Malaysia Tidak Punya Rancangan Haramkan Perkahwinan Bawah Umur
2022.03.22
Kuala Lumpur

Malaysia tidak mempunyai rancangan untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur tetapi akan berusaha mengekang perkahwinan tersebut melalui beberapa inisiatif, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Selasa, sehingga menimbulkan kemarahan banyak pihak termasuk pembangkang.
Kenyataan Rina Harun, menteri yang bertanggugjawab itu disambut dengan kritikan keras daripada pelbagai pihak seperti badan bukan kerajaan, orang ramai dan juga ahli politik pembangkang yang menggesa supaya Putrajaya menjalankan tanggungjawab melindungi golongan kanak-kanak daripada amalan kahwin bawah umur.
Dalam jawapan beliau kepada soalan yang diajukan Ahli Parlimen dari parti Pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar, Rina berkata keputusan tersebut dibuat kerajaan kerana percaya amalan tersebut perlu ditangani melalui pelbagai cara dan bukan melalui perubahan undang-undang.
"Untuk makluman, Kerajaan buat masa ini tiada perancangan untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur. Namun, kerajaan tetap komited untuk mengekang perkahwinan bawah umur melalui pelaksanaan program di bawah Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.
"Ini adalah kerana punca perkahwinan bawah umur bukan sahaja perlu ditangani melalui perubahan perundangan, malahan melalui pendidikan, advokasi, kesihatan, pengukuhan institusi keluarga, serta sokongan sosio-ekonomi masyarakat.
“Pada masa yang sama, Jawatankuasa Pemandu yang telah ditubuhkan akan terus memantau pelaksanaan dan perkembangan program yang dirancang," kata menteri itu dalam jawapan bertulisnya kepada sidang Parlimen yang dilihat BenarNews.
Putrajaya juga bersetuju bahawa isu penetapan had umur minima berkahwin adalah tertakluk pada bidang kuasa Majlis Agama Islam di peringkat negeri, tambah Rina.
Kenyataan Rina pada Selasa adalah bertentangan dengan ucapan beliau tahun lalu yang mengulangi komitmen Malaysia untuk menamatkan amalan perkahwinan kanak-kanak semasa berucap pada majlis pelancaran 'Advocacy Brief' oleh Unicef yang bertajuk 'Ke Arah Menghentikan Amalan Perkahwinan Kanak-Kanak'.
Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur adalah satu rancangan komprehensif diformulasikan kerajaan Pakatan Harapan dan dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Wan Azizah Wan Ismail pada 16 Januari 2020.
Pelan tersebut telah mengenalpasti faktor yang menyumbang kepada berlakunya perkahwinan kanak-kanak, dan strategi, program serta tindakan yang diperlukan bagi menghentikan amalan tersebut.
Tindakan gagalkan usaha
Sekumpulan Ahli Parlimen wanita dari parti pembangkang berkata bahawa usaha kerajaan untuk menangani masalah perkahwinan kanak-kanak tanpa mengharamkan aktiviti itu adalah bertentangan dengan usaha yang telah diambil kerajaan sebelum ini.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka menegaskan bahawa pelan strategik yang dilancarkan oleh Wan Azizah pada 2020 adalah satu gandingan kepada tindakan konkrit melalui pindaan undang-undang, dan bertujuan untuk menetapkan umur minimum perkahwinan bagi kaum wanita kepada 18 tahun.
"Pendirian Menteri Datuk Seri Rina Harun menggagalkan usaha sebelumnya – lebih-lebih lagi di kala pandemik yang memangsakan lebih ramai anak gadis daripada keluarga kurang berkemampuan yang paling berisiko terjerumus dalam perkahwinan kanak-kanak," kata kenyataan tersebut yang ditandatangani lapan Ahli Parlimen dan seorang Senator Dewan Negara, termasuk Nurul Izzah dan Wan Azizah.
Menurut mereka, statistik pada tahun 2020 menunjukkan bahawa 445 pelajar sekolah telah dikesan tidak menamatkan persekolahan mereka untuk berkahwin. Bilangan itu membabitkan 411 pelajar perempuan dan 34 pelajar lelaki.
