Sukan Paralimpik: Israel Tidak Ada Hak Dalam Soal Moral, Kata Malaysia
2019.01.18
Kuala Lumpur, Malaysia

Menteri Luar Malaysia menolak tuduhan bahawa Perdana Menteri Mahathir Mohamad bersikap anti-Yahudi dengan turut menggariskan sokongannya terhadap rakyat Palestin semasa mempertahankan pendirian dan keputusan negara untuk menghalang perenang paralimpik Israeli bersaing di Malaysia Julai depan.
Saifuddin Abdullah berkata lebih dari separuh abad, Israel telah secara berterusan menafikan hak warga Palestin, dan dalam masa yang sama melaksanakan polisi serta praktis tidak berperikemanusiaan yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
"Israel tidak mempunyai hak untuk bercakap mengenai soal moral apabila sikap mereka sendiri jelas bertentangan,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar di Putrajaya pada Jumaat.
Pada 10 Jan lepas, Perdana Menteri Mahathir berkata, Malaysia yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel kekal dengan pendirian tidak membenarkan atlet negara itu bertanding di Kejohanan Renang Paralimpik Dunia 2019 di Kuching mulai 29 Julai sehingga 4 Ogos depan.
"Saya ingin mengulangi pendirian bahawa Malaysia akan terus menjadi penyokong kuat dalam isu Palestin, berasaskan pengembalian hak dan kebebasan warga Palestin," kata Saifuddin.
Saifuddin berkata demikian dua hari selepas beliau mengeluarkan kenyataan bahawa kabinet Malaysia telah membuat keputusan tidak akan menganjurkan apa-apa acara atau program yang membabitkan penyertaan Israel di masa hadapan.
Beliau memberitahu pemberita dalam satu sidang media pada Rabu bahawa keputusan itu adalah antara dua perkara yang diputuskan kabinet ketika membincangkan hubungan Malaysia dan Israel dalam satu mesyuarat dua minggu sebelumnya.
Bertentangan semangat Olimpik
Saifuddin dalam kenyataan media terbaru petang Jumaat turut mengkritik kenyataan media yang dikeluarkan oleh jurucakap Kementerian Luar Israel yang antara lain berkata, tindakan Malaysia mengharamkan penyertaan atlet paralimpik Israel adalah bertentangan dengan semangat Olimpik.
“Ini memalukan dan benar-benar bertentang dengan semangat Olimpik. Israel mengutuk keputusan itu. (Keputusan tersebut) pasti didorong oleh sikap anti-Yahudi Perdana Menteri Malaysia Mahathir ," menurut kenyataan jurucakap Kementerian Luar Israel yang disiarkan di laman web kementerian berkenaan pada Khamis.
“Kami meminta Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa untuk menukar keputusan salah ini atau menukar tempat acara tersebut. Menteri Sukan Miri Regev sudah memaklumkan mengenai permintaan ini kepada Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa,” tambah jurucakap Kementerian Luar Israel itu lagi.
Saifuddin dalam menjawab isu tersebut berkata bahawa beliau berasa jijik dengan tuduhan yang dilemparkan jurucakap Kementerian Luar Israel terhadap Malaysia.
"Saya berasa amat jijik dengan pengumuman jurucakap Kementerian Luar Israel pada Jan 17 yang menuduh Malaysia sebagai menentang semangat Olimpik dan memberi label 'anti-Yahudi' kepada Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad,” kata Saifuddin dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Menteri Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat turut mengkritik Israel dan melabelkan negara itu sebagai hipokrit.
“Israel merupakan hipokrit paling besar dalam mengkritik Malaysia. Usaha mereka untuk melihatkan diri mereka sebagai mangsa amat keji. Mereka menuduh kita mempolitikkan sukan.
“Adakah mereka lupa yang mereke telah melarang pasukan bola sepak Gaza Ittihad Al-Shejaiya daripada melintasi Tebing Barat dan bermain dalam perlawanan akhir Piala Palestin? Bukankah itu (tindakan) mempolitikkan sukan?
“Adakah mereka juga lupa bagaimana mereka melantik negara mereka sebagai penjaga Palestin dengan memutuskan siapa yang boleh dan tidak boleh bermain dengan atlet Palestin dalam negara mereka sendiri?
“Adakah mereka turut lupa bagaimana mereka memberikan tekanan kepada Persatuan Kebangsaan Pasukan Bola Keranjang Amerika untuk tidak memasukkan pasukan Palestin dalam senarai 2018? Yang sedihnya, NBA tunduk kepada desakan Menteri Sukan Israel.
“Saya sebagai Menteri Belia dan Sukan Malaysia turut menyatakan sokongan atas pendirian negara. Malaysia tidak harus tunduk kepada rejim ini. Saudara kita di Palestin dibunuh dengan kejam dan mereka yang tinggal di situ hidup terpenjara di bawah kawalan ketat Israel,” tambah Menteri muda itu.
Pada Rabu, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) turut mengeluarkan kenyataan mengenai larangan tersebut dan berkata , jawatankuasa itu terkilan dengan keengganan Malaysia membenarkan atlet Israel masuk ke negaranya.
"IPC berasa amat terkilan dengan keputusan yang dibuat kerajaan Malaysia berkenaan penyertaan Israel di dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019.
"Komen dari Menteri Luar Malaysia kini merangkumi semua acara sukan di negara itu dan bukan hanya sukan Paralimpik pada Julai ini. Ketika kami meneruskan dialog dengan penganjur tempatan dan Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan (Malaysia), Lembaga Pentadbir IPC akan membincangkan perkara ini dalam mesyuarat di London pada minggu hadapan.
"Kejohanan antarabangsa sepatutnya dibuka kepada semua negara dan atlet yang berkelayakan. Kami akan melihat semua pilihan yang ada dan memastikan penyertaan semua atlet yang layak," kata IPC dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam laman webnya.
Mahathir pada 10 Januari memberitahu pemberita dalam satu sidang media di Putrajaya bahawa Malaysia tidak akan berganjak dari keputusannya dan penganjur kejohanan boleh membawa pertandingan tersebut keluar jika mereka mahu.
Malaysia merupakan antara penyokong kepada usaha pembebasan Palestin dan tidak pernah mempunyai sebarang hubungan rasmi atau diplomatik dengan Israel sejak ianya mula bertapak di Timur Tengah pada 1948.