Isteri Tiga Lelaki Turki Minta Malaysia Bebaskan Suami
2017.05.08
Kuala Lumpur

Isteri-Isteri kepada tiga lelaki Turki yang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia mahu suami mereka dibebaskan dengan segera dan menganggap penahanan itu sebagai satu salah faham.
Ainnurul Aisyah Yunos Ali Maricar, seorang rakyat Malaysia yang juga isteri kepada Ihsan Aslan; Asye Gul Karaman, isteri kepada Turgay Karaman, dan Hatice Ozcelik isteri kepada Ismet Ozcelik berharap pihak berkuasa Malaysia dapat membebaskan serta tidak akan mengekstradisi suami mereka ke Turki.
“Penahanan ini adalah satu kesilapan,” kata mereka kepada pemberita semasa ditemui di Kuala Lumpur pada Isnin.
Pada 3 Mei lepas, pengetua sebuah sekolah antarabangsa Turgay Karaman dan ahli perniagaan Ihsan Aslan yang dikaitkan oleh media Turki dengan ulama Fethullah Gulen yang berpangkalan di Amerika Syarikat, yang didakwa kerajaan Turki mendalangi satu rampasan kuasa yang gagal pada 15 Julai 2016, telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia di Kuala Lumpur.
Manakala Ismet Ozcelik, lelaki Turki ketiga, telah ditahan di Chenor, Pahang pada 4 Mei lepas dan beliau adalah seorang ahli akademik berusia 58 tahun yang diberikan status pelarian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau juga merupakan ahli lembaga Universiti Meylana di wilayah Konya, Turki. Universiti berkenaan adalah antara kebanyakan universiti yang ditutup pada 2016 selepas didakwa mempunyai kaitan dengan pergerakan Gulen.
Dalam pada itu, Ainnurul Aisyah menafikan yang suaminya terlibat dalam aktiviti yang membabitkan ulama Turki dalam buangan di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen
“Tidak betul dia terlibat dalam sebarang gerakan atau pertubuhan badan bukan kerajaan yang dikaitkan dengan keganasan.
“Ini terbukti apabila suami saya berada di rumah setiap hari Ahad dan dia tidak pergi ke mana-mana kecuali ke pejabat untuk bekerja… Saya masih terkejut dengan penahanan suami saya kerana tiada sebab suami saya ditangkap….
“Saya juga berharap pihak polis membebaskan suami kerana saya yakin dia tidak bersalah," kata Ainnurul Aisyah, 38, yang juga ibu kepada tiga anak berusia antara 2 dan 10 tahun.
Anak sulungnya, yang juga seorang kanak-kanak autistik, ada bersama beliau semasa sidang media pada Isnin itu dan kelihatan sangat resah sejak penangkapan Ihsan.
"Anak sulung asyik duduk di tepi tingkap setiap malam, menunggu bapanya pulang… Amat sukar bagi kami, terutama tiga anak kecil saya sejak suami saya ditahan," kata Ainnurul Aisyah dengan linangan air mata.
Beliau menambah “Saya tidak marahkan sesiapa, saya pun tidak bermasam muka dengan mana-mana pihak. Saya pasti penahanan ini hanyalah salah faham, satu kesilapan.”
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Jumaat berkata Turgay, Ihsan dan Ismet yang ditahan pada 3 dan 4 Mei lepas kerana memberi satu ancaman terhadap keselamatan negara.
Khalid juga menolak cadangan bahawa tangkapan itu dilakukan atas permintaan kerajaan Turki dan Ketua Polis Negara itu turut enggan mengesahkan samada penahanan mereka mempunyai kaitan dengan IS.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Ihsan dan Turgay ditahan kerana mempunyai kaitan serta hubungan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Ainnurul Aisyah turut memaklumkan bahawa beliau telah menulis kepada Polis Malaysia memohon kebenaran untuk melawat suaminya yang berada dalam tahanan sejak 3 Mei lepas.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri Malaysia, berkata kedua-dua warga Turki telah berada di bawah pengawasan polis dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, juga dikenali sebagai SOSMA.
Undang-Undang antikeganasan itu membolehkan pihak berkuasa menahan suspek selama 28 hari tanpa sebarang pendakwaan.
"Jika terdapat sebarang kesalahan atau bukti yang mengaitkan Ihsan dengan keganasan, saya berharap demi kepentingan anak-anak dia tidak dihantar pulang ke Turki serta diberi peluang untuk dibicarakan secara adil di mahkamah Malaysia," kata Ainnurul Aisyah.
Beliau juga berkata Ihsan mengenali Turgay dan Ismet tetapi mereka bukanlah kawan rapat.
Sementara itu, seorang pegawai Kedutaan Turki di Kuala Lumpur ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas mengenai penahanan itu.
Tiada seorang ahli keluarga dibenarkan bertemu dengan lelaki Turki yang ditahan itu dan dimaklumkan hanya dibenarkan berjumpa pada Khamis ini.
“Kami tidak dapat menemui Ihsan dan Turgay. Kami hanya dibenarkan berjumpa dengan mereka pada Khamis. Begitu juga dengan keluarga mereka,” kata peguam Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani kepada BeritaBenar.
Sementara itu, isteri Turgay berkata beliau hairan apabila pihak berkuasa Malaysia mendakwa suaminya terlibat dengan kumpulan militan IS.
"Dia bekerja di sini secara sah selama lebih 15 tahun dan bertemu dengan ramai orang dalam pentadbiran kerajaan Malaysia. Tuduhan-tuduhan ini tidak munasabah," katanya kepada media pada Sabtu.
Ketika ditanya sama ada Turgay terlibat dalam pergerakan Gulen, Ayse berkata suaminya mengkagumi ajaran Fethullah Gulen.
"Suami saya kagum dengan mesej beliau (Gulen) yang penuh dengan kasih sayang, keamanan dan pemahaman. Adakah salah jika mahu mengkaguminya?" soal beliau.
Bagaimanapun, Ayse enggan menyatakan bahawa suaminya adalah ‘Gulenist’.
Sementara itu, Hatice berkata suaminya tidak bersalah dan tidak akan menyakiti sesiapa.
“Dia tidak pernah menyakiti seekor serangga pun, jadi bagaimana anda boleh mengatakan bahawa dia terlibat dalam aktiviti Negara Islam?" kata Hatice yang bercakap dalam Bahasa Turki pada sidang media sama yang diterjemah oleh Ayse.
“Saya yakin ini adalah satu kesilapan dan salah faham,” katanya.
Ismet pernah ditahan pada Disember kerana didakwa menghalang para pegawai Jabatan Imigresen Malaysia menjalankan tugas mereka namun dibebaskan dengan jaminan pada Januari.
Agensi berita Turki, Anadolu menyatakan bahawa beliau dibebaskan selepas berjaya memperoleh status pelarian PBB yang memberikan imuniti kepadanya daripada penahanan tanpa perbicaraan.
Dua lagi rakyat Turki, Alettin Duman dan Tamer Tibik, telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia dan diekstradisi oleh Turki pada Oktober lepas.