Enam Ditahan Bersama Bahan Buat Bom Disiasat Jika Punya Kaitan Dengan IS
2017.01.17
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat enam suspek, ditahan bersama pelbagai jenis bahan membuat peralatan bom di Kelantan, yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Negara Islam.
Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar semasa dihubungi berkata, polis masih memeriksa dan menyiasat sama ada enam yang ditahan di beberapa buah rumah di beberapa buah kampong di Pasir Mas mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas itu.
"Kami masih menyiasat," kata Khalid semasa dihubungi BeritaBenar di Kuala Lumpur pada Selasa.
Pada awal pagi Ahad, pihak berkuasa telah menahan enam lelaki yang berusia antara 30 dan 40 dalam beberapa serbuan hasil maklumat orang awam di sekitar Pasir Mas.
Ketua Polis Kelantan Dr Ab Rahman Ismail berkata, polis menjumpai beberapa peralatan serta komponen seperti wayar, bateri dan asid yang dipercayai mahu digunakan untuk membuat bom ditemui.
"Kami berjaya merampas beberapa peralatan membuat bom terdiri daripada wayar serta tempat letak bateri dan sedang menyiasat dengan lebih mendalam kerana dipercayai ada kaitan dengan ancaman terhadap keselamatan negara," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan seperti dilaporkan akhbar Berita Harian pada Ahad.
Akhbar itu juga melaporkan Ab Rahman turut tidak menolak kemungkinan suspek adalah pengganas IS.
Dalam pada itu, semasa dihubungi BeritaBenar di Kota Bharu, Ab Rahman Ismail berkata, adalah terlalu awal untuk mendedahkan maklumat kerana siasatan mengenai perkara berkenaan baru saja bermula.
“Kami masih menyiasat… Saya tidak dapat memberi banyak maklumat, marilah kita tunggu hasil siasatan mengenainya,” tambah beliau.
Pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 264 suspek sejak 2013, dengan 66 orang telah pun dibebaskan, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Ketua Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini kepada BeritaBenar.
Bilangan tangkapan mereka yang disyaki pengganas telah meningkat setiap tahun sejak 2013, menurut pegawai polis itu.
Polis membuat 119 tangkapan tahun lepas berbanding 82 pada 2015 – yang menyaksikan peningkatan sebanyak 45 peratus. Lima puluh sembilan tangkapan dibuat pada 2014 dan empat tangkapan pada tahun sebelumnya, kata Ayob.
"Tahun 2016 menyaksikan peningkatan kadar tangkapan, dan dalam pada itu, terdapat juga peningkatan dalam bilangan pertuduhan dan pendakwaan," katanya, sambil menambah bahawa 122 suspek telah didakwa di mahkamah termasuk 62 orang yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan keganasan dalam tempoh tiga tahun lalu.
Warganegara Thailand
Dalam pada itu, pada Selasa, akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times melaporkan dengan memetik seorang anggota keluarga salah seorang enam lelaki yang ditahan itu sebagai berkata, kesemua mereka adalah rakyat Thailand yang berasal dari selatan negara itu.
Akhbar berkenaan memetik, seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Yah, berkata, suaminya adalah antara enam yang ditahan dan beliau tidak terlibat dalam mana-mana kumpulan serta tidak melakukan sebarang kesalahan.
Menurut laporan akhbar berkenaan lagi, lima daripada suspek berjiran manakala seorang lagi tinggal kira-kira satu kilometer daripada rumah mereka semua.
Ab Rahman sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, “Sepanjang tahun 2016, seramai lapan suspek yang mempunyai kaitan dengan IS telah ditahan oleh Polis Kelantan di mana kesemua suspek diberkas di Kuala Krai, Tanah Merah dan Kota Bharu.