Rampasan Dadah RM18.3 Juta Terbesar Di Utara Malaysia
2017.05.26
Alor Setar, Kedah

Pihak berkuasa Malaysia telah mematahkan percubaan menyeludup masuk dadah melalui sempadan Malaysia-Thailand yang dipercayai terbesar bagi tahun ini selepas berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM18.3 juta [AS$4.1 juta] pada Selasa, demikian menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Sindiket penyeludupan itu dipercayai mengunakan helah dengan menyorok dadah di dalam sistem audio yang telah ubahsuai dalam but kereta sebelum ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Kayu Hitam, pintu masuk antara Malaysia dan Thailand pada 23 Mei lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam Zulkifli Yahya pada sidang media pada Jumaat berkata, pemandu kereta itu telah diarahkan untuk membuka but untuk pemeriksaan dan but berkenaan dipenuhi dengan papan lapis dan apa yang kelihatan seperti pembesar suara dan sistem audio.
"Pegawai menemui objek yang mencurigakan dalam siasatan melalui jurang dalam papan lapis itu, dan apabila pemeriksaan lebih teliti dilakukan, pegawai mendapati beberapa pek kuning persegi, bungkusan plastik hitam dan beg hijau,” kata Zulkifli.
Beliau memberitahu bahawa seorang pemandu berusia 26 tahun yang memandu kereta jenis Proton Iswara berwarna putih itu telah ditahan dan direman sehingga 5 Jun.
Tambahnya, pemeriksaan keatas kenderaan itu menemui ketulan dadah jenis heroin dengan berat kasar 154 kilogram, beberapa bungkusan syabu seberat 38 kilogram dan bungkusan ketamin seberat 6 kilogram yang dianggarkan bernilai lebih RM18.3 juta.
“Suspek berkenaan didapati sering berulang alik ke negara jiran dan susulan daripada penahanan lelaki berkenaan, seorang lagi lelaki berusia 36 tahun yang dipercayai rakannya telah ditahan di Alor Setar kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan itu, " katanya.
Zulkifli berkata, bekalan dadah itu diperoleh dari Thailand untuk diseludup Malaysia dan siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui sama ada dadah tersebut untuk pasaran tempatan atau luar negara.
Zulkifli berkata, kedua-dua suspek yang positif dadah jenis methamphetamine kini direman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 sehingga 5 Jun ini dan jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dihukum gantung sampai mati.
Zulkifli berkata, kastam akan terus meningkatkan kawalan di sempadan Bukit Kayu Hitam supaya mereka yang terlibat dengan kegiatan ini tidak terlepas daripada penguatkuasaan.
Aktif dengan penyeludupan
Sempadan Malaysia-Thailand di negeri Kedah dan Kelantan sering digunakan oleh penyeludup untuk aktiviti penyeludupan rentas sempadan termasuk kes pengedaran dadah, senjata api, manusia dan komoditi seperti beras, yang menjadi makanan ruji negara itu.
Pada April lalu, Kerajaan Malaysia dan Thailand bercadang membuka pintu sempadan 24 jam sehari bagi kedua-dua negara, dan kedua pihak secara dasarnya telah bersetuju dengan perlaksanaan itu.
Berdasarkan perancangan, Fasa Pertama kompleks tersebut akan digunakan sebagai laluan masuk untuk kenderaan perdagangan dan persendirian dari Thailand manakala Fasa Kedua adalah bagi laluan khusus pergerakan kenderaan dari Malaysia ke selatan Thai.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan meningkatkan jumlah anggota penguatkuasa dari 19 agensi terlibat di sempadan itu.