AS Dakwa Jho Low, Rakan Lakukan Pengubahan Berbilion Wang 1MDB
2018.11.01
Washington, District of Columbia

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat telah mengemukakan pendakwaan jenayah pada Khamis terhadap pembiaya kewangan yang sedang diburu Jho Low atas dakwaan beliau membayar berjuta-juta dolar kepada beberapa pegawai kerajaan Malaysia ketika menggelapkan wang berbilion dolar daripada dana pembangunan negara 1MDB.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Ng Chong Hwa (juga dikenali sebagai Roger Ng) turut dinamakan dalam pendakwaan tiga pertuduhan yang difailkan pada 3 Okt di sebuah mahkamah persekutuan di Daerah Timur New York, dan telah ditahan di Malaysia, menurut kerajaan AS.
Selain itu, seorang bekas pegawai bank Tim Leissner mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram membabitkan dana pembangunan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak dan merupakan intipati siasatan.
“Lebih $2.7 bilion (RM11.28 bilion) telah diseleweng daripada 1MDB dan Jho Low, Ng, Leissner serta yang lain bersubahat untuk mengubah wang ini menerusi sistem kewangan AS untuk merasuah para pegawai asing selain untuk kepentingan peribadi mereka dan sanak saudara,” kata kerajaan AS dalam satu siaran akhbar berkaitan pendakwaan itu.
Ng dan Leissner kedua-duanya memegang jawatan di bank pelaburan Goldman Sachs, menurut laporan media, serta disifatkan dalam pendakwaan terhadap mereka sebagai bekerja dengan Institusi Kewangan AS #1.
Kerajaan AS mendakwa mereka telah menyembunyikan kerjasama mereka dengan Jho Low – yang nama sebenarnya ialah Low Taek Jho – daripada institusi kewangan disebabkan kepatuhan dan kebijaksanaan para pegawai yang enggan meluluskan kerjasama perniagaan kerana bimbang tentang sumber kekayaan beliau.
Antara yang dinamakan dalam pendakwaan itu sebagai mereka yang menerima rasuah ialah Pegawai Malaysia 1 (MO1) dan isterinya, dirujuk sebagai “the Madam,” dalam surat-menyurat e-mel antara mereka bertiga. MO1 tidak dinamakan dalam saman terdahulu berkaitan 1MDB yang difailkan oleh Jabatan Keadilan, namun sumber telah mengenal pasti beliau sebagai Najib.
Sejak kerajaan pimpinan beliau kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum pada Mei, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, telah ditahan oleh pihak berkuasa di kediaman mereka di Malaysia dan didakwa dengan pelbagai kesalahan rasuah yang dikaitakan dengan skandal kewangan 1MDB.
Pendakwaan itu menyebut bahawa pada Jun 2014, Jho Low (juga dikenali sebagai Low Taek Jho) dan seorang konspirator telah berbincang melalui aplikasi sembang elektronik tentang keperluan untuk “membodek” seorang pegawai 1MDB yang tidak dinamakan “dan menghantar ‘kek,’ yang merujuk kepada perbuatan rasuah, kepada ‘madam boss.’”
Pada Oktober 2014, Jho Low dan para konspirator telah melakukan pindahan kawat sebanyak $4.1 juta (RM17 juta) kepada seorang tukang emas di New York untuk membayar perhiasan emas bagi isteri MO1, dakwa para pegawai keadilan AS.
Setahun sebelum itu, Jho Low telah terlibat dalam satu lagi pembayaran yang jumlahnya lebih besar.
Pada September 2013, seorang tukang emas mewah New York telah bertemu dengan Jho Low bersama MO1 dan isterinya di sebuah hotel untuk menunjukkan seutas rantai leher berlian merah jambu yang direka khusus untuk beliau. Tiga minggu sebelum itu, rantai leher tersebut telah dibeli dengan harga kira-kira $27.3 juta (RM114 juta) daripada sebuah syarikat petala yang dikendali oleh Low dan yang lain, dakwa kerajaan AS.
Projek Magnolia, Maximus dan Catalyze
Kerajaan AS mendakwa para konspirator telah merancang tiga skim untuk mengumpulkan dana daripada 1MBD dan mengalihkan sebahagian daripadanya untuk kegunaan mereka sendiri.
Skim pertama, dinamakan sebagai Projek Magnolia, bermula pada awal 2012. Jho Low, Ng, Leissner dan beberapa lagi konspirator yang tidak dinamakan, telah bersetuju bahawa dengan bantuan institusi kewangan, 1MDB akan mengeluarkan bon-bon bernilai $1.75 bilion yang dijamin oleh satu entiti milik kerajaan Abu Dhabi.
