Kahwini Budak 11 tahun, Lelaki Malaysia Didenda

Staf BeritaBenar
2018.07.09
Kuala Lumpur & Pattani, Thailand
wanazizah.jpeg Timbalan Perdana Menteri Malaysia Wan Azizah Wan Ismail ketika bercakap mengenai perkahwinan seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 41 tahun dengan budak perempuan Thailand berusia 11 tahun, 2 Julai 2018.
(AP)

Mahkamah Syariah di negeri Kelantan, Malaysia mendenda seorang lelaki tempatan sebanyak RM1,800 (AS$446) selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang berpunca daripada pernikahannya dengan budak perempuan  berusia 11 tahun di Thailand, lapor media tempatan pada Isnin.

Lelaki berusia 41 tahun itu didakwa melangsungkan pernikahan dan poligami tanpa mendapatkan kebenaran mahkamah mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan No. 6 Tahun 2002, lapor media dalam talian Malaysia, Harian Metro. Pertuduhan itu membawa denda maksimum RM1,000  setiap satu, atau dua bulan penjara.

Berita mengenai pernikahan itu di Narathiwat, sebuah wilayah yang terletak hanya di seberang sempadan selatan Thailand yang mempunyai ramai penduduk Muslim, telah membangkitkan kemarahan orang ramai di kedua-dua negara selepas ia dilaporkan dalam talian melalui catatan Facebook  isteri kedua lelaki itu.

Di Thailand, seorang pegawai kerajaan menyatakan tidak banyak yang boleh dilakukan untuk membatalkan perkahwinan itu kerana pasangan tersebut dinikahkan mengikut undang-undang Islam oleh imam tempatan.

"Kami tidak boleh segera campur tangan kerana undang-undang Islam yang ditetapkan di wilayah selatan membenarkan perkahwinan ini dengan persetujuan ibu bapa, tetapi undang-undang Thailand tidak membenarkannya," kata Kotrimah Hajiahrun, seorang pegawai di kementerian pembangunan sosial dan keselamatan manusia, kepada BeritaBenar.

Para pegawai dari Jabatan Kanak-kanak dan Remaja Thailand, Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan dan wakil-wakil dari Jawatankuasa Islam Narathiwat mengadakan pertemuan minggu lalu untuk membincangkan kes itu, kata Kotrimah.

“Jabatan itu bertemu dengan pihak yang terlibat untuk membincangkan bagaimana kita boleh campur tangan atau membantu keluarga ini. Kita perlu menyelesaikan  perkara ini. Pada masa ini, kita belum tahu apa sebenarnya yang boleh kita lakukan, " kata Kotrimah.

Jawatankuasa-jawatankuasa Islam di Narathiwat dan wilayah-wilayah lain di Selatan Thailand antaranya menyelia perundangan Islam, mengeluarkan sijil nikah dan cerai serta mengesahkan produk halal tetapi imam-imam di masjid tempatan beroperasi secara bebas daripada jawatankuasa-jawatankuasa tersebut, kata sumber.

Safiri Jeha, presiden jawatankuasa Islam di Narathiwat, berkata, ibu bapa budak perempuan itu memainkan peranan penting dalam membenarkan pernikahan itu dilangsungkan.

"Undang-undang Islam membenarkan remaja berusia 15 tahun dan ke atas berkahwin tetapi bagi yang berusia bawah daripada itu boleh berkahwin dengan adanya persetujuan ibu bapa. Mereka boleh mengadakan majlis itu di mana sahaja asalkan adanya seorang Imam, "kata Safiri kepada BerotaBenar. "Dalam kes budak perempuan berusia 11 tahun yang berkahwin di Sungai Golok, mereka telah mematuhi ajaran Islam dan undang-undang Islam yang digubal di Yala, Pattani, Narathiwat dan Satun."

Pada 3 Julai, jawatankuasa daerah yang mengadakan mesyuarat untuk membincangkan kes itu, memutuskan bahawa imam yang menikahkan  lelaki Malaysia itu dengan budak berusia 11 tahun tersebut tidak melanggar undang-undang Islam, katanya.

