Kelantan Mahu Pekerja Wanita Pakai Baju Berlengan Panjang

Melati Amalina
2016.07.12
Kota Bharu, Kelantan
160712-my-kelantan-awrah-620 Para pengguna Islam membuat pembayaran di bawah papan tanda yang mengarahkan lelaki dan wanita beratur secara berasingan di sebuah pusat beli-belah di Kelantan, Malaysia, 27 Nov 2005.
AFP

Wanita yang bekerja di restauran makanan segera, pasar raya dan kedai di negeri Kelantan di Malaysia dikehendaki memakai baju berlengan panjang semasa berkerja, tidak lama lagi.

Para pegawai di negeri itu minggu ini mengumumkan mengenai peraturan baru itu, yang akan berkuat kuasa di seluruh Kelantan pada Januari depan, yang mewajibkan semua pekerja wanita di syarikat komersil sedemikian berpakaian lebih sopan dan menutup aurat mereka di tempat kerja masing-masing, berbanding dengan cara berpakaian sedia ada.

Di Kelantan, yang majoriti penduduknya beragama Islam dan konservatif agama, semua wanita Islam dikehendaki menutup seluruh tubuh mereka jika berada di tempat awam - kecuali muka dan tangan hingga ke pergelangan tangan.

Peraturan itu selaras dengan kewajipan menutup aurat, amalan Islam tentang bagaimana menutupi tubuh ketika berada di khalayak ramai. Lelaki juga dikehendaki mematuhi amalan itu tetapi tatacara berpakaian adalah berbeza buat mereka.

Semasa berada di tempat awam, lelaki di Kelantan mesti sentiasa menutup aurat mereka sekurang-kurangnya dari pusat hinggalah ke bawah ke lutut, seperti yang ditetapkan oleh tatacara berpakaian itu.

Pada masa ini, kebanyakan pekerja di restoran makanan segera dan pasar raya memakai  baju berlengan pendek di tempat kerja tetapi, mulai tahun depan, semua syarikat itu di seluruh negeri  berkenaan wajib memastikan para pekerja wanitanya memakai pakaian seragam yang  berlengan panjang.

Tetapi sesetengah wanita yang tinggal di negeri ini, di mana lelaki dan wanita diwajibkan beratur secara berasingan di pasar raya dan tempat duduk awam diasingkan mengikut jantina, serta yang  paling mendapat kesan daripada peraturan baru itu, nampaknya tidak begitu kisah dengan perkara itu.

Peraturan baru adalah satu langkah baik bagi para pemilik perniagaan kerana adalah penting untuk dirahmati Allah dalam menjalankan perniagaan sebab "menutup aurat (bahagian tubuh) adalah wajib dalam Islam," kata Ernie Abd Manan, peniaga wanita di Kota Bharu, ibu negeri Kelantan, kepada BeritaBenar.

Hasnah, seorang peniaga wanita di Wakaf Che Yeh, berkata beliau bersetuju dengan peraturan itu tetapi berharap pihak berkuasa tidak terlalu tegas mengenainya dan mempertimbangkan keselesaan pekerja dalam menjalankan tugas mereka.

"Pekerja harus dibenarkan memakai pakaian seragam berlengan pendek dengan pilihan memakai  sarung tangan atau jaket. Menutup aurat adalah baik terutamanya apabila ia berkaitan dengan  kebersihan jika mereka [pekerja] yang menyediakan makanan," kata Hasnah kepada BeritaBenar.

Ahli-ahli perniagaan lelaki berkata mereka akan mematuhi peraturan itu, walaupun mereka tidak semestinya mengalu-alukan peraturan itu yang boleh meningkatkan lagi kos operasi mereka.

"Kami perlu menyokongnya kerana kami umat Islam. Kami mungkin tidak suka tetapi Allah telah berfirman mengenainya, jadi kami perlu menyokongnya," kata Ahmad Nazri Che Omar, pengerusi Persatuan Peniaga Bumiputera Pasar Siti Khadijah. "Kami tidak boleh menolaknya kerana ini adalah hukum Allah, "katanya kepada BeritaBenar.

'Satu kaedah pendidikan'


Abdul Fattah Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, mengumumkan peraturan baru itu pada satu majlis sambutan Hari Raya di negeri berkenaan pada Isnin.

"Majoriti [wanita] telah memilih untuk menutup tubuh mereka sendiri. Apa yang kami umumkan adalah untuk membuktikan dinamisme Islam," katanya kepada BeritaBenar. "Kami yakin dengan pakaian seragam baru ini, lebih ramai yang akan menyusul. Ini juga satu kaedah pendidikan," kata Abdul Fattah.

Peraturan baru itu nampaknya dibuat selaras dengan dasar yang dilaksanakan hampir dua tahun lalu oleh pihak berkuasa tempatan, yang mengenakan denda sebanyak RM500 (AS$126) kepada peniaga dan pekerja wanita yang ditahan kerana tidak menutup rambut mereka atau memakai pakaian yang ketat.

Namun, pekerja wanita bukan Islam di Kelantan tidak dikehendaki mematuhi peraturan baru itu.

"Peraturan ini wajib bagi pekerja wanita Islam, tetapi yang bukan Islam digalakkan memakai pakaian yang sopan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat bukan Islam di negeri ini atas sokongan mereka terhadap dasar kerajaan negeri, " lapor akhbar New Straits Times yang memetik Abdul Fattah sebagai berkata.

Membantu 'meningkatkan' status wanita: PAS

Kelantan, yang mempunyai 1.68 juta penduduk dengan 97 peratus daripada mereka beragama Islam, merupakan negeri yang sinonim dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang memerintah  kerajaan negeri selama 43 tahun dan memegang tampuk kuasa tanpa gangguan sejak 1990.

Kelantan merupakan satu-satunya negeri daripada daripada 13 negeri di Malaysia dan tiga wilayah persekutuan yang diperintah oleh parti berasaskan agama itu.

Peraturan itu, yang berkuat kuasa pada Januari 2017, akan dilaksanakan mengikut undang-undang kecil tempatan di mana majlis perbandaran tempatan mengeluarkan permit tahunan untuk perniagaan.

Peraturan baru itu akan "menjaga maruah dan harga diri" wanita Islam, kata Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan Tantawi.

"Isunya adalah tentang aurat. Islam mewajibkan wanita Islam untuk menutup dirinya, oleh itu, keputusan kerajaan negeri Kelantan sebenarnya membantu untuk meningkatkan lagi status wanita Islam.

"Yang paling penting, pada masa yang sama, ia memberikan gambaran yang lebih jelas bahawa Islam tidak menjejaskan kebebasan untuk mencari nafkah, bekerja dan bersosial dalam kalangan wanita Islam asalkan ia masih dalam lingkungan menutup aurat. Sebenarnya, ia memberi lebih perlindungan kepada wanita, "katanya kepada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.