1MDB: Malaysia Fail Pertuduhan Jenayah Terhadap Jho Low, Empat lain
2018.12.05
Kuala Lumpur, Malaysia

Polis Malaysia pada Rabu berkata mereka sedang mencari pembiaya kewangan buruan Jho Low dan empat suspek lain termasuk bekas pekerja 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selepas pihak berkuasa itu memfailkan pertuduhan terhadap mereka atas dakwaan penyelewengan berbilion ringgit daripada dana negara berkenaan.
Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dan rakannya Eric Tan Kim Loong didakwa bersama-sama dengan Pengarah Pembangunan Perniagaan 1MDB Casey Tang Keng Chee, Penasihat Undang-undang Jasmine Loo Ai Swan dan Pengarah Eksekutif Kewangan Terrence Geh Choh Heng di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, kata pihak berkuasa.
Mereka didakwa bagi 13 pertuduhan jenayah yang melibatkan kerugian berjumlah AS$1.17 bilion (RM4.2 bilion).
Dalam kenyataan pada Rabu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak berkuasa sedang mengesan kesemua tertuduh setelah melarikan diri dari Malaysia.
"Polis DiRaja Malaysia [PDRM] akan bekerjasama dengan pihak berkuasa asing serta Interpol untuk membantu dalam mengesan kesemua mereka," kata Fuzi.
"Jika mereka dikenal pasti berada di mana-mana negara lain, PDRM melalui Jabatan Peguam Negara akan memohon notis ekstradisi supaya membolehkan mereka dibawa balik ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan itu di mahkamah," katanya.
Fuzi berkata, Jho Low, yang sebelum ini didakwa dengan lapan pertuduhan, menghadapi lima lagi pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan kerana didakwa menerima AS$1.03 bilion (RM4.2 bilion) dalam akaun Gold Star Limited di RBS Coutts Bank di Zurich, Switzerland antara 30 Sept 2009, hingga 25 Okt 2011.
Selain itu, beliau dan Eric Tan didakwa secara bersama di bawah akta serupa berhubung kerugian sebanyak AS$126 juta (RM523 juta) berhubung dengan nota hutang oleh Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) pada Mei 2009, dengan kedua-dua lelaki itu didakwa diterima menerusi akaun bank RBS Coutts Bank Limited di Singapura.
TIA ditubuhkan dengan bantuan Low pada 2008 sebagai dana kekayaan berdaulat bagi negeri Terengganu di Malaysia sebelum diambil alih oleh Kementerian Kewangan dan diperbadankan menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 31 Julai 2009.
Bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang pernah menerajui Kementerian Kewangan, telah mengasaskan 1MDB dan dikenal pasti sebagai rakan rapat Jho Low. Gabungan parti Barisan Nasional pimpinannya ditewaskan pada pilihan raya umum Mei lalu oleh Pakatan Harapan yang diketuai Mahathir Mohamad. Susulan itu, Mahathir membuka semula penyiasatan ke atas 1MDB yang sehingga kini membawa kepada 38 pertuduhan rasuah terhadap Najib.
‘Tidak boleh dibicarakan dengan adil di Malaysia’ – Jho Low
Di Amerika Syarikat, pegawai Jabatan Kehakiman menyifatkan 1MDB sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk setakat ini," dengan dakwaan hampir AS$4.5 bilion (RM18.7 bilion) daripada dana negara itu dicuri dan melalui proses pengubahan menerusi hartanah dan aset lain.
Pada Selasa, jurucakap Jho Low mengeluarkan kenyataan melalui peguamnya dengan mendakwa bahawa pertuduhan terbaru terhadap anak guam mereka telah dibuat dengan kejam dan bermotifkan politik.
“Pertuduhan ini bertujuan mewujudkan satu lagi jaminan palsu terhadap politik rejim Mahathir setelah gagal menangani isu-isu semasa," kata kenyataan itu.
"Ia tidak lebih daripada kesinambungan perbicaraan oleh media dan tindakan balas politik oleh rejim Mahathir," tambah kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Low tidak bersalah dan pendiriannya untuk tidak menyerahkan dirinya kepada pihak berkuasa "tanpa proses undang-undang bebas."
"Adalah jelas Encik Low tidak boleh mendapatkan perbicaraan yang adil di Malaysia di mana rejim pemerintah berkali-kali menunjukkan bahawa ia tidak berminat dengan kedaulatan undang-undang," kata kenyataan itu.
Pada 24 Ogos, Jho Low didakwa denga pertuduhan menerima AS$261 juta (RM1 bilion) daripada 1MDB antara 26 Dis 2013 dan 3 Jun 2014.
Awal bulan itu, akhbar perniagaan The Edge Markets melaporkan bahawa wang itu digunakan untuk membeli kapal layar mewah Equanimity, yang kini dalam proses dijual selepas dirampas oleh kerajaan pada 6 Ogos lepas.
Pertuduhan lain
Dalam pertuduhan yang difailkan polis pada Selasa, Fuzi berkata, Tang didakwa dengan satu pertuduhan pecah amanah kerana didakwa terlibat dalam pemindahan AS$700 juta (RM2.9 bilion) ke dalam akaun milik Jho Low dan dua pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram kerana didakwa menerima AS$ 6.7 juta (RM27.8 juta) melalui akaun bank luar pesisir di Seychelles dan Switzerland masing-masing pada 5 Ogos 2009 dan 23 Dis 2010.
Loo dan Geh pula masing-masing menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan AS$6 juta (RM24.9 juta) dan satu pertuduhan pecah amanah melibatkan AS$125 juta (RM519 juta).