Sisik Tenggiling Bernilai Lebih RM9 juta Dari Benua Afrika Dirampas

Fadzil Aziz
2017.05.08
Sepang, Malaysia
170508-my-tenggiling-1000.jpg Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan Malaysia, Rozidan Md Yasin menunjukkan sisik tenggiling yang dirampas oleh Jabatan Kastam DiRaja Malaysia semasa sidang media di Kompleks Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, 8 Mei 2017.
[Ihsan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia]

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Isnin mengumumkan kejayaan rampasan terbesar jabatan itu tahun ini yang melibatkan penyeludupan lebih 700 kilogram sisik tenggiling bernilai lebih RM9 juta [AS$2.12 juta] dari benua Afrika.

Rampasan itu dibuat susulan dua pemeriksaan berasingan di Gudang Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 dan 3 Mei lalu.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam, Paddy Abdul Halim, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM9.18 juta (AS$ 2.12 juta) selepas menerima maklumat mengenai beberapa guni yang dibawa masuk ke negara itu melalui penerbangan kargo adalah barang larangan import.

“Dalam pemeriksaan pertama, JKDM menemui lapan guni sisik tenggiling seberat 408 kg yang dianggar bernilai RM5.26 juta. Sisik tenggiling itu disytiharkan sebagai ‘general product’ dengan menggunakan alamat palsu,” katanya pada sidang media di Sepang.

Beliau berkata, kesemua barang larangan import itu tiba melalui penerbangan Emirates Airlines dari Accra, Ghana yang singgah di Dubai sebelum ke KLIA.

“Bagi kes kedua pula, kita berjaya merampas sisik tenggiling seberat 304 kg bernilai RM3.92 juta. Ia tiba melalui penerbangan Kenya Airways dari Kinshasa, Congo ke Nairobi, Kenya dan kemudian transit di Dubai melalui penerbangan Emirates Airlines ke KLIA pada 2 Mei lalu,” katanya sambil menambah kesemua sisik itu dijumpai dalam 10 guni.

Menurut Paddy, kedua-dua rampasan itu merupakan yang terbesar bagi JKDM setakat ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan Malaysia Rozidan Md Yasin berkata untuk mendapatkan sisik dengan jumlah berkenaan, lebih 1,400 tenggiling telah dibunuh.

“Harga sisik ini boleh mencecah RM1, 000 sehingga RM1, 500 sekilogram di pasaran gelap dan harga bergantung kepada negara yang menjadi lokasi penyeludupan,” kata Rozidan.

Tambahnya, sisik tenggiling digunakan untuk rawatan tradisional bagi penyakit seperti demam dan demam malaria.

Sisik, daging serta anggota badan tenggiling sering mendapat permintaan tinggi untuk perubatan tradisional di Vietnam dan China.

Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan pihak JKDM masih melakukan siasatan lanjut dalam kedua-dua kes itu yang menggunakan alamat palsu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali ganda nilai atau maksimum 20 kali ganda nilai barangan yang disita atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Haiwan tersebut diisytihar sebagai dilindungi dan dilarang untuk diperdagangkan di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 kecuali dengan permit.

Ia turut disenaraikan barang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012, Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian III kecuali dengan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pada Disember lepas, pihak berkuasa Cameroon mengumumkan bahawa negara itu berjaya memintas cubaan menyeludup lebih 670 kilogram tenggiling Afrika, yang dipercayai ingin di seludup ke Malaysia.

Wara Wara Francois Noel, seorang Leftenan Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Yaounde-Nsimalen, Cameroon memberitahu Voice of America (VOA), sebuah entiti yang berkaitan dengan BeritaBenar, bahawa mereka menemui sisik dan daging tenggiling dalam beberapa paket. Beliau berkata dalam insiden itu, tiga penyeludup telah memberi rasuah bagi membolehkan mereka tiba ke lapangan terbang namun pihak berkuasa berjaya melancarkan operasi selepas menerima maklumat daripada pihak hidupan liar.

Dianggarkan lebih sejuta tenggiling telah diragut daripada habitatnya sejak sedekad lepas.

Pada September lepas, konvensyen perlindungan hidupan liar terbesar dunia, yang dikenali sebagai CITES, mencadangkan pengharaman perdagangan mamalia tersebut secara komersial di pasaran antarabangsa.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.