Malaysia larang kapal firma Israel berlabuh sebagai tindak balas peperangan Gaza

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu meliputi kapal ZIM milik syarikat Israel serta kapal lain yang menuju ke negara berkenaan.
Iman Muttaqin Yusof
2023.12.20
Kuala Lumpur
Malaysia larang kapal firma Israel berlabuh sebagai tindak balas peperangan Gaza Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (tengah) melambai ketika tiba bersama isterinya Wan Azizah Ismail untuk menyokong penunjuk perasaan pro-Palestin semasa perhimpunan di stadium tertutup Bukit Jalil di Kuala Lumpur, 24 Okt. 2023.
[Mohd Rasfan/AFP]

KEMASKINI pada 4.40 petang waktu tempatan ETS - 2023-12-20

Malaysia pada Rabu mengeluarkan larangan serta merta keatas semua kapal yang mengibarkan bendera Israel daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan negara itu, termasuk sebuah kapal yang dioperasikan syarikat perkapalan ZIM serta kapal lain yang menuju ke negara itu.

Negara Asia Tenggara itu berkata larangan berkenaan merupakan satu tindak balas yang dikatakannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel dalam perangnya terhadap pejuang Hamas di Gaza, kawasan Palestin di mana jumlah kematian telah mencecah hampir 20,000 orang.

"Kerajaan Malaysia memutusan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia,” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sambil merujuk kepada syarikat perkapalan kargo awam Israel.

"Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini. Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia," kata Anwar dalam satu kenyataan.

Menurut Anwar, kerajaan Malaysia sebelum ini telah memberikan kebenaran kepada kapal-kapal milik syarikat ZIM untuk berlabuh di negara itu pada 2002 dan kemudiannya dilanjutkan sehingga 2005 bagi kargo, dan kini kesemua kebenaran itu dibatalkan serta-merta.

“Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa melalui pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin,” tambah Anwar lagi.

Larangan itu juga dikenakan keatas kapal ZIM yang dijadualkan tiba pada 26 Disember di Pelabuhan Klang dan ia akan dinafikan kemasukan, kata Menteri Pengangkutan Malaysia.

WhatsApp Image 2023-12-20 at 12.57.25 PM.jpeg

Sebuah kapal kontena berlabuh di Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang, luar Kuala Lumpur, 8 Januari 2009. [Bazuki Muhammad/Reuters]

Perdana Menteri Malaysia itu yakin keputusan larangan tersebut tidak akan menjejaskan aktiviti komersial negara itu.

Pelabuhan Klang, adalah pelabuh kedua terbesar di Asia Tenggara dan juga merupakan hab penghantaran barang kargo laut utama di Malaysia, dengan pelabuhan itu menduduki tempat ke-12 pelabuhan tersibuk di dunia.

BenarNews telah menghubungi ZIM melalui emel bagi mendapatkan komen tetapi tidak mendapat maklum balas.

Pada 14 Dis lepas, ZIM - sebuah syarikat kargo antarabangsa yang berasal dari Israel - menyatakan bahawa ia telah menaikkan kadar surcaj keatas kapal-kapalnya yang menggunakan laluan dari Asia ke Mediterranean bagi "meneruskan tahap perkhidmatan" dan "memastikan keselamatan susulan peningkatan tahap ancaman".

"Malangnya, sejak seminggu yang lalu kami telah menyaksikan peningkatan tahap ancaman, dan kadar baru seperti di atas yang bermula pada 13 Dis adalah perlu bagi memastikan tahap perkhidmatan ketika ini dapat diteruskan dan menggambarkan langkah-langkah yang diambil oleh kami dalam memastikan keselamatan kapal, kargo pelanggan, serta krew kami, yang mana kesemuanya adalah penting untuk kami," kata syarikat itu dalam kenyataan di laman webnya.

