Ahli Perniagaan Buruan Malaysia Jho Low Meloloskan Diri Lagi

Alfian Z.M. Tahir
2018.07.11
Kuala Lumpur, Malaysia
180710-MY-jho-low-620.jpg Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun memberitahu pemberita di Kuala Lumpur yang ahli perniagaan buruan Malaysia Jho Low telah meloloskan diri dari Macau sebelum beliau sempat ditahan, 11 Julai, 2018.
(S. Mahfuz/BeritaBenar)

Ahli perniagaan buruan Malaysia yang dikehendaki untuk disoalsiasat berhubung skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad [1MDB] berjaya meloloskan diri untuk kali kedua dengan meninggalkan Macau, hanya beberapa hari selepas berbuat demikian ketika berada di Hong Kong bagi mengelak daripada ditangkap, demikian kata Ketua Polis Negara pada Rabu.

Mohamad Fuzi Harun memberitahu pemberita bahawa polis Macau telah mengesahkan melalui emel dua hari lalu yang Low Taek Jho (lebih dikenali sebagai Jho Low) telah meninggalkan negara tersebut untuk ke destinasi yang tidak diketahui.

"Saya tidak dimaklumkan mengenai tarikh dan destinasinya. Walaubagaimanapun, Jho Low berada dalam senarai notis merah Interpol,” menurut Fuzi.

Pada Selasa, Fuzi berkata beliau telah menghubungi pihak berkuasa Macau selepas Jho Low dikatakan telah melarikan diri dari Hong Kong, tetapi tidak menerima maklumbalas.

Pada hari berkenaan juga, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Mustafar Ali memberitahu agensi berita Malaysia, Bernama bahawa Jho Low mungkin menggunakan pasport dari negara lain kerana pasport Malaysia miliknya telah dibatalkan bulan lalu.

Dikenali sebagai orang paling rapat dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak, Jho Low dipercayai mempunyai maklumat penting berkaitan skandal terbesar negara – 1MDB, sebuah dana pelaburan negara yang ditubuhkan oleh Najib pada 2009.

Najib sebelum ini berkata Jho Low mempunyai peranan penting dalam 1MDB kerana mempunyai hubungan strategik dengan beberapa kerabat diraja di Timur Tengah.

Beliau memberitahu agensi berita Reuters bahawa Jho Low mempunyai hubungan istimewa dengan almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud dari Arab Saudi dan keluarganya serta beberapa kerabat raja di Emiriah Arab Bersatu.

‘Saya juga seorang warganegara biasa’

Minggu lalu, Najib didakwa di mahkamah Kuala Lumpur dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung penglibatannya dalam skandal yang membabitkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd. Beliau nenghadapi hukuman maksimum penjara 80 tahun jika disabitkan dengan keempat-empat pertuduhan.

Bekas perdana menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk meminta suapan berjumlah RM42 juta (AS$10.6 juta) sebagai dorongan bagi mempengaruhi keputusan kerajaan Malaysia untuk menjamin beberapa pinjaman berjumlah RM4 bilion (AS$1.01 bilion) kepada SRC International.

Peguam Najib, Badrul Abdullah berkata tuduhan terhadap anak guamnya minggu lalu adalah tidak matang dan terlalu awal kerana pihak berkuasa tidak menyoal siasat Jho Low dan Pengarah Urusan Antarabangsa SRC Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman mengenai 1MDB.

Badrul berkata Jho Low merupakan orang yang berpengetahuan mengenai urusan 1MDB manakala Nik Faisal diberi kuasa untuk membuat transaksi perjanjian; oleh itu, pihak berkuasa sepatutnya menyoal siasat kedua-dua mereka sebelum mendakwa Najib, katanya.

Pihak berkuasa Malaysia masih belum menjumpai Nik Faisal yang dipercayai berada di Indonesia pada Mei.

Sejak disingkir daripada tampuk kuasa pada pilihan raya umum Mei lepas, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, telah dipanggil untuk disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] mengenai 1MDB.

Pihak berkuasa Malaysia telah menggeledah rumah dan hartanah lain yang dikaitkan dengan pasangan itu berjumlah RM117 juta (AS$29 juta) termasuk wang tunai, barang kemas dan barangan mewah lain yang membawa kepada jumlah kesemuanya antara RM900 juta (AS$225 juta) dan RM1.1 bilion (AS$273 juta). Kerajaan mengambil langkah untuk membekukan akaun bank Najib berikutan serbuan tersebut.

Dalam laman Facebook milik Najib, bekas perdana menteri itu pada Rabu merayu supaya akaun banknya tidak dibekukan dan turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah menarik balik pembekuan akaun bank anak-anaknya.

"Pihak berkuasa perlu tahu saya juga rakyat biasa. Sebagai ketua keluarga, saya juga mempunyai bil untuk dibayar, bil perubatan untuk dijelaskan dan sebuah keluarga untuk dijaga," katanya yang memuat naik status berkenaan di laman media sosial beliau itu.

"Tindakan pihak berkuasa membekukan akaun bank saya ini, menyebabkan pelbagai kesukaran dan kepayahan untuk saya melaksanakan tanggungjawab ini."

"Seperti mana-mana warganegara lain saya berhak mendapat akses kepada kebebasan peribadi saya sehingga perbicaraan saya selesai. Saya merayu dengan semua yang terlibat untuk mematuhi peraturan penyiasatan adil dan saksama."

“Sebagaimana rakyat lain, saya berhak untuk mengakses kebebasan peribadi saya sehingga perbicaraan selesai. Saya memohon semua pihak berkaitan untuk berpegang kepada keluhuran undang-undang dan siasatan tidak berbelah bahagi.”

Cabaran mahkamah

Veera Kumar, seorang lagi peguam yang mewakili Najib, memberitahu BeritaBenar bahawa unit Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman telah melanggar prosedur operasi standardnya ketika melakukan serbuan terhadap tempat tinggal dan pejabat yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu.

"Wang yang ditemui di dalam premis perlu dikira di situ dan bukannya tempat lain. Seorang saksi juga perlu hadir. Itu adalah mengikut undang-undang, tetapi ianya tidak berlaku," kata peguam berkenaan.

Pada 30 Jun, Najib telah memfailkan saman terhadap polis kerana bersikap kurang profesionalisme, dan juga terhadap Peguam Negara Tommy Thomas dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull. Permohonan akan didengar pada 16 Julai ini.

"Kami akan menjawab dalam afidavit itu. Saya tidak akan mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini di khalayak ramai," kata Fuzi ketika ditanya mengenai kemungkinan tindakan undang-undang akan diambil.

Setelah dituduh minggu lalu, Najib dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta - separuh daripadanya dibayar pada hari itu manakala separuh lagi dibayar pada Isnin lalu. Kerana akaun banknya dibekukan, bekas pemimpin UMNO itu berkata bahawa beliau bergantung kepada derma daripada anggota parti untuk membayar pelbagai bil.

Pada Rabu juga, UMNO telah mengumumkan bahawa ia telah mengambil peguam untuk mewakilinya bagi membuat petisyen dan tuntutan terhadap kerajaan dalam mengembalikan wang tunai berjumlah kira-kira RM116.7 juta (AS$ 28.9 juta) yang disita oleh pihak berkuasa semasa menyerbu kediaman bekas perdana menteri tersebut.

"Pasukan peguam Ibupejabat UMNO berharap tiada mana-mana pihak yang akan membuat sebarang spekulasi yang tidak wajar terhadap perkara ini," menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Unit Undang-undang Ibu Pejabat UMNO, Azalina Othman Said di Kuala Lumpur.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.