Dua Wartawan Antara 18 Ditahan Protes Anti-Pembalakan Di Kelantan

Anis Natasha
2017.01.24
Kuala Lumpur
170124-my-kelantan-620.jpg Penduduk pribumi membuat benteng manusia di Hutan Simpanan Balah sebelum pihak berkuasa mengalihkannya dan menahan 18 orang, 24 Jan, 2017.
[Ihsan daripada Siti Kassim]

Pihak berkuasa Malaysia pada Selasa menahan 16 orang asli bersama dua wartawan, dan kemudiannya membebaskan mereka, selepas meruntuhkan sekatan yang dibina oleh penunjuk perasaan terhadap pembalakan di bandar kecil Gua Musang di Kelantan.

Kedua-dua wartawan, Jules Ong dan Chitoo, rakyat Malaysia yang bekerja sebagai wartawan bebas bagi Channel News Asia yang berpangkalan di Singapura (CNA), telah dibebaskan petang Selasa, menurut aktivis manakala 16 yang lain sebelumnya dibebaskan lebih awal daripada itu.

"Tindakan menahan orang asli bertentangan dengan peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) kerana status kawasan di mana mereka membina sekatan itu adalah di kawasan Hutan Rizab Persekutuan dan bukan di kampung sebenar mereka," menurut Jabatan Perhutanan Kelantan dalam satu kenyataan.

Ong adalah seorang pengarah televisyen bebas Malaysia yang menerbitkan dokumentari mengenai penebangan hutan di Kelantan, menurut CNA.

"Channel News Asia mengetahui mengenai penangkapan itu daripada laporan media Malaysia. Channel News Asia, beroperasi di seluruh negara Asia, akan bekerjasama sepenuhnya dengan  mana-mana penyiasatan rasmi, " kata syarikat  itu dalam satu kenyataan.


Seorang wartawan duduk dengan tangannya digari selepas ditahan oleh pegawai Jabatan Perhutanan, 24 Jan, 2017. [Ihsan daripada Siti Kassim]

Penahanan itu berikutan tindakan yang sama pada Isnin, apabila lima ditahan dan sekatan yang dibina di Simpang Petei, Gua Musang telah dirobohkan. Kesemua mereka bagaimanapun  dibebaskan pada hari yang sama, menurut laporan media tempatan.

Masyarakat pribumi di kawasan itu, mula membuat sekatan di Hutan Simpan Balah di Gua Musang pada September lepas dalam usaha untuk memaksa pegawai kerajaan negeri berkenaan menghentikan pemberian lesen bagi pembalakan di kawasan itu.

Pada ketika itu, ahli-ahli Kumpulan Kampong Orang Asli Kelantan telah membina sekatan di kawasan yang mereka dakwa sebagai tanah nenek moyang mereka. Mereka membina semula selepas timbul ketegangan dengan pembalak, sehingga tembakan dilepaskan, menurut aktivis – yang dinafikan oleh seorang pegawai polis.

Antara November dan Disember, 54 orang asli telah ditahan kerana membina sekatan, menurut Jabatan Perhutanan dan selepas dibebaskan, mereka mendirikan semula sekatan.

Pembalakan Haram

Jabatan itu berkata ia akan terus memerangi pencerobohan ke atas hutan oleh pembalak haram dan  telah memperluaskan peranannya untuk membantu masyarakat pribumi itu melalui Jabatan Kebajikan Orang Asli.

Kira-kira 133 pegawai dari jabatan dan pihak berkuasa lain telah terlibat dalam usaha berkenaan sejak Isnin."Jabatan ingin memaklumkan bahawa beberapa pertemuan dengan pemimpin orang asli telah diadakan pada 10 Jan dan 19 Jan dengan maklum balas yang positif," katanya dalam kenyataan itu.

"Walaubagaimanapun, sesetengah orang asli perlu menghormati undang-undang sedia ada di bawah kuasa negeri dan tidak boleh terlalu mudah ditipu dan dipengaruhi oleh orang luar kerana ini bukan cara untuk menyelesaikan tuntutan mereka."

Reaksi badan hak asasi

Pada Selasa, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkata ia terkejut dengan tindakan jabatan itu yang telah merobohkan sekatan yang ditubuhkan untuk melindungi hutan dan tanah adat.

Pengerusi SUHAKAM Razali Ismail berkata beliau amat bimbang bahawa "masyrakat terpinggir dan lemah itu yang merupakan minoriti paling miskin di Malaysia" telah menjadi sasaran diskriminasi.

"Sekatan itu adalah simbol bantahan oleh mereka, menentang penswastaan hutan terkawal, yang melanggar prinsip asas perniagaan dan hak asasi manusia. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi dan [ia adalah] kewajipan pihak perniagaan untuk menghormati hak asasi Orang Asli, " katanya. "Orang Asli" adalah istilah yang digunakan untuk orang pribumi di Malaysia yang terdiri daripada kira-kira 12 peratus daripada 31 juta penduduk negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.