Larangan Malaysia dibuat walaupun beberapa syarikat perkapalan antarabangsa, termasuk Maersk dan Mediterranean Shipping Co. (MSC), telah menggantung operasi Terusan Suez mereka berikutan serangan ke atas kapal oleh pemberontak Houthi Yaman yang disokong Iran.

Pemberontak berkata serangan itu adalah tindak balas terhadap Israel atas kempen ketenteraannya di Gaza.

Sebahagian besar dunia menggesa gencatan senjata Israel di Gaza di mana angka kematian semakin meningkat dan kemusnahan infrastruktur awam dan kesihatan telah membawa kepada krisis kemanusiaan yang teruk.

Tindakan ketenteraan Israel di Gaza bermula berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober yang membunuh kira-kira 1,100 orang, menurut laporan oleh agensi berita Agence-France Presse yang menggunakan data daripada agensi keselamatan sosial Israel pada Jumaat.

Perdana Menteri Malaysia adalah antara pemimpin Islam dunia yang paling lantang dalam menyokong rakyat Palestin. Malaysia juga enggan menamatkan hubungan dengan Hamas, walaupun mendapat tekanan daripada Amerika Syarikat.

Malaysia, sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel dan merupakan penyokong kuat perjuangan Palestin.

Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia baru-baru ini turut mengkritik serangan Israel ke atas Hospital Kamal Adwan di Palestin - di mana para pelarian dan warga Palestin yang tercedera mendapatkan perlindungan serta rawatan - dengan menyifatkan perbuatan itu sebagai "pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin".

"Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk menggunakan semua saluran yang ada bagi menghalang kehilangan lebih banyak nyawa dan menamatkan kesengsaraan dihadapi warga Palestin.

"Rejim Israel tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa. Israel mesti dipertanggungjawabkan atas jenayah yang telah dilakukannya terhadap rakyat Palestin," kata kementerian itu pada Isnin.

WhatsApp Image 2023-12-20 at 12.57.28 PM.jpeg

Peralatan perubatan bertaburan di luar wad kecemasan Hospital Indonesia di pinggir kem pelarian Jabalia di utara Semenanjung Gaza, selepas tentera Israel dilaporkan menyerbu kemudahan perubatan itu, pada 24 November 2023. [Mohammad Ahmad/AFP]

Dalam pada itu, sebuah pertubuhan kemanusian dari negara jiran Indonesia pada Rabu mengecam Israel dengan mengatakan ia telah menduduki Hospital Indonesia di Gaza dan menggunakannya sebagai pangkalan tentera, yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Sarbini Abdul Murad, pengerusi Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C), yang mengendalikan hospital berkenaan berkata, tentera Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengawal hospital itu dua minggu lalu.

Beliau juga menyeru Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk menghantar pasukan untuk menyiasat keadaan itu.

"Kami menggesa Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan menjadikan hospital sebagai tempat neutral," kata Sarbini pada sidang akhbar.

“Israel mesti meninggalkan hospital dan berhenti menggunakannya sebagai perisai.”

Sementara itu, Tunku Mohar Mokhtar, profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata pengumuman oleh kerajaan itu menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai polisi luar yang konsisten dalam isu Palestin-Israel.

"Ia bermakna Malaysia melihat pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan merupakan pelanggaran teruk terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

"Ini tentu sekali merupakan satu bentuk protes terhadap Israel, dan menghentikan sebarang urusan dengan mereka. Terbukti bahawa Malaysia memilih untuk memihak, dan ia berpihak kepada Palestin," kata beliau kepada BenarNews.

Seorang lagi penganalisis, Syaza Shukri, yang merupakan profesor madya sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, memberitahu BenarNews bahawa sekatan tersebut akan menambah tekanan kepada Israel.

"Malaysia mahu menghantar isyarat yang jelas bahawa ia serius dalam mengenakan tekanan yang diharapkan akan dapat membantu Palestin dalam apa cara sekalipun," kata beliau.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.