Malaysia Lantik 19 Ahli Jawatankuasa Khas Bebas COVID-19 Nasihat Agong Semasa Darurat

Perlantikan ahli dari pelbagai latar belakang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.
Noah Lee & Ray Sherman
2021.02.09
Kuala Lumpur
Malaysia Lantik 19 Ahli Jawatankuasa Khas Bebas COVID-19 Nasihat Agong Semasa Darurat Dua wanita yang dijangkiti COVID-19 melihat keluar jendela dari dewan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor, 16 Januari 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pejabat Perdana Menteri Malaysia pada Selasa mengumumkan pelantikan 19 individu termasuk tiga ahli parlimen pembangkang ke satu Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang berperanan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai jangkamasa pelaksanaan perintah darurat yang diisytiharkan di negara itu baru-baru ini, termasuk penamatnya.

Perlantikan yang mendapat perkenan Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu akan diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria selaku pengerusinya turut dianggotai individu daripada pelbagai latar belakang, kepakaran, kelayakan dan pengalaman termasuk dari pihak pembangkang.

"Pejabat Perdana Menteri ingin mengumumkan pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

"Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berperanan untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya. Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri berperanan sebagai urus setia jawatankuasa ini," kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan di Putrajaya pada Selasa.

Istana Negara dalam satu kenyataan pada 11 Januari lepas telah memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenaan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara, selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri dalam usaha membendung pandemik COVID-19, yang bermula pada 12 Januari sehingga 1 Ogos.

Perdana Menteri sehari selepas kenyataan Istana Negara itu, tampil menjelaskan kepada rakyat melalui siaran langsung disiarkan di stesen televisyen bahawa niatnya menasihati Yang di-Pertuan Agong diisytiharkan darurat adalah untuk membendung penularan jangkitan koronavirus dan bukannya satu bentuk rampasan kuasa tentera.

Muhyiddin juga berkata kerajaan awam akan terus berfungsi tetapi sepanjang tempoh perintah tersebut berkuatkuasa, Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditentukan oleh Agong.

Perdana Menteri itu juga berjanji bahawa satu pilihan raya umum akan diadakan sebaik sahaja jawatankuasa khas darurat mengumumkan bahawa situasi pandemik telah reda dan keadaan adalah selamat untuk diadakan proses pengundian.

Dalam pada itu, tiga Ahli Parlimen pembangkang yang dilantik ke dalam Jawatankuasa Khas itu adalah bekas menteri kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah sebelum ini yang terdiri daripada Saifuddin Nasution dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anthony Loke dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Dzulkefly Ahmad dari Parti Amanah Negara.

Dalam satu perutusan khas yang dibuat melalui siaran televisyen sejurus selepas itu, Muhyiddin mengumumkan bahawa pelaksanaan darurat itu bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, dan kerajaan awam akan terus berfungsi. Bagaimanapun, sepanjang perintah tersebut berkuatkuasa, Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditentukan oleh Agong.

Pelaksanaan darurat itu juga menjadi subjek perdebatan di mahkamah, selepas Anwar Ibrahim memfailkan satu permohonan untuk semakan kehakiman dibuat ke atas nasihat Muhyiddin kepada Sultan Abdullah dengan mendakwa bahawa nasihat Perdana Menteri kepada Yang Di-Pertuan Agong itu dibuat secara salah dan tidak mengikut perlembagaan.

Muhyiddin semasa siaran secara langsungnya pada 11 Januari itu turut memberi jaminan pelaksanaan tempoh darurat akan dibuat dengan adil, dan mengumumkan bahawa satu jawatankuasa bebas akan ditubuhkan bagi menasihatkan Yang Di-Pertuan Agong berkenaan perkara tersebut.

"Untuk menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan di bawah suatu Ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuatkuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih awal dari tarikh yang ditetapkan," kata Muhyiddin.

Tiada masyarakat sivil

Sementara itu, presiden Majlis Peguam Malaysia Salim Bashir ketika dihubungi BeritaBenar pada Selasa menyatakan bahawa kompsisi ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri itu kekurangan dari segi ahli masyarakat sivil serta pertubuhan bukan kerajaan yang relevan untuk memberikan input mereka.

"Komposisi 19 ahli jawatankuasa itu melihat pelbagai individu dari latarbelakang dan kepakaran yang berbeza, termasuk ahli-ahli parlimen dari kedua-dua belah pihak.

"Bagaimanapun, ia kekurangan wakil dari ahli masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan yang relevan, serta Majlis Peguam, yang boleh memberikan pandangan yang bermakna (kepada jawatankuasa berkenaan)," kata Salim kepada BeritaBenar.

Malaysia merekodkan sebanyak 2,764 kes positif baru COVID-19 pada Selasa jumlah harian terendah direkodkan sejak 11 Jan lalu.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah memberitahu satu sidang media di Putrajaya pada hari yang sama bahawa langkah yang diambil di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berkuatkuasa sejak 13 Januari lalu telah membawa impak yang diinginkan dalam melawan penularan COVID-19.

"Sebelum ini kita jangkakan jumlah kes akan kembali menurun selepas pelaksanaan PKP dalam tempoh empat minggu. Minggu pertama untuk kita mengelak lonjakan kes baharu secara mendadak, minggu kedua kita tidak nampak lagi perbezaan dan kes dilihat semakin meningkat.

"Kini kita memasuki minggu ketiga dan baki seminggu itu kita mungkin lihat lagi penurunan kes COVID-19,” katanya.

Beliau berkata sekiranya trend jangkitan terus menunjukkan penurunan, mereka menjangka jumlah kes harian dapat diturunkan ke angka dua digit pada pertengahan atau akhir bulan Mei.

Sementara itu, 13 kes kematian berkaitan Koronavirus turut direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 909 individu setakat ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.