ASEAN Setuju Terima Pakai Pelan Tindakan Atasi Jerebu

Hata Wahari
2016.08.12
Kuala Lumpur
160812-my-id-forest-620 Pihak berkuasa Indonesia memasang garisan polis di lokasi kebakaran di kawasan Air Hitam, Kota Pekanbaru, Riau, Sumatera, Indonesia, 10 Ogos 2016.
[Dina Febriastuti/BeritaBenar]

Negara-negara anggota Asia Tenggara (ASEAN) bersetuju menggunapakai tujuh pelan perancangan dalam memerangi pencemaran jerebu di rantau itu, dengan Presiden Indonesia mengarahkan pihak berkuasanya mempercepat tindakan pencegahan pembakaran hutan bagi mengelak jerebu daripada merebak ke negara jiran.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Jumaat memberitahu BeritaBenar pelan tindakan yang dipersetujui sejak tahun lepas akan digunapakai segera jika masalah jerebu teruk merentasi sempadan.

“Pertemuan sehari di Kuala Lumpur telah bersetuju sebulat suara menggunapakai tujuh pelan yang dipersetujui terdahulu dengan perbincangan secara mendalam bersama rakan-rakan sejawat terutamanya Indonesia, dalam usaha membebaskan rantau ini daripada masalah jerebu menjelang 2020,” katanya mengulas mengenai pencapaian setakat ini oleh negara anggota itu pada  Persidangan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Ke-12 (AATHP) di Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam pada itu, Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo, pada Jumaat mengarahkan pihak berkuasa negaranya untuk mempercepatkan segala usaha pencegahan semasa mengendali kebakaran hutan di negara berkenaan.

“Saya melihat beberapa titik merah sudah meliputi Riau, Sumatera Utara dan Sumatera Selatan, dan ia perlu diselesaikan segera supaya ia tidak merebak sehingga sukar untuk ditangani,” kata Presiden itu kepada media di Bali pada  Jumaat.

Beliau turut mengarahkan penguatkuasaan undang-undang tegas diambil terhadap pesalah yang menyebabkan kebakaran hutan dan ladang sama ada mengambil tindakan sekatan pentadbiran, sivil atau jenayah.

Jerebu yang melanda negara-negara ASEAN disebabkan kebakaran ladang pertanian di kepulauan Sumateran dan Kalimantan oleh syarikat perladangan yang menggunakan kaedah tebang dan bakar bagi membersihkan tanah ladang mereka.

Keadaan jerebu telah mengganggu dan menyebabkan masalah pernafasan di beberapa negara jiran Indonesia seperti Malaysia, Singapura, Filipina dan selatan Thailand sejak 18 tahun lalu, dan antara sebabnya masih lagi berlaku kerana penguatkuasaan undang-undang yang lemah akibat rasuah, kata aktivis alam sekitar

Pada 30 Sept lepas, Presiden Indonesia itu berkata, Indonesia memerlukan tempoh tiga tahun untuk menangani kegiatan pembakaran ladang dan hutan yang menyebabkan jerebu teruk hingga mencemari negara jirannya, sehingga menyebabkan lapangan terbang dan sekolah ditutup serta melumpuhkan aktiviti harian.

Azizuddin Mohd Sani, seorang profesor politik dan hubungan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia berkata semua inisiatif untuk menangani masalah jerebu hanya akan menjadi sia-sia jika Indonesia tidak turut serta dalam segala tindakan yang dipersetujui.

“Masalah jerubu berlaku setiap tahun sehingga menjejaskan alam sekitar bukan saja di Indonesia tetapi juga di negara jiran sehingga menyebabkan masalah kesihatan, Namun inisiatif yang telah dan akan di ambil oleh negara anggota ASEAN akan menjadi sia-sia sekiranya negara yang melakukan pencemaran itu, yakni Indonesia, tidak turut serta dalam semua perjanjian yang dipersetujui,’’ katanya kepada BeritaBenar.

Sementara itu, pelan perancangan yang ditandatangani tahun lalu antara lain bersetuju untuk mewujudkan sebuah pusat koordinasi  kawalan pencemaran jerebu rentas sempadan ASEAN di Indonesia;  memberi penekanan penting terhadap kerjasama teknikal antara semua negara ASEAN dalam meningkatkan kesediaan untuk pengurangan risiko kebakaran tanah, hutan dan penceraman akibat jerebu.

Langkah tersebut  juga termasuk melaksanakan “pembakaran sifar” (tiada pembakaran hutan langsung); mengadakan  latihan simulasi dalam meningkat respons kecemasan secara bersama; meningkatkan penguatkuasaan dan pendakwaan;  dan perkongsian maklumat di peringkat global.

AATHP  ditubuhkan pada 2002 sebagai langkah penting ke arah pengurusan pencemaran udara di rantau itu dalam usaha untuk menangani masalah jerebu, sejak 1997, berulang lagi.

Bagaimanapun, pada pertemuan di Kuala Lumpur itu, Menteri Alam Sekitar Dan Perhutanan Indonesia Siti Nurbaya Bakar tidak  menghadiri mesyuarat kali ini dan beliau digantikan oleh Penasihat Kanan Mengenai Tenaga kepada Menteri itu Arief Yuwono.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi semasa merasmikan persidangan AATHP itu mahu pembentukan kerjasama drastik dibuat bagi menyelesaikan isu jerebu merentasi sempadan.

“Banyak aktiviti dan perancangan yang diatur telah tertangguh pelaksanaannya sekian lama berikutan kekurangan sumber. Antara faktor yang perlu diutamakan ialah kerjasama teknikal untuk meningkatkan kesiapsiagaan bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan awam dan persekitaran yang berpunca daripada pembakaran hutan dan tanah serta pencemaran akibat jerebu,’’ katanya.

"Jangan kita hanya sekadar menggambarkan isu berkenaan, tetapi kita perlu beri fokus kepada penyelesaiannya,” bersedia untuk merangka pelan nasional negara-negara kita, serta berazam untuk menghapuskan masalah jerebu rentas sempadan,  tegas beliau.


Dina Febriastuti di Pekanbaru dan Ismira Lutfi Tisnadibrata di Jakarta menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.