Jamal Yunos Ditahan Di Penjara Sungai Buluh Selepas Mahkamah Tolak Ikat Jamin
2018.07.05
Kuala Lumpur, Malaysia

Mahkamah Majistret Ampang tidak membenarkan ahli politik kontroversial yang juga ketua Pergerakan Baju Merah Jamal Yunos diikat jamin apabila beliau didakwa atas pertuduhan melarikan diri daripada tahanan polis, dan selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadapnya.
Majistret Mohd Firdaus Sadina Ali bersetuju untuk tidak membenarkan ikat jamin keatas tertuduh, yang didakwa di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan pihak polis atas tiga kesalahan dan telah ditahan secara sah di sisi undang-undang.
Jamal, 48 yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, berhadapan dengan hukuman dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Semasa prosiding di mahkamah, Pegawai Pendakwaraya Fatin Hadni Khairuddin telah menolak cadangan untuk membenarkan ikat jamin terhadap Jamal, dengan mengatakan bahawa tertuduh sudah pun melarikan diri ketika proses ikat jamin tempoh hari.
"Tertuduh pernah melarikan diri sewaktu proses ikat jamin. Tiada jaminan yang tertuduh tidak akan mengulangi perkara yang sama," ujar Fatin.
Berbaju hitam dan berseluar jeans serta lengkap bertopi, Jamal telah diekstradisi dari Indonesia, dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur [KLIA] melalui penerbangan Malaysia Airlines MH710 dari Jakarta hari ini [Khamis], selepas urusan penyerahannya oleh Polis Republik Indonesia (POLRI) kepada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
Sebelum menghilangkan diri, Jamal telah didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam.
Dia juga disiasat mengikut Seksyen 34 Akta Senjata 1960 yang dilaporkan pada 12 Mei lepas.
Ketua Polis Negara Republik Indonesia Tito Karvanian berkata Jamal ditahan di kawasan Tebet, Jakarta Selatan, pada malam Isnin.
"Pada masa ini, pihak berkuasa Indonesia menahannya di pejabat kepolisian daerah Polda Metro Jaya, Jakarta,” kata Tito kepada media selepas menahan lelaki berkenaan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Julai ini untuk pendengaran kes serta penerimaan dokumen berkaitan kes mahkamah.
Dalam pada itu, Peguam yang mewakili Jamal, Izzat Amri memaklumkan kepada pemberita bahawa anak guamnya akan dibawa ke penjara Sungai Buloh untuk ditahan sehingga tarikh pendengaran.
Terdahulu, semasa membalas hujah Pendakwa Raya, Izzat membalas dengan berkata bahawa terdapat salah faham sewaktu proses ikat jamin di Hospital Pakar Ampang Puteri tempoh hari.
"Anak guam saya berjanji tidak akan mengulangi perkara yang sama. Ini berlaku oleh kerana polemik politik di mana beliau langsung tidak mempunyai niat untuk meloloskan diri," kata Izzat.
Izzat memberi cadangan supaya Jamal hadir di ibu pejabat polis untuk beberapa kali sehingga tarikh pendengaran.
Cadangan Izzat bagaimanapun dibantah Ketua Pendakwaraya Razali Che Ali yang berkata jika Jamal tidak mempunyai niat untuk melarikan diri pada 25 Mei lepas, beliau sudah tentunya menyerahkan diri apabila mengetahui bahawa dirinya sedang diburu pihak polis.
Sejurus selepas itu, Jamal diberi ruang untuk bercakap dihadapan majistret untuk menerangkan apa yang berlaku pada insiden 25 Mei lalu.
"Saya sudah pun memberikan kerjasama sepenuhnya dan sudah menyediakan tiga penjamin dan akaun bank mereka juga telah diberikan kepada pihak mahkamah.
"Saya juga telah menandatangani surat pelepasan daripada pihak polis dan saya jangka sudah tiada apa yang perlu dibuat. Oleh itu, saya mengeluarkan duit simpanan Tabung Haji. Terma melarikan diri itu tidak tepat."
"Saya pergi ke Sumatra Indonesia sebelum ke Jakarta. Pengalaman itu satu pengalaman ngeri buat saya dan saya tidak akan mengulanginya,” kata Jamal.
Pada awal petang, suasana di mahkamah menjadi kecoh apabila Jamal tiba dilokasi dengan jurugambar menyerbu kearah beliau untuk mendapatkan gambar yang terbaik.
Penyokong baju merah pula walaubagaimanapun tidak kelihatan.
Tidak dapat dipastikan jika ahli keluarga Jamal turut berada di dalam kamar mahkamah kerana kawalan ketat pihak polis.