalam tahanan reman lebih setahun lalu dan keluarganya menghadapi banyak masalah hidup selepas dia ditahan,” kata peguam itu dalam rayuannya.

Pendakwaan yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon hukuman yang setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat Malaysia yang lain.

“Mahkamah juga perlu diberitahu bahawa Malaysia kini sedang mengalami satu kenaikan jumlah kes berkaitan keganasan,” kata pendakwa raya itu.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Shahrullizam didakwa memberi sokongan kepada IS melalui aplikasi Telegram atas nama 'Sharul', di sebuah rumah di Batu 11, Gombak, Kuala Lumpur, antara 25 Mac hingga 29 Jun tahun lalu.

Untuk pertuduhan itu, Mohd Shahrullizam didakwa di bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan harta yang digunakan untuk kesalahan itu boleh dirampas.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki  pelekat kereta berlogo IS, bendera dan lilitan kepala di tempat yang sama pada hari tertuduh ditangkap.

Bagi pertuduhan itu, Mohd Shahrullizam didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak ke atas barang-barang terbabit.

Pada Jun 2016 Malaysia menjadi sasaran serangan pengganas apabila sebutir bom tangan dilemparkan ke arah kelab malam Movida yang mencederakan lapan orang.

Dua lelaki tempatan mengaku bersalah melakukan serangan berhampiran Kuala Lumpur itu, dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun setiap seorang.

Muhammad Wanndy Bin Mohamed Jedi, perekrut prolifik bagi IS di Malaysia, yang berpangkalan di Syria, sebelum beliau terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Syria bulan lepas, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Tindakan keras terhadap keganasan dalam tempoh empat tahun yang lalu juga telah menyebabkan penangkapan 310 orang, menurut data kerajaan yang diperolehi BeritaBenar. Kira-kira 66 suspek telah dibebaskan, kata pegawai.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.