Malaysia Mula Kajian Klinikal Vaksin COVID-19

Malaysia dijangka menerima kumpulan pertama vaksin pada bulan depan.
Hadi Azmi
2021.01.27
Kuala Lumpur
Malaysia Mula Kajian Klinikal Vaksin COVID-19 Kakitangan perubatan yang lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) sedang mengambil sampel darah dan juga melakukan ujian saringan COVID-19 di Kuala Lumpur, 19 Januari 2021.
Photo: Benar

Malaysia pada Rabu memulakan kajian klinikal vaksin COVID-19 kurang dikenali yang dibangunkan dan ditaja oleh Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS).

Kajian klinikal Fasa 3 itu melibatkan 3,000 sukarelawan di sembilan hospital di Sarawak, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor selama 13 bulan, kata Menteri Kesihatan Malaysia Adham Baba.

Namun, nama vaksin institut China itu tidak dinyatakan.

Malaysia dipilih sebagai negara pertama di luar China yang mengambil bahagian dalam kajian klinikal fasa 3 vaksin itu, kata ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan institusi berkenaan kepada agensi berita China, Xinhua.

Kajian itu berupaya memainkan peranan dalam menjana bukti saintifik bagi pembangunan vaksin SARS-CoV-2 dengan pelaksanaannya perlu memenuhi piawaian antarabangsa, dasar serta polisi Regulatori Kesihatan negara yang mantap, Amalan Pengilangan Baik (GMP), Amalan Klinikal yang Baik (GCP) dan Deklarasi Helsinki yang akan dipantau secara ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara Malaysia (NPRA) serta Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan (MREC), KKM, kata Adham.

Beliau berkata kajian klinikal tersebut merupakan ujian terhadap vaksin SARS-CoV-2 yang menggunakan platform vaksin tidak aktif, seperti yang digunakan oleh Sinopharm (China), CoronaVac dari Sinovac (China) dan Covaxin dari Bharat Biotech (India).

“Kajian klinikal fasa 1 dan 2 telah dijalankan oleh peserta di China dan hasil dapatan daripada kajian tersebut merekodkan tindak balas imun yang signifikan terhadap antigen SARS-CoV-2 serta tidak menunjukkan kesan sampingan yang serius, iaitu tidak melebihi 30 peratus secara keseluruhan bagi tempoh 28 hari selepas imunisasi dilaksanakan,” kata Adham.

Pada Selasa, Malaysia menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga dan Duopharma, untuk membeli sejumlah 18.4 juta dos vaksin daripada Sinovac dan Institut Penyelidikan Gamaleya dari Rusia. Sebelum ini, Malaysia memeterai perjanjian pembelian vaksin dengan Pfizer dan AstraZeneca serta perjanjian dengan COVAX.

Malaysia kini mempunyai perjanjian bagi mendapatkan 56.2 juta dos vaksin, yang mencukupi untuk menampung 88 peratus daripada 32.7 juta penduduk negara itu.

Malaysia menyatakan bahawa ia merancang untuk memberi vaksin itu kepada 70 peratus penduduknya.

Negara Asian Tenggara itu dijangka menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19 pada akhir Februari, seperti yang dipersetujui dengan Pfizer pada November tahun lalu, kata Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada 14 Januari.

"Kerajaan Malaysia akan melancarkan program vaksinasi ini pada 26 Februari," kata Adham kepada Arab News pada Sabtu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.