Presiden Jokowi disambut meriah pekerja migran Indonesia semasa lawat Chow Kit
2023.06.08
Kuala Lumpur

Presiden Indonesia Joko Widodo, ditemani tuan rumah yang juga rakan sejawatannya Perdana Menteri Anwar Ibrahim, turun padang melawat sekitar Pasar Chow Kit di ibu negara Kuala Lumpur pada Khamis selepas bersetuju untuk meningkatkan perlindungan pekerja asing Indonesia di Malaysia.
Ramai orang memenuhi jalanan di Chow Kit, yang merupakan hab bagi warga negara jiran Indonesia yang bekerja dan tinggal di Malaysia menunggu kedatangan kedua-dua pemimpin itu yang sekaligus menandakan ikatan kukuh antara kedua negara Asia Tenggara tersebut.
Terdahulu, Anwar dan Presiden Indonesia yang lebih dikenali dengan panggilan mesra Jokowi telah bersetuju dengan beberapa siri pengumuman yang menyasarkan kerjasama antara kedua negara termasuk satu yang secara khususnya menangani langkah-langkah "diskriminatif" Kesatuan Eropah terhadap minyak sawit.”
Kawasan sekitar Jalan Chow Kit berubah menjadi meriah dipenuhi rasa keterujaan dengan bendera Malaysia dan Indonesia dikibarkan di merata tempat. Lagu kebangsaan kedua-dua negara serta sorakan ceria para pengunjung turut bergema di kawasan tersebut.
Orang ramai kedengaran bersorak "Pak Jokowi" bertalu-talu ketika Presiden Indonesia itu melangkah keluar daripada kereta sambil diiringi oleh Anwar, sebelum mereka bersama-sama berjalan kaki melawat sekitar pasar basah Chow Kit sambil bersalaman dengan mereka yang berpusu-pusu mahu melihat kedua pemimpin itu.
Yuesnaedy Idrus, pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Chow Kit, memberitahu BenarNews bahawa kawasan berkenaan menjadi lokasi lawatan Jokowi kerana ia mempunyai bilangan pekerja Indonesia yang signifikan.
"Peratusan migran Indonesia yang bekerja di pasar basah Chow Kit ini adalah besar, dan ia mungkin salah satu sebab kenapa beliau datang ke sini untuk melawat," kata beliau.
Menurut Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, terdapat kira-kira 1.7 juta warga Indonesia menetap dan bekerja di sekitar Malaysia, dengan kebanyakan mereka mencari rezeki di ladang-ladang dan sektor pembinaan.
Jokowi dan Anwar menghabiskan masa kira-kira satu jam melawat Kuala Lumpur dengan diiringi nyanyian lagu kebangsaan Indonesia 'Indonesia Raya', sebelum kedua-dua mereka berehat sebentar di sebuah kafe yang dikawal ketat anggota pasukan keselamatan.
Seorang peniaga sayur warga Indonesia, Huda Syukur, 47, berkata ramai rakyat negara itu mengagumi Jokowi.
"Presiden Jokowi amat popular di kalangan warga Indonesia, dan kami mengagumi sifat merendah diri beliau yang sudi melawat pasar ini yang selalunya sesak dan kotor," kata beliau kepada BenarNews.
Presiden Indonesia Joko Widodo yang lebih dikenali dengan panggilan Jokowi sempat bersalaman dengan warga Indonesia yang menunggu beliau dalam terik matahari semasa lawatan beliau ke Pasar Chow Kit di Kuala Lumpur, 8 Jun, 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Hubungan dua hala
Sebelum membuat lawatan tersebut, Jokowi dan Anwar telah mengadakan pertemuan di kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya, di mana mereka membincangkan isu-isu hubungan dua hala, kestabilan serantau serta mengenai isu perlindungan dan kebajikan pekerja migran Indonesia.
Dalam satu kenyataan bersama, Jokowi dan Anwar berkata kedua-dua negara memfokuskan usaha memperkukuh hubungan bagi menggalakkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.
"Kedua-dua pemimpin mengakui komitmen kedua belah pihak untuk memperbaiki perlindungan hak asasi, kebajikan dan pekerjaan semua migran Indonesia di Malaysia," kata Jokowi dan Anwar dalam kenyataan bersama mereka.
Dua pemimpin itu turut menandatangani beberapa perjanjian serta memorandum persefahaman berkenaan isu rentas sempadan, perdagangan, promosi pelaburan, dan pengiktirafan sijil halal secara bersama.
Selain itu, Jokowi dan Anwar turut berbincang mengenai tindakan Kesatuan Eropah yang menindas industri minyak kelapa sawit, dan menegaskan kepentingan untuk langkah penyelesaian yang adil.
"Kedua-dua pemimpin mengambil pendirian untuk bekerjasama rapat bagi menghadapi langkah diskriminasi oleh Kesatuan Eropah melalui Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan (EUDR) yang amat memudaratkan sektor minyak sawit.
"Mereka bersetuju bahawa Kesatuan Eropah hendaklah dengan segera menangani langkah yang mendiskriminasi tersebut dan berusaha ke arah resolusi yang adil dan saksama," kata kenyataan bersama itu lagi.
Malaysia dan Indonesia turut menandatangani perjanjian berkenaan sempadan negara di kawasan perairan, satu kejayaan yang dicapai selepas rundingan selama lebih dua dekad.
Jokowi dan Anwar menyuarakan pandangan bahawa perjanjian tersebut adalah simbol hubungan harmoni dan persahabatan antara dua negara itu serta menyediakan satu asas kukuh kepada rundingan persempadanan maritim antara Malaysia dan Indonesia di masa depan.
"Saya menyambut baik penyelesaian rundingan batas laut di Sulawesi setelah 18 tahun proses rundingan. 18 tahun dan bisa diselesaikan alhamdulillah. Saya juga berharap rundingan perbatasan lainnya termasuk di darat juga akan dapat diselesaikan," kata Jokowi semasa sidang media di Putrajaya itu.
Presiden Joko Widodo yang mesra dipanggil Jokowi sedang bergambar dengan seorang wanita warga Indonesia semasa melawat Pasar Chow Kit bersama Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur, 8 Jun, 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Antara perkara lain yang dibincangkan Presiden Indonesia dengan Anwar termasuk isu keganasan di negara jiran Myanmar, dan kedua-dua mereka menggesa supaya Myanmar melaksanakan Konsensus Lima Perkara seperti dipersetujuinya dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), serta mengadakan dialog di peringkat domestik.
"Kami menggesa supaya semua bentuk keganasan serta kekerasan hendaklah dihentikan bagi mewujudkan suasana kondusif yang membolehkan dialog kebangsaan dibuat antara semua pihak berkaitan, serta supaya semua bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk dan disampaikan kepada mereka yang memerlukan di Myanmar, tanpa sebarang diskriminasi," kata Jokowi dan Anwar.
Jokowi mengakhiri lawatan rasmi dua harinya dengan minum petang bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara sebelum berangkat pulang ke Indonesia.
Indonesia merupakan rakan perdagangan yang keenam terbesar bagi Malaysia, dan yang kedua terbesar antara negara-negara ASEAN, dengan nilai keseluruhan dagangan sebanyak AS$29.55 bilion pada 2022.