Lima Belas Warga Indonesia Maut Dalam Tragedi Bot Karam
2015.09.03

Lima belas pendatang tanpa izin warga Indonesia maut manakala 20 lagi berjaya diselamatkan apabila bot yang membawa mereka dari Jeti Kuala Sungai Bernam, Selangor menuju ke Tanjongbalai, Sumatera, Indonesia karam di perairan berdekatan Sabak Bernam, pada awal pagi Khamis.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim APMM Daerah Klang, Mohd Aliyas Hamdan berkata, bot ‘pom-pom’ sepanjang 40 kaki itu membawa 70 penumpang dipercayai karam di sekitar 9 batu nautika barat daya dari Tanjung Sauh, Kuala Bernam, Selangor.
“APMM menerima maklumat daripada nelayan tempatan pada 10.37 pagi Khamis, dan menjalankan operasi menyelamat di sekitar perairan itu…. Sehingga kini 15 mayat iaitu 13 wanita dan dua lelaki telah ditemui manakala seorang wanita dan 18 lelaki berjaya diselamatkan " katanya pada sidang media di pejabat APMM daerah Klang.
Beliau berkata, bot itu dipercayai meninggalkan jeti Kuala Sungai Bernam pada kira-kira pukul 5 pagi Khamis dengan membawa terlalu ramai warga Indonesia yang mahu pulang ke kampung halaman mereka di Indonesia untuk menyambut Aidiladha, dua minggu lagi.
Mohd Aliyas memberitahu, operasi mencari dan menyelamat dijalankan dalam radius 5 batu nautika dari lokasi bot karam dan APMM masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kejadian ini.
Tambah beliau, empat aset milik APMM merangkumi dua kapal dan dua bot berada di lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.
Beliau berkata, kira-kira 200 anggota APMM dengan bantuan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang.
Operasi sambung esok
“Operasi menyelamat terpaksa dihentikan pada pukul 7 malam dan akan disambung esok pagi memandangkan kawasan perairan yang gelap serta laut yang bergelora,” katanya,
Beliau berkata, bot yang karam itu masih belum ditemui.
Sementara itu, Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono yang turut hadir pada sidang media itu berkata pihaknya telah menghantar pasukan khas dari kedutaan itu ke Hutan Melintang, Perak untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai mangsa kejadian bot karam itu.
“Pihak kedutaan juga akan menghubungi anggota keluarga mangsa yang meninggal dunia sama ada untuk dikebumikan mangsa di Malaysia atau Indonesia.
"Selain itu, pasukan mencari dan menyelamat Indonesia turut akan bekerjasama dengan APMM untuk cari mangsa yang belum ditemui," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, empat belas mayat mangsa bot karam itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, pada lewat malam ini.
"Mayat 13 wanita dan dua lelaki dibawa ke HRPB bagi proses bedah siasat manakala 19 mangsa yang terselamat telah diberikan rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI),” katanya.
Beliau berkata, satu-satunya wanita yang terselamat, berusia 30-an itu masih dirawat di HTI kerana mengalami kecederaan dan trauma.
“Selepas mendapatkan rawatan di HTI, beberapa mangsa yang terselamat dalam tragedi bot karam itu ditahan di lokap Balai Polis Hutan Melintang kerana tidak mempunyai dokumen yang sah,” tambah beliau.
Beliau berkata, operasi menyelamat di Jeti Sungai Sumun, Hutan Melintang oleh pihak polis sudah diberhentikan sementara waktu pada jam 7 malam tadi.
Mohd Shuhaily berkata, wakil pihak Kedutaan Indonesia juga sudah melawat pusat operasi di Jeti Sungai Sumum petang tadi. Bagaimanapun, buat masa ini polis masih belum memberikan kebenaran sepenuhnya kepada wakil kedutaan untuk menemui mereka yang terselamat kerana siasatan masih dijalankan.