PM Malaysia Rombak Kabinet Buat Kali Ketiga
2016.06.27
Kuala Lumpur & Kuching
Perdana Menteri Malaysia pada Isnin merombak Kabinet dengan memberi ganjaran jawatan baru kepada mereka yang setia kepadanya dengan mempertahankan beliau daripada dakwaan rasuah, di tengah-tengah spekulasi bahawa beliau sedang memperkukuhkan kuasanya bagi membuka laluan kepada pilihan raya awal pada 2017, menurut laporan.
Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung dari Putrajaya, Najib Razak berkata beliau merombak Kabinetnya buat kali ketiga dalam tempoh dua tahun bagi melakukan pelantikan beberapa menteri dan empat timbalan menteri baru.
Rombakan itu akan "mengukuhkan lagi pentadbiran sedia ada bagi memastikan agenda kerajaan untuk pembangunan ekonomi, kebajikan dan keselamatan akan terus dilaksanakan seperti yang dijanjikan," kata Najib.
Tetapi, apabila ditanya sama ada pasukan baru itu akan membawa gabungan Barisan Nasional menghadapi pilihan raya umum akan datang, Perdana Menteri tidak mahu menyatakan sama ada pilihan raya itu akan diadakan pada 2018, yang merupakan tahun ditetapkan bagi mengadakan pilihan raya umum ke-14 berdasarkan kitaran pilihan raya lima tahun negara itu.
"Ia bergantung bila pilihan raya umum berikutnya akan diadakan. Saya tidak tahu lagi, "kata Najib.
Najib tidak mungkin mengadakan pilihan raya umum dengan segera tetapi "mana-mana pilihan raya mungkin diadakan pada suku ketiga tahun depan," menurut saintis politik Jeniri Amir.
"Beliau perlu mengukuhkan cengkamannya terhadap banyak perkara sebelum boleh mengadakan pilihan raya itu," kata Jeniri, penolong profesor di Universiti Malaysia Sarawak, kepada BeritaBenar.
"Apa yang kita lihat daripada rombakan Kabinet hari ini adalah petunjuk jelas bahawa beliau mahu berada bersama-sama mereka yang setia dengannya seperti Noh Omar dan Abdul Rahman Dahlan dalam Kabinet. Dan ini adalah hanya langkah pertama, "katanya sambil merujuk kepada dua daripada nama besar dalam rombakan Kabinet Isnin itu.
Noh Omar, pengerusi di negeri Selangor bagi parti Najib, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), dilantik sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menggantikan Abdul Rahman, yang kini mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.
"Najib kini berada dalam kedudukan yang amat kuat. Saya fikir beliau sedang melihat kepada kemungkinan mengadakan pilihan raya umum tergempar di antara Mac dan Mei 2017 susulan kemenangan besar pilihan raya kecil baru-baru ini, "kata Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Parti Islam Se-Malaysia (PAS), kepada Agence France-Presse.
Beliau merujuk kepada dua kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil di Selangor dan Perak bagi mengisi dua kerusi Parlimen. Kemenangan pada 18 Jun itu mengukuhkan lagi cengkaman Najib terhadap partinya, UMNO, berikutan kemenangan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya di negeri Malaysia Timur, Sarawak, menurut laporan berita.
Sementara itu, sumber dalam pentadbiran Najib memberitahu Reuters bahawa keputusan kukuh dalam pilihan raya baru-baru ini adalah apa yang dinantikan Najib bagi membolehkan beliau mengadakan pilihan raya awal, dan ini mungkin dilakukan pada separuh kedua tahun depan.
Datang dan pergi
Channel News Asia menyifatkan Noh Omar dan Abdul Rahman sebagai penyokong kuat Najib, sambil menyatakan Abdul Rahman telah "lantang mempertahankan Najib daripada para pengkritiknya pada tahun lepas," terutamanya berhubung dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang "dibelenggui skandal".
Sejak Julai 2015, Najib berdepan gesaan meluas supaya meletakkan jawatan di tengah-tengah dakwaan berhubung wang yang berjumlah hampir AS$700 juta yang dideposit ke dalam akaun bank peribadinya yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1MDB. Perdana Menteri enggan berundur dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil apa-apa wang itu untuk kepentingan peribadi.
"Apa yang menarik ialah kemasukan semula Noh Omar dalam Kabinet. Saya rasa ia mungkin satu ganjaran buat Noh yang membantu memenangi pilihan raya kecil di Sungai Besar dan telah cuba mengukuhkan Barisan Nasional Selangor bagi Pilihan Raya Umum ke-14, "kata Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, seorang profesor sains politik di Universiti Utara Malaysia, kepada BeritaBenar.
Minggu lalu, berikutan kemenangan terbaru dalam rentetan pilihan raya, UMNO memecat dua pengkritik Najib daripada jawatan kepimpinan parti: bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin - yang Najib pecat pada Julai tahun lepas, sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet kedua kerana Muhyiddin secara terbuka mengkritik Perdana Menteri berhubung skandal 1MDB - dan bekas Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir - anak musuh Najib dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.
Rombakan Kabinet terbaru itu juga menyaksikan Timbalan Menteri Kewangan Johari Ghani dinaikkan pangkat ke jawatan Menteri Kewangan Kedua bagi menggantikan Ahmad Husni. Othman Aziz, seorang Ahli Parlimen mewakili kawasan Jerlun, dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan yang baru.
Di EPU, Abdul Rahman menggantikan Abdul Wahid Omar, yang mengumumkan persaraannya; Nasrun Mansur dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menggantikan Allahyarham Noriah Kasnon, yang terbunuh dalam nahas helikopter di Sarawak pada Mei lalu.
Antara pelantikan lain ialah Sum Agong, seorang Ahli Parlimen dari Lawas Henry, dinamakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, manakala S.K. Devamany pula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Surat daripada Anwar
Pengumuman rombakan Kabinet Najib dibuat dua hari selepas Anwar Ibrahim, pemimpin pembangkang yang dipenjarakan, menggesa partinya dan sekutu politik supaya mengadakan perhimpunan untuk mengatasi rasa kecewa akibat kekalahan dalam pilihan raya baru-baru ini.
"Malaysia tidak mempunyai harapan untuk memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat atau mendapatkan penghormatan dunia di bawah rejim pemerintahan semasa, dengan perdana menterinya berada di tengah-tengah skandal kewangan yang melangkaui capaian dan implikasi seluruh dunia," kata Anwar, pemimpin Parti Keadilan rakyat (PKR) yang dipenjarakan kerana sabitan liwat, dalam surat terbuka daripada selnya yang disiarkan dalam edisi Sabtu Free Malaysia Today.
"Pembangkang perlu melihat keputusan pilihan raya itu dengan penuh rendah hati, dan mengkaji kelemahan kita. Ini bukan masanya untuk memberi alasan atau menyalahkan sesiapa, "kata Anwar.