Para pemimpin wanita itu turut menggesa supaya Rina selaku menteri yang bertanggungjawab meneruskan usaha yang telah dijalankan kerajaan dalam isu berkenaan, termasuk berunding dengan tujuh negeri yang tidak bersetuju meminda undang-undang mereka mengenai had umur berkahwin.
"Kami menggesa Menteri Wanita agar kembali kepada langkah konkrit seiring dengan tanggungjawab serta amanah untuk melindungi wanita, kanak-kanak dan masyarakat rentan.
"Usaha melindungi dan membendung eksploitasi kanak-kanak perlu dimulakan dengan reformasi perundangan yang sudah pun bermula di dua negeri - dengan kesediaan lima negeri lagi. Jangan berdolak dalih dan menggagalkan usaha lampau," kata kumpulan tersebut merujuk kepada negeri yang sudah bersetuju menaikkan had umur minimum untuk berkahwin.
Bekas timbalan menteri Hannah Yeoh, yang berkhidmat dalam kementerian itu di bawah Wan Azizah, turut mengeluarkan gesaan serupa melalui satu ciapan di laman media sosial Twitter rasminya pada Selasa.
"Ikut sahaja pelan tersebut!," kata beliau.
Terdapat beberapa faktor yang telah menyebabkan tergendalanya usaha kerajaan sebelum ini untuk menghentikan amalan perkahwinan di kalangan kanak-kanak, termasuk bagaimana sistem perundangan di Malaysia berfungsi, dan hal ehwal perkahwinan orang Islam di negara itu yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah – dengan meletakkan had umur minimum untuk berkahwin adalah 18 tahun bagi lelaki manakala bagi perempuan pula ialah 16 tahun.
Selain itu, undang-undang berkaitan agama Islam juga adalah tertakluk di bawah kuasa negeri, dan mempunyai perbezaan di antara satu negeri dengan negeri yang lain.
Berdasarkan laporan media tempatan, hanya negeri Selangor telah mengubah undang-undang di negeri itu bagi menaikkan had umur berkahwin kepada 18 tahun, manakala lima negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Wilayah Persekutuan telah bersetuju untuk mengambil langkah serupa, tetapi tujuh lagi negeri - Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan, enggan berbuat demikian.
Bagi perkahwinan di kalangan bukan Islam pula, undang-undang sivil Malaysia membenarkan pasangan berusia 18 tahun dan ke atas sahaja untuk berkahwin, akan tetapi, ketua menteri atau menteri besar sesebuah negeri mempunyai kuasa untuk memberikan kebenaran kepada wanita berumur 16 dan ke atas untuk berkahwin.
Sementara itu, set undang-undang adat untuk kaum Orang Asli di Malaysia pula tidak menetapkan sebarang had minimum untuk berkahwin.
Menurut laporan dikeluarkan oleh Unicef, seramai 1,856 kanak-kanak Malaysia telah berkahwin sepanjang tahun 2018 dan menganggarkan sekurang-kurangnya 1,500 kanak-kanak Malaysia berkahwin setiap tahun.
Akhbar tempatan The MalayMail melaporkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa membentangkan kepada Parlimen, Disember lalu memaklumkan bahawa sebanyak 543 perkahwinan kanak-kanak telah direkodkan dalam sembilan bulan pertama tahun 2020, termasuk 520 permohonan yang difailkan pasangan Islam kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
Dalam pada itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Idris Ahmad pada Disember lepas dilaporkan berkata bahawa tidak ada keperluan untuk meminda perundangan bagi menaikkan had umur berkahwin bagi wanita beragama Islam.
Menurut laporan agensi berita kerajaan BERNAMA, menteri itu telah memaklumkan Parlimen bahawa kebanyakan negeri di Malaysia telah bersetuju untuk mengekalkan had umur yang sedia ada dalam undang-undang Syariah di negeri masing-masing.
"Berdasarkan maklum balas dan pandangan yang diterima, kebanyakan negeri secara dasarnya bersetuju mengekalkan had umur sedia ada sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang keluarga Islam negeri masing-masing," beliau dilaporkan berkata.