Akan bersama kemudian, kata pengantin lelaki

Malaysia mempunyai sistem undang-undang sivil dan sistem undang-undang Islam (syariah) yang berasingan. Undang-undang syariah, khususnya Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, menetapkan umur sah berkahwin ialah 16 tahun untuk perempuan dan 18 tahun untuk lelaki, yang turut membenarkan pengecualian dengan kebenaran mahkamah. Undang-undang sivil menetapkan 18 tahun sebagai umur perkahwinan minimum bagi  lelaki dan perempuan.

Selain isu umur, undang-undang keluarga Islam mewajibkan seorang lelaki Malaysia yang berkahwin di negara lain supaya mendaftar perkahwinan itu dengan Pendaftar Perkahwinan Islam dalam tempoh enam bulan.

Di bawah undang-undang Islam, seorang lelaki boleh mempunyai empat isteri selagi dia dapat menyediakan keperluan dan menjaga setiap keluarganya secara adil dan saksama.

Pengantin lelaki berusia 41 tahun itu mempertahankan perkahwinannya dalam  satu video dalam talian dan mendakwa ia dilangsungkan secara "nikah gantung," istilah Melayu yang bermaksud  bahawa pasangan yang telah berkahwin akan menyempurnakan pernikahan dengan bersama pada masa yang ditetapkan kemudian, dan dalam kes ini,  selepas gadis itu berusia 16 tahun.

"Dia akan berada dalam jagaan ibu bapanya. Selagi belum mencecah umur itu, kami tidak akan bersama, "katanya dalam video tersebut.

Media Malaysia mengenal pasti lelaki itu sebagai Che Abdul Karim Che Hamid.

'Mengeksploitasi kanak-kanak'

Sementara itu, suruhanjaya hak asasi manusia Thailand telah mencabar perkahwinan itu.

"Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional bimbang bahawa perkahwinan di bawah umur (di bawah 18 tahun) seseorang perempuan, tidak mendapat pendidikan dan peluang untuk membesar menjadi dewasa, adalah tidak selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak dan Akta Perlindungan Kanak-kanak, "kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan lewat minggu lepas.

Seorang pesuruhjaya hak asasi manusia telah meminta kerajaan Thailand untuk meminda undang-undang itu.

"Thailand perlu meluluskan undang-undang untuk mengharamkan perkahwinan di bawah umur dalam semua kes. Perkahwinan budak bawah umur yang miskin adalah satu eksploitasi kanak-kanak oleh suami yang dewasa. Ia adalah pelanggaran pelbagai hak kanak-kanak, "kata Angkhana Neelapaijit kepada BeritaBenar.

Di bawah undang-undang sivil Thailand, seseorang wanita boleh berkahwin pada usia 20 tahun tanpa kebenaran ibu bapa. Dia juga boleh berkahwin pada umur 17 tahun dengan persetujuan ibu bapanya, dan pada usia 15 tahun dengan mendapatkan perintah mahkamah, menurut pakar undang-undang.

Reaksi Malaysia

Kes perkahwinan budak perempuan Thailand berusia 11 tahun itu juga membawa kepada gesaan Timbalan Perdana Menteri Malaysia supaya lelaki dan budak perempuan itu dipisahkan, dengan menyatakan bahawa beliau telah berunding dengan hakim syariah mengenai perkara itu.

Wan Azizah Wan Ismail, yang juga memegang portfolio sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kerajaan baru Malaysia, berkata, perkahwinan itu memerlukan supaya dipercepatkan tindakan untuk meningkatkan umur perkahwinan yang sah kepada 18 tahun.

Pakatan Harapan (PH) yang mengalahkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei, menjadikan usaha meningkatkan umur perkahwinan sebagai sebahagian daripada manifesto parti.

Wan Azizah berkata, perubahan itu diperlukan bagi melindungi kanak-kanak dan mengelakkan isu pedofilia, eksploitasi kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak.

Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand, menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.