Dasar Kabotaj: Persatuan Pemilik Kapal Malaysia Pertahan Keputusan Kerajaan Sekat Kapal Asing
2020.12.02
Kuala Lumpur

Kumpulan perkapalan Malaysia pada Rabu mempertahankan keputusan kerajaan menyekat kapal asing daripada melakukan kerja pembaikan kerosakan kabel dasar laut yang menghubungkan instrastruktur rangkaian internet negara ke seluruh dunia, dengan pakar maritim melihat tindakan Putrajaya itu akan melambatkan proses baik-pulih dan berkos tinggi.
Malaysia pada 13 November lepas telah mengeluarkan warta persekutuan mengenai pembatalan pengecualian kabotaj yang diluluskan kerajaan terdahulu sehingga menimbulkan kebimbangan kepada syarikat gergasi teknologi seperti Google, Facebook, Microsoft dan Malaysia Internet Exhange (MyIX) yang melihat tindakan kerajaan itu boleh menjejaskan kestabilan internet bagi negara berkenaan.
Pengerusi Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA) Abdul Hak Md Amin mempertahankan tindakan pembatalan dibuat kerajaan itu dengan berkata syarikat perkapalan Malaysia mempunyai kepakaran dan berupaya melaksanakan kerja baik pulih kabel dasar laut jika diberikan peluang untuk berbuat demikian.
"Kami telahpun membuat pemeriksaan dan mendapati syarikat Malaysia mempunyai kemampuan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan kabel bawah laut serta mempunyai pengalaman menjalankan kerja-kerja di Taiwan, Indonesia, jadi tidak mungkin di tempat sendiri mereka tidak boleh melakukannya" kata Abdul Hak pada sidang media di Putrajaya.
Beliau berkata, walaupun pada ketika ini negara hanya mempunyai sebuah kapal pembaikan kabel, tetapi syarikat tempatan yang beroperasi di luar negara dan mempuyai tenaga kepakaran telah menyatakan minat untuk kembali mendaftarkan kapal mereka dan beroperasi di Malaysia.
Menurutnya lagi, empat buah kapal kabel yang berkelayakan dan diperakui dari syarikat Optic Marine Group, milik syarikat Malaysia telah pun dalam proses mendaftarkan semula kapal mereka supaya dapat kembali beroperasi di Tanahair.
"Adalah tidak boleh diterima untuk mengatakan bahawa syarikat Malaysia dengan kepakaran tenaga tempatan tidak mempunyai kemampuan dalam melakukan kerja pembaikan kabel dasar laut di negara sendiri," tegasnya sambil menambah pembatalan pengecualian kabotaj akan mewujudkan lebih banyak peluang dan pekerjaan kepada syarikat dan penduduk tempatan.
Abdul Hak turut mendakwa pengecualian itu telah mencetuskan monopoli pembaikan kabel dasar laut di perairan Malaysia kerana kontrak hanya diberikan kepada satu syarikat dari Singapura.
Pengecualian kabotaj yang diluluskan oleh bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan pada April 2019 bertujuan memberi kebenaran kepada kapal asing menjalankan kerja baik pulih kabel dasar laut tanpa perlu memohon pengecualian pelesenan perkapalan domestik yang sekaligus mempercepatkan kerja-kerja itu.
Manakala pembatalan pengecualian kabotaj memerlukan semua kapal asing yang mahu membuat kerja-kerja pembaikan kabel dasar laut memohon Pengecualian Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSLE) dengan pihak berkuasa Malaysia terlebih dahulu serta perlu mendapat sokongan MASA.
Proses itu dikatakan boleh memanjangkan tempoh masa kerja pembaikan iaitu kira-kira 27 hari di Malaysia berbanding negara lain seperti Filipina, Singapura dan Vietnam, antara 12 ke 20 hari.
Undang-undang kabotaj maritim menetapkan bahawa pengangkutan barang dan individu di perairan berdaulat sesebuah negara, hanya melibatkan kapal-kapal yang berdaftar di negara itu.
