Remaja Dipenjara Hina Institusi DiRaja Johor
2016.06.07
Washington DC

Seorang remaja dikenakan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Baharu, setelah didapati bersalah menghina Institusi DiRaja Johor di laman media sosial antara Mac dan April lepas, dengan bekas menteri undang-undang Malaysia mempertikaikan tindakan itu.
Muhammad Amirul Azwan Mohd Shakri, 19, yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah terhadap 14 tuduhan menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selepas kertas pertuduhaan dibacakan kepada beliau di hadapan hakim Sabariah Atan, seperti dilaporkan media tempatan.
Mengikut kertas pertuduhan itu, Muhammad Amirul Azwan yang berasal dari Tumpat, Kelantan, didakwa mengeluarkan komen dengan kata-kata kesat di laman media sosial Facebook atas nama 'Miyo Castello' dengan niat untuk menyakitkan hati Tunku Mahkota Johor.
Tertuduh yang merupakan seorang buruh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Hakim Sabariah Atan mengarahkan remaja berkenaan dihukum penjara secara serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 28 April.
Terdahulu itu, Muhammad Amirul Azwan, dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman ke atas beliau memandangkan dia berasal daripada keluarga miskin dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan serupa.
Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim dalam akaun twitternya membidas hukuman penjara setahun yang dijatuhkan mahkamah terhadap remaja berkenaan.
Zaid menegaskan bahawa Muhammad Amirul Azwan hanya berusia 19 tahun dan mungkin merupakan pesalah kali pertama.
"Beliau (Muhamad Amirul Azwan) tidak sewajarnya mendapat hukuman penjara, apatah lagi hukuman maksimum. Seseorang perlu menyemak (hukuman itu) semula," tulis bekas menteri itu yang juga seorang peguam dalam akaun twitternya.
Zaid turut mempersoalkan sama ada Akta Komunikasi dan Multimedia hanya melindungi kumpulan bangsawan dan pemimpin tertinggi sahaja.
"Saya [Zaid] dihina sepanjang masa, begitu juga yang lain. Apa masalahnya?" soalnya.
Katanya, semua orang kini mempunyai pelbagai akaun di media sosial, termasuk Tuanku Ismail dan bukan sesuatu yang luar biasa bagi kata-kata menghina dilemparkan.
"Bukan semua orang waras, tetapi tidak perlu penjarakan orang bodoh," katanya.
Beliau juga tertanya-tanya mengapa Muhammad Amirul Azwan tidak diwakili oleh peguam, dan menggesa Majlis Peguam Malaysia untuk tampil mewakili remaja itu ataupun bagi "17,000 peguam di luar sana" melakukan sesuatu.
Sejak dua minggu lepas, sekurang-kurangnya tiga individu telah ditahan kerana didakwa menyiarkan kenyataan menghina terhadap Tunku Ismail walaupun baginda meminta pihak polis agar tidak menahan para pengkritiknya.
"Saya [Tunku Ismail] dengan rendah diri mencadangkan kepada Polis DiRaja Malaysia agar tidak menangkap mana-mana individu yang telah membuat sebarang kenyataan yang menghina terhadap saya.
"Berikan mereka peluang untuk menyuarakan apa yang mereka mahu katakan kepada saya secara berhadapan, dan bersemuka antara mereka dan saya sahaja. Terus terang saya cakap yang saya tidak peduli apa sahaja orang katakan", kata baginda di laman Facebook Johor Southern Tigers, pada 29 Mei lalu.