UMNO Namakan Ismail Sabri Sebagai Calon PM Pilihan Raya Akan Datang
2022.04.14
Kuala Lumpur

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada Khamis secara sebulat suara menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri dari parti itu pada pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan pada atau sebelum Julai 2023.
Pengumuman itu sekaligus menamatkan spekulasi mengenai siapa yang akan diangkat sebagai peneraju UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) – yang bakal berlangsung pertama kali selepas kekalahan mengejut parti tertua itu pada 2018.
Ia adalah salah satu dari beberapa keputusan yang telah dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menurut Setiausaha Agung parti itu Ahmad Maslan.
“Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara mencadangkan agar Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 akan datang,” menurut Ahmad Maslan dalam satu kenyataan.
Ismail Sabri, yang juga naib presiden UMNO, mengambil alih jawatan perdana menteri pada Ogos 2021, pemimpin ketiga memegang tampuk kuasa kerajaan dan yang pertama dari parti UMNO sejak pilihan raya umum 2018.
Beliau mengambil alih daripada Muhyiddin Yassin yang telah bertindak keluar daripada gabungan yang memenangi pilihan raya umum dan membentuk kerjasama dengan dengan UMNO untuk berkuasa selepas Mahathir Mohamad melepaskan jawatan secara mengejut pada Febuari 2020.
Bulan lalu, para penganalisis memaklumkan BenarNews yang UMNO tidak mempunyai calon perdana menteri yang jelas. Para penganalisis antara lain menamakan Ahmad Zahid Hamidi, 69, Presiden UMNO yang sedang berdepan dengan perbicaraan jenayah rasuah, serta timbalannya, Mohamad Hasan, 65.
Para penganalisis berpandangan Hasan sebagai calon yang lebih selamat bagi parti itu.
Mereka turut menamakan mantan perdana menteri Najib Razak sebagai calon berpotensi di sebalik sabitan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan perbicaraan bagi lain-lain pertuduhan yang sedang dihadapinya di mahkamah. Biarpun berdepan pelbagai pendakwaan di Malaysia dan Amerika Syarikat berhubung dana AS$4.5 bilion yang dicuri dari 1MDB, Najib kekal popular di kalangan pengundi UMNO.
Ismail Sabri, yang jelas menjadi pilihan parti itu, memulakan kariernya sebagai peguam sebelum menyertai perkhidmatan awam dan telah berkhidmat di pelbagai jabatan kerajaan untuk tempoh beberapa tahun.
Beliau berpengalaman menerajui beberapa kementerian sejak 2008 sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2021, tatkala perikatan pemerintah memerlukan pemimpin yang bersih dari skandal untuk diketengahkan sebagai wajah yang menerajui kerajaan.
MOU tidak akan diteruskan
Ahmad dalam kenyataan yang sama juga mengumumkan MKT UMNO turut memutuskan bahawa Memorandum Persefahaman di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan yang berakhir 31 Julai 2022 tidak akan diteruskan.
Selain itu, kepimpinan UMNO juga memutuskan pembentangan Akta Anti-Lompat Parti di Parlimen mesti diteruskan dan segera direalisasikan.
“Pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.
“UMNO berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” ujarnya lagi dalam kenyataan itu.
Ahmad turut mengumumkan satu Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei 2022 bagi melakukan pindaan Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti, seperti yang telah diputuskan secara sebulat suara usul Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang lalu.
MCA sambut baik pencalonan
Wee Ka Siong, Presiden Malaysian Chinese Association – parti komponen Barisan Nasional (BN) menyokong keputusan UMNO menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15.
"Melihat kepimpinan Ismail Sabri ini satu kepimpinan yang menyerlah dan sebab itulah asas keputusan dibuat adalah berdasarkan faktor ini. Saya memang menyokong kerana melihat politik dan kerajaan dapat kita perkukuhkan.
"Saya yakin apa yang lebih penting adalah mengembalikan kegemilangan BN seperti sedia kala.
Jadi saya rasa ini keputusan yang diterima baik dan akan memberi hala tuju jelas dan menunjukkan kesungguhan UMNO dan BN untuk kita menawan semula (kerajaan) dalam pilihan raya umum akan datang,” ujarnya kepada agensi berita nasional Malaysia Bernama.
Pembangkang perlu 10 tahun
Sementara itu Nurul Izzah Anwar, anak kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, meramalkan Pakatan Harapan memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun atau 2 kali Pilihan Raya Umum untuk kembali menawan Putrajaya.
Ahli Parlimen Permatang Pauh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjangka Pakatan akan menempuh tempoh yang sukar dalam tahun-tahun mendatang, malah berkemungkinan akan hilangan beberapa kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU15.
“Saya fikir ia akan adalah sukar bagi Pakatan untuk memenangi Pilihan Raya Umum akan datang dan kita perlu bersedia untuk tewas dua kali Pilihan Raya Umum sebelum dapat melihat impak positif dan penerimaan rakyat,” ujar mantan Naib Presiden PKR itu dalam satu temubual dengan media tempatan, Sinar Harian yang disiarkan pada Khamis.
Nurul Izzah dilaporkan berkata, disebabkan itu, gabungan berkenaan perlu membuktikan mereka adalah pembangkang yang bermaruah dan mampu membuat tawaran baru yang berbeza berbanding pilihan raya umum sebelum ini.
Pakatan Harapan dibentuk hasil gabungan PKR, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
“Saya bersikap realistik kerana kita perlukan masa untuk membuktikan kepada rakyat yang kita adalah berbeza, dan sebagai pengundi saya sendiri mengalami trauma dengan apa yang telah berlaku sepanjang tempoh pemerintahan kerajaan pimpinan Pakatan selama 22 bulan,” ujarnya.
Menurutnya antara masalah utama yang dikenalpasti adalah polisi gabungan itu serta kegagalan mereka menunaikan janji-janji manifesto pilihan raya selepas mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada Mei 2018.
Justeru, Nurul Izzah percaya Pakatan perlu memberi tumpuan untuk menarik sokongan pengundi atas pagar.