Bot Karam, 63 Mayat Telah Ditemui Selepas Seminggu Kejadian
2015.09.08

Pasukan mencari dan menyelamat Malaysia telah menemui 63 mayat mangsa bot karam di perairan Sabak Bernam sejak operasi dijalankan Khamis lepas, dengan penemuan terbaru mayat seorang lelaki pada lewat petang Selasa.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim APMM Daerah Klang, Mohd Aliyas Hamdan berkata sehingga kini sebanyak 39 lelaki, 23 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun telah berjaya ditemui.
“Pasukan mencari menemui satu lagi mayat hari ini dan memandangkan masih ada lagi penemuan maka operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan esok untuk memastikan tidak ada lagi mangsa dalam kejadian tersebut.
“Berdasarkan kepada maklumat mangsa yang terselamat, penumpang bot itu di antara 70 hingga 80 orang tetapi jumlah yang kita temui terlebih iaitu 83 orang di mana 63 maut dan 20 lagi terselamat, oleh itu kita akan meneruskan operasi,” katanya ketika dihubungi BeritaBenar pada Selasa.
Dalam tragedi awal pagi Khamis lalu, bot pancung yang dipercayai dinaiki lebih 70 pendatang asing tanpa izin dari Indonesia karam kira-kira 16.2 kilometer dari perairan Selangor, berhampiran Tanjung Sauh.
Kesemua mangsa dipercayai menaiki bot itu dari Kuala Sungai Bernam kira-kira pukul 12 tengah malam menuju ke Tanjung Balai, Indonesia untuk pulang menyambut Aidil Adha di kampung halaman mereka.
Hampir kesemua mereka dipercayai berasal dari Sumatera.
Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia Hermono semasa dihubungi BeritaBenar pada Jumaat lepas berkata, sepuluh mangsa berasal dari Acheh, tiga dari Surabaya, tiga dari Sumbar, Mandailing dan Tanjungbalai, Indonesia manakala yang selebihnya masih lagi dalam siasatan.
Mohd Aliyas berkata, usaha mencari dan menyelamat, yang bermula sejak Khamis lepas, membabitkan 338 anggota daripada tujuh agensi antaranya APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Sebanyak 20 lagi mangsa, termasuk seorang wanita, terselamat dalam kejadian itu.
Kenal pasti tekong
Mohd Aliyas memberitahu, siasatan juga sedang dijalankan untuk mengenalpasti tekong bot tersebut bagi membolehkan tindakan undang-undang yang sewajarnya diambil memandangkan jumlah yang terkorban sangat tinggi.
“Pada masa ini 20 orang yang terselamat itu masih ditahan untuk disoalsiasat dan kesemuanya tidak mengaku sebagai tekong bot, siasatan masih berjalan serta (kami) sedang mengenalpasti tempat kerja mangsa yang terselamat.
“APMM pasti akan dapat mengenalpasti mereka, sekiranya mereka bekerja di sini sudah tentu majikan mereka kenal, dari sini kita boleh kenalpasti siapa tekong bot tersebut,’’ katanya.
Tegas Mohd Aliyas, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap tekong terbabit kerana ini merupakan kemalangan yang boleh dielakkan sekiranya tekong terbabit bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan penumpang.
“Sudahlah menggunakan jalan yang tidak dibenarkan serta masuk dan keluar dari Malaysia secara haram. Paling menyedihkan bot yang hanya boleh memuatkan 12 hingga 15 orang membawa lebih 80 orang. Tindakan harus diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab,” tegas beliau.
Jenazah dihantar pulang
Sementara itu,Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua mayat yang ditemui dibawa naik melalui Jeti Hutang Melintang, Perak dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, dan juga Hospital Kuala Lmpur (HKL) untuk proses bedah siasat.
Pada hujung minggu Jabatan Forensik HRPB Ipoh, dipenuhi waris mangsa bot karam yang mahu menuntut jenazah terdahulu yang ditemui untuk dibawa pulang ke Indonesia.
Beberapa jenazah yang dituntut dari HRPB telah dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dihantar ke kampung halaman masing-masing dengan mendapat bantuan wakil pihak Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.
Katanya, satu daripada 22 mayat mangsa yang dibawa ke HKL pada Ahad, disahkan seorang wanita yang hamil.
Mangsa terkapai-kapai, saksi
Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Sabtu lepas melaporkan seorang nelayan yang turut membantu menyelamatkan mangsa bot karam itu berkata, dia terkejut apabila melihat begitu ramai mangsa sedang terkapai-kapai di permukaan air pada Khamis lepas.
Heng Lee Hua, 45, yang ketika itu mahu pulang ke Jeti Hutan Melintang selepas menangkap ikan berkata, dia juga nampak seorang wanita berpaut pada mayat seorang daripada mangsa tragedi itu untuk mengelak daripada lemas.
"Keadaan mangsa ketika itu sudah agak lemah serta tidak bermaya. Pada mulanya, saya bersama rakan yang lain hanya nampak seorang mangsa, namun terkejut apabila terdapat banyak lagi mangsa.
"Dalam keadaan kelam kabut, kami menaikkan semua mangsa sama ada hidup atau mati ke atas bot," katanya ketika ditemui pemberita di pusat operasi mencari dan menyelamat di Jeti Hutan Melintang, seperti dilaporkan oleh agensi berita itu.
Heng berkata, dia kemudian menghubungi pihak APMM untuk memaklumkan tentang kejadian itu.
Heng berkata, kejadian itu adalah pertama kali dialaminya sejak dia menjadi nelayan lebih 20 tahun lalu. "Walaupun penat, kami bangga dapat membantu mereka yang terselamat dalam tragedi itu," katanya.
Ketua Pengarah APMM, Laksama Maritim Mohd Amdan Kurish berkata, operasi SAR cuma akan diberhentikan sekiranya pihaknya telah berpuas hati dan mendapat kesahihan jumlah sebenar mangsa yang terlibat.