1MDB: Khairuddin, Matthias Dilepas Dan Dibebaskan

Hata Wahari
2017.05.12
Kuala Lumpur
170512-my-khairuddin-1mdb-620.jpg Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad ditemani oleh Khairuddin Abu Hassan dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla selepas hadir untuk mengikuti prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 12 Mei 2017.
[BeritaBenar Kuala Lumpur]

Dua individu yang membuat laporan mengenai skandal dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di lima buah negara, dilepas dan dibebaskan pada Jumaat daripada pertuduhan mensabotaj ekonomi negara selepas Jabatan Peguam Negara Malaysia mengambil keputusan untuk menggugurkan kes berkenaan.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang telah didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun atas pertuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos dua tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membuat keputusan pada Jumaat bekenaan, iaitu sehari selepas Mahkamah mendengar hujah kedua-dua pihak dengan pihak pendakwaan memaklumkan pada Khamis bahawa Jabatan Peguam Negara tidak mahu meneruskan kes berkenaan.

Pendakwaan yang diwakili Awang Armadajaya Awang Mahmud telah memaklumkan mahkamah bahawa beliau mendapat arahan untuk tidak meneruskan kes tersebut dan memohon kedua-dua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan.

“Kita tidak akan meneruskan kes ini demi kepentingan keadilan dan kesaksamaan. Kita mohon agar kedua-dua tertuduh dilepaskan tetapi tidak dibebaskan,” katanya pada Khamis.

Dalam penghakiman ringkasnya hari ini[Jumaat], Wan Mohd Norisham berkata mahkamah bersetuju dengan hujah pembelaan bahawa kedua-dua tertuduh perlu dibebaskan secara mutlak atas alasan kepentingan awam dan keadilan saksama.

Beliau berkata hujah pembelaan, yang disokong oleh tiga contoh undang-undang kes lain, adalah bertepatan dengan fakta kes tersebut bagi membolehkan tertuduh dibebaskan serta-merta.

“Mahkamah bersetuju dengan hujah peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bahawa kedua-duanya perlu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan kerana undang-undang kes yang dikemukakan pihak pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan mereka adalah tidak terpakai dalam kes ini.

“Oleh itu, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan manakala wang jaminan dan pasport mereka hendaklah dipulangkan,” kata Wan Mohd Norisham semasa mengumumkan keputusan itu pada Jumaat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Kedua-dua pengkritik 1MDB itu, Khairuddin dan Matthias telah ditahan pihak berkuasa Malaysia pada Oktober 2015 dan didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-Langkah Khas](SOSMA) sebulan selepas itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudiannya telah memutuskan bahawa mereka tidak boleh didakwa di bawah akta berkenaan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohd Azman Husin yang membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom; pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; Balai Polis Wai Chan, Hong Kong dan ibu pejabat Polis Cantonment, Singapura.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun.

Tindakan saman

Sementara itu, Mohamed Haniff Khatri memberitahu wartawan pada Jumaat bahawa kedua-dua anak guamnya akan memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali dan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berhubung penahanan mereka di bawah SOSMA dua tahun lepas.

“Kesemua mereka yang akan disaman itu telah mengeluarkan kenyataan terhadap anak guam saya, Khairuddin, berikutan penahanannya di bawah SOSMA,” katanya.

Sementara itu, Khairuddin ketika dihubungi memberitahu kes beliau dan Matthias membuktikan secara jelas kepada seluruh rakyat Malaysia dan warga dunia bahawa semua laporannya mengenai skandal kes 1MDB di Singapura, Switzerland, Perancis, United Kingdom, Hong Kong serta pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat mempunyai asas yang amat kukuh.

“Tindakan saya ke atas skandal kes 1MDB bukan berunsur fitnah tetapi berteraskan kepada fakta yang nyata dan sahih, malahan beberapa negara luar telahpun mengesahkan pelbagai bukti salah laku pengubahan wang haram dalam transaksi penyelewengan dari akaun syarikat 1MDB,” katanya.

Tegasnya, ramai yang terlibat dengan kes 1MDB telah ditangkap, didakwa dan dipenjarakan di beberapa buah negara yang telah beliau laporkan.

Sehingga kini, tiada pendakwaan berkaitan 1MDB di Malaysia selepas polis mengesahkan telah menghantar laporan siasatan kepada Peguam Negara pada April.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.