“Low menjelaskan kepada Ng, Leissner dan yang lain bahawa pada ketika itu, bagi menyempurnakan urus niaga tersebut, rasuah perlu diberikan kepada para pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi,” dakwa kerajaan AS dalam siaran berita itu, sambil menambah bahawa berjuta-juta dolar telah dibayar kepada para pegawai di kedua-dua negara.
“Selepas Projek Magnolia ditamatkan pada atau sekitar 21 Mei 2012, lebih $500 juta hasil keuntungan bon telah diseleweng dan dialih daripada 1MDB menerusi pelbagai pindahan kawat ke akaun-akaun bank atas nama syarikat petala yang kepentingannya dimiliki dan dikawal oleh Low, Leissner, Ng dan konspirator lain,” menurut siaran berita itu.
Sejumlah daripada wang itu telah digunakan untuk menghasilkan filem “The Wolf of Wall Street,” kata Jabatan Keadilan Amerika.
Anak tiri Najib, Riza Aziz, yang merupakan pengasas Red Granite Pictures, adalah penerbit filem itu.
Bermula Mei 2012 dan sepanjang 2013, para penyiasat mendakwa ketiga-tiga lelaki dan beberapa konspirator yang tidak dinamakan telah berjaya melakukan dua urus niaga bon terbabit, Projek Maximus dan Projek Catalyze, yang direka untuk mengumpul lebih $4 bilion (RM16.7 bilion) bagi projek-projek 1MDB.
Susulan penamatan Projek Maximus, sejumlah $790 juta (RM3.3 bilion) telah dipindahkan ke akaun-akaun yang dikawal oleh Low, Leissner dan yang lain, termasuk para pegawai Malaysia dan Abu Dhabi.
Lebih $1 bilion (RM4.17 bilion) “telah digubah, atas arahan Low ke akaun-akaun bank atas nama pelbagai entiti yang kepentingannya dikawal oleh Low, Leissner dan yang lain, termasuk pegawai 1MDB,” apabila Projek Catalyze ditamatkan.
Juga, lebih $160 juta (RM668 juta) yang digubah menerusi kedua-dua projek telah digunakan untuk membeli sebuah kondominium di New York City untuk Jho Low dan karya seni mewah, dakwa kerajaan AS.
Jho Low dan Ng telah didakwa melanggar Akta Amalan-Amalan Rasuah Asing dengan melakukan kesalahan rasuah dan mengelak kawalan perakaunan dalaman selain bersubahat melakukan pengubahan wang haram. Para pegawai Malaysia tidak mengesahkan laporan AS bahawa Ng telah ditahan.
Buruan
Jho Low, yang kini bersembunyi, masih mengaku tidak bersalah.
Pada awal minggu ini, kerajaan Malaysia telah memulakan lelongan selama sebulan untuk menjual kapal mewah Equanimity beliau yang berharga AS$250 juta dalam usaha menebus sebahagian kerugian yang dikaitkan dengan 1MDB.
Bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin dalam satu temu bual dengan stesen TV Astro Awani pada Khamis berkata beliau telah berhubung dengan Jho Low dan individu yang kini menjadi buruan itu ingin bertemu dengannya di Singapura.
“Saya telah memutuskan untuk tidak bertemu langsung dengannya. Secara kasar kami tahu dia kini ada di mana. Masalahnya dia ada banyak pasport, jadi dia boleh lari ke mana saja,” kata Daim. “Apa yang dia paling suka ialah kapalnya. Apabila dia ada kapal itu lebih mudah untuknya.”
Daim, yang tidak menjawab panggilan telefon terkini Jho Low iaitu pada minggu lepas, berkata beliau menyuruh individu yang menjadi buruan itu kembali ke tanah air sekiranya dia tidak bersalah.
“Hanya orang yang bersalah melarikan diri,” katanya.
Selain itu pada Khamis juga, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan bahawa ia kini mencari seorang lelaki rakyat Britain, Paul Geoffrey Stadlen, yang alamat terakhirnya ialah di Kuala Lumpur, bagi membantu siasatan kes 1MDB.
Stadlen telah berkhidmat sebagai pegawai perhubungan awam kepada Najib, menurut media Malaysia.
“Suruhanjaya telah bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi mengesan rakyat Britain berusia 39 tahun itu. Setakat hari ini, SPRM belum menyenarai hitam Stadlen daripada meninggalkan Malaysia dan kami masih berbincang dengan Jabatan Imigresen tentang perkara ini,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull kepada pemberita.
Muzliza Mustafa, Hadi Azmi dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.