Tiada Pertuduhan Terhadap Menteri Langgar Kuarantin, kata Peguam Negara
2020.10.21
Kuala Lumpur, Malaysia

Pejabat Peguam Negara Malaysia pada Rabu berkata yang pihaknya tidak akan mendakwa seorang menteri yang tidak mengkuarantin diri setelah kembali dari luar negara pada Julai lepas kerana beliau tidak diberi borang yang mengarahkannya untuk tinggal di rumah.
Keputusan oleh Pejabat Peguam Negara itu dinyatakan dalam satu kenyataan dua mukasurat yang menyatakan sebab kenapa tiada tindakan diambil terhadap Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali yang dikeluarkan di Putrajaya dengan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] turut mengadakan sidang media di Ibupejabat Polis Bukit Aman berhubung perkara yang sama.
Kenyataan itu antara lain berkata, “Hasil kajian dan penelitian terhadap keterangan yang telah dikemukakan dalam kertas siasatan mendapati pegawai diberi kuasa telah menggunakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan sebarang perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah bagi mengarahkan Menteri untuk menjalani pemerhatian dan pengawasan di bawah subseksyen 15(1) Akta 342.
“Borang 14b seperti yang diperuntukkan dalam Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia tidak pernah diserahkan kepada Menteri sebelum beliau dibenarkan pulang ke rumah. Bagi menjadikan perbuatan melanggar perintah kuarantin di rumah sebagai satu kesalahan di bawah Akta 342, perintah pemerhatian dan pengawasan perlulah diserahkan kepada Menteri terlebih dahulu sebagaimana dikehendak di bawah subseksyen 15(1) Akta 342,” kata kenyataan itu .
“Berdasarkan kepada perkara tersebut, Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap Menteri memandangkan tiada keterangan yang kukuh bagi memenuhi beban bukti yang diperlukan di bawah undang-undang,” kata Peguam Negara Idrus Harun dalam kenyataan itu.
Keputusan oleh pejabat Peguam Negara telah membuatkan orang awam di negara itu melontarkan perasaan tidak puas hati mereka di laman-laman media sosial yang mengatakan tindakan tersebut sebagai ‘berat sebelah’.
Dalam pada itu, PPDRM yang telah dipertanggungjawabkan untuk menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berkata kertas siasatan oleh polis sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan pejabat itu memutuskan yang siasatan itu berada dibawah kategori 'tiada tindakan lanjut (NFA)'.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, ‘Kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan arahan untuk kes ini adalah 'no further action' [NFA] atas alasan YB Menteri (Khairuddin) tidak diserahkan Borang 14b di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin."
"Berdasarkan keterangan itu, maka Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap YB Menteri (Khairuddin) memandangkan tiada keterangan yang kukuh bagi mengasaskan pertuduhan," kata beliau pada sidang media di Bukit Aman itu.
Pada Ogos lepas, pihak berkuasa berkenaan telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang daripada Turki, pada 7 Julai lalu.
Polis menjalankan siasatan keatasnya mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) setelah menerima 27 laporan polis berhubung perkara tersebut.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan media pada Ogos lepas turut memaklumkan yang kementerian tersebut telah mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 (AS$241) terhadap Khairuddin pada 7 Ogos, atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah semasa diminta mengulas mengenai keputusan terkini Pejabat Peguam Negara pada Rabu mempertahankan kenyataannya sebelum ini dengan berkata yang pengurusan tertinggi kementeriannya tidak dimaklumkan mengenai kompaun ke atas Khairuddin dan pelanggaran perintah kuarantin dilakukan menteri tersebut
Beliau sebaliknya meminta media untuk merujuk kenyataannya pada 25 Ogos lalu mengenai isu tersebut di mana Noor Hisham memberitahu media yang KKM sudah menyerahkan kertas siasatan dalaman berhubung isu pelanggaran kuarantin oleh Khairuddin kepada polis untuk tindakan lanjut dan menyerahkan sepenuhnya isu berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
Noor Hisham pada masa itu juga memaklumkan yang Khairuddin telahpun menjelaskan kompaun kerana melanggar perintah itu yang dikenakan terhadapnya pada 7 Ogos, iaitu sebulan selepas Khairuddin kembali dari luar negara.
“Kenyataan saya itu masih kekal,” katanya dalam sidang media di Putrajaya tanpa menjelaskan kenapa borang 14b tidak dikeluarkan kepada Khairuddin dan alasan kompaun dikeluarkan keatas menteri berkenaan.
Noor Hisham turut berkata pihaknya dan pengurusan tertinggi hanya mengetahui mengenai hal berkenaan melalui laporan media.
“Saya dan pengurusan tertinggi yang lain tidak dimaklumkan oleh petugas di lapangan mengenai perkara ini dan hanya mengetahuinya daripada laporan media minggu lalu. Disebabkan itu kita arahkan siasatan dalaman dilakukan berhubung perkara tersebut dan saya sudah menerima laporan penuh siasatan terbabit serta mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di lapangan,” katanya lagi.
Pada tarikh yang sama Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai patut menyerahkan isu Khairuddin kepada pihak berkuasa untuk menyiasat isu berkenaan sebelum memutuskan tindakan lanjut.
"Sebelum beliau dihadapkan ke mahkamah, kes patut disiasat oleh polis. Kemudian kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara sebelum pejabat itu memutuskan sama ada boleh didakwa atau tidak," katanya.
Pada masa yang sama ketika itu, Khairuddin turut memohon maaf kerana tidak menjalani kuarantin wajib dan turut mendermakan empat bulan gajinya sebagai tanda menyesali kesalahan tersebut.
Beliau bagaimanapun tetap menerima kecaman meluas kerana didakwa cuba menutup kesalahannya dan kerajaan juga dituduh pilih kasih dalam kes tersebut, memandangkan beberapa orang awam yang terbabit dalam kes melanggar perintah kuarantin wajib dikenakan hukuman lebih tinggi termasuk denda dan penjara.
Di bawah Akta 342, kerajaan mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warga negara dan warga asing untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan COVID-19.
Ismail Sabri semasa sidang media hariannya di Putrajaya pada 7 Jun lepas, telah mengumumkan keputusan kerajaan bahawa semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara tidak perlu lagi menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin sebaliknya boleh berbuat demikian di rumah masing-masing bermula 10 Jun.
"Mereka wajib muat turun aplikasi MySejahtera dan wajib pakai gelang tangan kuarantin bagi memudahkan proses identifikasi. Jadi walaupun dibenarkan pulang tetapi mereka akan dipantau melalui MySejahtera.
"Mereka juga tidak boleh keluar kerana dengan memakai gelang tangan itu, mereka akan mudah dikenalpasti. Mereka wajib menjalani kuarantin 14 hari. Kerajaan akan mewartakan di dalam Akta 342 dan mereka yang ingkar peraturan ini akan dikompaun RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah dan boleh didenda serta dipenjara," katanya pada masa itu.