1MDB: Malaysia Bekukan Ratusan Akaun Bank, Soal Siasat Bekas Timbalan Perdana Menteri
2018.07.02
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia memperhebatkan siasatannya pada Isnin berhubung dakwaan pencurian berbilion dolar daripada dana pelaburan negara, 1MDB, dengan pihak berkuasa membekukan beratus-ratus akaun bank dan menyoal siasat bekas timbalan perdana menteri selama lapan jam.
Ini dilakukan ketika perdana menteri baru Malaysia Mahathir Mohamad menyaksikan istiadat mengangkat sumpah jawatan 13 lagi menteri kabinetnya termasuk diplomat terbaru negara itu. Gabungan parti Pakatan Harapan pimpinan Mahathir telah memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei dan berjanji mahu membersihkan rasuah yang didakwa membelenggui kerajaan serta menyiasat secara mendalam tentang skandal 1MDB.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara secara rasminya memperluaskan kabinet Mahathir kepada 27 anggota. Antara nama yang disenaraikan dalam kabinet itu ialah Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Syed Saddiq Abdul Rahman yang menjadi Menteri Belia dan Sukan. Syed Saddiq, yang berumur 25 tahun, merupakan menteri paling muda yang pernah dilantik menganggotai kabinet negara.
Tetapi, Mahathir berkata, barisan kabinetnya masih belum lengkap.
"Kami akan mempunyai (sejumlah) 29 menteri. Sekarang, kami ada 26 orang, ada tiga lagi yang akan dilantik," lapor agensi berita nasional, Bernama, yang memetik beliau sebagai berkata.
Selepas itu, Saifuddin menuju ke pejabat barunya di Wisma Putra, nama yang dikenali bagi ibu pejabat Kementerian Luar.
"Seperti dinyatakan dalam manifesto kami (Pakatan Harapan), kami berhasrat untuk menandatangani semua konvensyen hak asasi manusia antarabangsa. Terdapat sembilan konvensyen, yang mana setakat ini, kami hanya memperakukan tiga sahaja, "katanya kepada pemberita pada Isnin, menurut laporan akhbar TheStar di Malaysia.
Akaun dibekukan
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membentuk sebuah pasukan petugas untuk menyiasat dakwaan rasuah berhubung 1MDB, berkata, sebanyak 408 akaun bank yang melibatkan hampir AS$370 juta telah dibekukan. Akaun itu dikaitkan dengan 81 individu dan 55 syarikat, kata agensi berkenaan.
"Akaun-akaun itu dipercayai berkaitan dengan penyelewengan dan penyalahgunaan dana 1MDB," kata SPRM dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pihak berkuasa dalam kerajaan baru yang diterajui Mahathir, yang akan berusia 93 tahun pada 10 Julai ini, telah membuka semula siasatan terhadap 1MDB sejurus selepas Pakatan Harapan menewaskan Barisan Nasional dalam keputusan pilihan raya menakjubkan yang diterjemahkan daripada kemarahan orang ramai berhubung dakwaan rasuah di 1MDB.
Pada Isnin, SPRM menyoal siasat bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengenai dakwaan yang dibuatnya pada 2015 bahawa beliau telah bertemu wakil keluarga diraja Arab Saudi yang telah menyalurkan sejumlah besar wang itu ke dalam akaun bank Najib.
"Semua maklumat yang mereka ada adalah daripada laporan media, jadi saya dikehendaki membuat laporan terperinci tentang apa yang berlaku," kata Ahmad Zahid, yang merujuk kepada para penyiasat SPRM.
Zahid, 65, mengunjungi ibu pejabat SPRM itu dua hari selepas beliau dipilih sebagai presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang pernah berkuasa sebagai pemerintah dan menerajui gabungan Barisan Nasional dengan dahulunya diterajui oleh Najib. Amad Zahid memberitahu pemberita pada Ahad bahawa beliau menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat dakwaan bahawa partinya itu menerima dana daripada 1MDB.
Najib meletakkan jawatan tertinggi dalam UMNO dan memilih Ahmad Zahid untuk mengetuai pembaharuan parti selepas pilihan raya umum itu menamatkan tempoh berkuasa Barisan Nasional selama enam dekad. Para penyiasat pada Jumaat berkata, akaun bank yang dibekukan itu adalah termasuk milik UMNO.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) cuba mendapatkan lebih daripada $1.7 bilion hartanah dan aset lain yang didakwa diselewengkan melalui urus niaga rumit daripada 1MDB, yang ditubuhkan Najib pada 2009 kononnya untuk mendapatkan projek-projek pembangunan yang akan memberi manfaat kepada warganegara Malaysia.
Dokumen mahkamah menyatakan bahawa kira-kira AS$681 juta dana 1MDB telah dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib, tetapi Najib berkata, wang itu adalah sumbangan politik daripada anggota keluarga diraja Saudi.
Ahmad Zahid memberi keterangannya kepada suruhanjaya itu seminggu selepas agensi anti-rasuah tersebut mengarahkan Amhari Efendi Nazaruddin, seorang bekas pegawai Najib, untuk memberikan kenyataannya sebagai sebahagian daripada siasatan 1MDB. Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, juga telah memberi kenyataan kepada suruhanjaya itu bulan lepas.
Ahmad Zahid berkata, beliau akan kembali ke SPRM pada Selasa untuk menjawab lebih banyak soalan mengenai dakwaan penyelewengan dana sebuah yayasan yang dimiliki keluarganya.
Dan, sumber SPRM yang amat diyakini memberitahu BeritaBenar, bahawa suruhanjaya itu akan menyoal siasat anak tiri Najib iaitu Riza Aziz, 48, pada Selasa.
Red Granite Pictures, sebuah syarikat yang diasaskan oleh Riza, bersetuju pada Mac tahun ini untuk membayar kerajaan AS sebanyak $60 juta bagi menyelesaikan tuntutan mahkamah yang mendakwa filemnya, termasuk "The Wolf of Wall Street," dihasilkan dengan menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB, menurut dokumen mahkamah.
Penyelesaian itu bukan merupakan "pengakuan salah laku atau liabiliti di pihak Red Granit," kata fail mahkamah itu.
Kerajaan Mahathir sedang berusaha untuk mendapatkan semula sehingga $4.5 bilion yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB. Minggu lepas, pihak Polis menyatakan bahawa barang kemas, beg tangan berjenama, wang tunai dan barangan mewah lain yang dirampas daripada penggeledahan yang dilakukan semasa serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan Najib, adalah bernilai sehingga AS$ 273 juta.
Najib telah menafikan tuduhan bahawa beliau terlibat dalam mencuri wang rakyat Malaysia daripada 1MDB.