Jepun Beri Pinjaman Kepada Malaysia Selesaikan Hutang
2018.11.06
Kuala Lumpur, Malaysia

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada Selasa mengumumkan komitmen kerajaannya untuk memberi pinjaman sehingga 200 bilion yen [7.4 bilion ringgit] kepada Malaysia dalam usaha untuk menyelesaikan hutang.
Bercakap pada sidang media selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, Abe mengesahkan bahawa Tokyo akan mengeluarkan bon samurai kepada Malaysia dengan sokongan daripada Japan Bank of International Cooperation (JBIC).
“Jepun akan mengkaji bersama Malaysia tentang kemungkinan melanjutkan pinjaman yen dengan tumpuan utama dalam pembangunan pengangkutan, pendidikan dan sumber manusia. Saya berharap kajian ini akan membawa kepada kerjasama yang konkrit pada masa akan datang," kata Perdana Menteri Jepun itu,
Pada pertemuan pertama Mahathir sebagai Perdana Menteri bagi kerajaan Pakatan Harapan dengan Abe, Jun lepas, Malaysia telah memohon pinjaman yen untuk membantu menyelesaikan hutang kerajaannya.
Semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan bahawa kerajaan telah berjaya mendapat pinjaman “Bon Samurai” daripada Jepun dan persetujuan itu dibuat berikutan keyakinan kerajaan matahari terbit itu terhadap pentadbiran dan kepimpinan Perdana Menteri Mahathir.
Penerbitan bon dalam denominasi yen itu, akan dijamin oleh JBIC dengan kadar kupon indikatif 0.65 peratus itu dijangka diterbitkan sebelum Mac tahun depan.
Mengulas mengenai keputusan Jepun itu, Mahathir mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatannya dan kerajaan di Tokyo atas sikap positif yang diambil terhadap masalah kewangan Malaysia.
"Perdana Menteri Abe juga memberi jaminan kepada kami mengenai kesedian Jepun untuk menimbangkan permintaan Malaysia sekiranya pada masa depan kita memerlukan sokongan dan bantuan Jepun dalam menyelesaikan masalah kewangan kita… beliau [Abe] bersedia dan kerajaan Jepun bersedia untuk mempertimbangkan," kata Mahathir.
Penghargaan kerajaan
Mahathir turut merakamkan penghargaan kerajaan Malaysia kepada kerajaan Jepun bagi tawaran jaminan penerbitan bon Samurai sehingga 200 bilion yen bagi tempoh 10 tahun.
Mahathir pada sidang media selepas mendengar pembentangan Belanjawan 2019 di bangunan Parlimen berkata bon berkenaan adalah perolehan pertama bagi Malaysia dalam usahanya untuk melunaskan hutang berfaedah tinggi yang sedang ditanggung negara.
Selain kerjasama kewangan, Malaysia dan Jepun juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama melibatkan pengangkutan rel Malaysia dengan menggunakan kepakaran JR Kyushu Railway Company dan JR Freight Railway Company milik Jepun.
"Kami melancarkan kajian menyeluruh dengan tujuan meningkatkan pengangkutan penumpang dan kargo. Saya berharap kajian ini akan membawa kepada kerjasama yang konkrit pada masa akan datang, " kata Abe.
Beliau memberitahu media bahawa satu pasukan dari kedua-dua syarikat milik Jepun itu akan dihantar ke Malaysia pada akhir November.
"Memandangkan Perdana Menteri Mahathir menghidupkan semula Dasar Pandang Ke Timur, Jepun akan terus komited dalam menjalinkan kerjasama dalam bidang seperti pendidikan, promosi pelaburan, pembangunan sumber manusia dan juga pemindahan teknologi," tambah Abe.
Anugerah Jepun
Terdahulu itu, pemimpin 93 tahun dari Malaysia itu telah dianugerahi “Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers” daripada Maharaja Akihito atas sumbangannya dalam mengukuhkan hubungan dua hala dan mempromosikan persahabatan antara Jepun dan Malaysia.
Anugerah ‘Order of the Paulownia Flowers’ itu merupakan pingat kedua tertinggi di negara matahari terbit tersebut, selepas ‘Order of the Chrysanthemum’ dan pernah dianugerahkan kepada bekas Perdana Menteri India, Manmohan Singh dan mendiang Perdana Menteri Singapura yang pertama, Lee Kwan Yew.
Mahathir juga sebaik tiba di Tokyo pada Isnin telah menerima anugerah ijazah kehormat doktor falsafah dari University of Tsukuba yang disampaikan oleh presiden universiti itu, Prof Kyosuke Nagata.
Mengulas mengenai jaminan bon dari Jepun itu, pakar ekonomi Universiti HELP di Kuala Lumpur, Geoffrey Williams berkata langkah mendapatkan menjamin bon yen dengan kadar faedah yang lebih rendah membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik dalam menguruskan ekonominya.
"Bon 200 bilion yen itu, agak kecil berbanding dengan hutang satu trilion ringgit Malaysia. Tetapi jika Malaysia boleh menguruskan pembayaran balik dengan baik, ia akan membuktikan keboleh-percayaan kredit [creditworthiness] yang baik kepada pelabur antarabangsa untuk mereka terus berada dalam rancangan ekonomi masa depan negara," kata Williams.
Beliau juga menambah bahawa bon akan meningkatkan modal negara dan juga ekonomi Malaysia kerana tidak meminjam wang dari sektor swasta domestik.
"Jika tidak, kerajaan akan meminjam dari sektor swasta dan ini akan mengurangkan dana yang akan dibelanjakan oleh syarikat swasta domestik berkenaan," kata Williams.