Di Amerika Syarikat undang-undang ini dikenali sebagai "Jones Act" dan merupakan sebahagian dari Merchant Marine Act tahun 1920.
Pada 24 November, Menteri Pengangkutan Wee Ka Sion memberitahu sidang Parlimen bahawa pembatalan pengecualian kabotaj yang dibuat Malaysia pada 13 November telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri bersandarkan kepada beberapa pertimbangan tertentu yang diambil kerajaan.
Terdahulu itu, Microsoft, Google, Facebook dan Malaysia Internet Exchange (MyIX) telah mengutuskan sepucuk surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meminta beliau untuk campur tangan berhubung keputusan Menteri Pengangkutan berkenaan.
Portal berita tempatan Malaysiakini yang melihat surat tersebut dalam laporannya mengatakan bahawa syarikat gergasi teknologi berkata keputusan pembatalan itu akan memberi kesan buruk kepada ekonomi dan kestabilan internet negara, serta melahirkan kebimbangan serius apabila keputusan itu dibuat tanpa sebarangan rundingan dengan pihak berkepentingan seperti pelabur asing dan pemilik kabel dasar laut.
"Pada saat jutaan rakyat Malaysia bergantung pada internet untuk mencari nafkah, pemulihan infrastruktur Internet bawah laut yang mewakili pelaburan bernilai berbilion ringgit tak wajar ditangguhkan setiap kali pembaikan perlu dilakukan," kata surat itu seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.
BeritaBenar cuba menghubungi syarikat-syarikat gergasi teknologi tersebut dan juga Jabatan Perdana Menteri untuk mendapatkan ulasan mengenainya tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.
Pada 25 November Wee mengadakan satu sesi perbincangan dengan syarikat-syarikat gergasi teknologi dunia di Putrajaya untuk menjelaskan keputusan kerajaan yang menurut beliau keputusan itu tidak bermaksud menyekat kemasukan atau peluang kapal asing menjalankan pelaksanaan kerja teknikal.
Sebaliknya, beliau menjelaskan yang MASA telah diberikan sela masa tertentu untuk mencari kepakaran tempatan, sebelum memberikan peluang kerja kepada kapal asing.
Beliau juga berkata memberitahu bahawa keputusan yang diambil kerajaan bertujuan memelihara keselamatan dan kedaulatan negara, menjaga kepentingan industri perkapalan negara dan mengurangkan pengoperasian kapal asing di perairan Malaysia.
Faktor keselamatan
Pakar undang-undang maritim Rajasingam Gothandapani di Shearn Delamore & Co di Kuala Lumpur berpendapat bahawa pengecualian kabotaj yang diberikan kepada kapal telah memberikan impak positif dalam melancarkan dan mengurangkan kos pembaikan kabel dasar laut.
"Kapal khas yang khusus untuk tugas tersebut juga dapat berlabuh di perairan Malaysia untuk melakukan operasi pembaikan kabel dasar laut," kata Rajasingam.
Beliau bagaimanapun mengatakan bahawa kebenaran yang diberikan kepada kapal asing untuk melakukan pembaikan dan penyelenggaraan kabel boleh menimbulkan kerisauan berkaitan keselamatan negara.
"Namun, faktor masa dan keperluan memperbaiki kabel melangkaui isu keselamatan, tetapi ini dapat ditangani dengan meletakkan beberapa prosedur," kata Rajasingam.
Menurutnya, ini termasuk beberapa bentuk peraturan dalam operasi kerja pembaikan kabel yang melibatkan kapal-kapal asing di kawasan-kawasan yang boleh menimbulkan masalah keamanan dan juga kawasan-kawasan yang mempunyai kepentingan ekonomi bagi negara.
Bercakap di parlimen pada April 2019, Menteri Pengangkutan ketika itu, Anthony Loke mengatakan bahawa Malaysia mempunyai 16 rangkaian kabel antarabangsa dasar laut dan sembilan rangkaian kabel domestik yang terletak di stesen pendaratan kabel di seluruh negara.