Isu Bayaran GST : Khairy Buat Laporan Polis Kenyataan Menteri Kewangan

Hadi Azmi
2018.08.09
Kuala Lumpur, Malaysia
180809-MY-Khairy620.jpg Ahli Parlimen Rembau dari Umno, Khairy Jamaluddin (kanan) bersama bekas menteri Mustapha Mohamed pada satu sidang media selepas membuat laporan polis mengenai kehilangan RM18 bilion bayaran balik GST, di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 9 Ogos 2018.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin pada Khamis telah memfailkan satu laporan polis meminta pihak berkuasa Malaysia menjalankan siasatan terhadap kehilangan sebanyak RM18 bilion bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan GST seperti yang didakwa oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang ianya telah ‘dirompak’ dan disalahgunakan oleh kerajaan sebelum ini.

Khairy, yang juga Anggota Parlimen Rembau, dan bekas Ketua Pemuda Parti UMNO pernah berada dalam pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak telah membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di ibunegara Kuala Lumpur.

Beliau semasa ditemui pemberita bekata dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Perkataan rompak itu membawa satu pertuduhan yang berat. Sebab inilah saya memutuskan untuk memfailkan satu laporan polis hari ini supaya perkara ini dapat disiasat,” kata Khairy sejurus tiba di bangunan Parlimen selepas membuat laporan polis itu.

Bekas menteri itu juga mahu Barisan Nasional yang pernah memimpin negara itu sebelum ini, membersihkan nama kerajaan yang lepas berhubungan kenyataan Menteri Kewangan dari kerajaan Pakatan Harapan.

Lim pada Rabu semasa membentangkan Rang Undang-Undang GST memberitahu Parlimen bahawa RM18 bilion daripada RM19.4 bilion telah hilang dari akaun Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan jumlah itu didapati telah dimasukkan ke dalam satu akaun yang digunakan untuk keuntungan kerajaan dan telah digunakan oleh kerajaan BN terdahulu, sehingga menyebabkan pemilik perniagaan terpaksa menunggu selama tiga tahun untuk menerima bayaran balik hasil cukai GST.

Khairy walaubagaimanapun agak skeptikal dengan dakwaan Lim itu, setelah Menteri Kewangan berkenaan gagal menjawab samada bayaran RM18 bilion itu ditahan kerana adanya masalah teknikal seperti tidak mematuhi prosedur.

“Dua kali saya bangun dan bertanya kepada menteri kewangan pada Rabu dan Khamis untuk memberikan maklumat terperinci dan dua kali juga menteri gagal memberikan jawapan,” kata Khairy.

Bekas Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa Mustapha Mohamed yang ada bersama Khairy di sesi media berkata, UMNO dan kerajaan terdahulu tidak akan membenarkan sebarang penyalahgunaan dana awam dan berhasrat untuk melihat bukti terhadap dakwaan Lim itu.

“Benda ini salah dan jumlahnya terlalu besar di mana kita berhadapan dengan kritik dan persepsi negatif berikutan dengan kenyataan menteri,” kata Mustapha yang menambah partinya tidak berhasrat untuk dikaitkan dengan satu lagi ‘rompakan’ seperti didakwa.

Khairy berkata faktor lain kenapa laporan polis dibuat adalah kerana mahukan pihak polis  menjalankan siasatan dan bukannya siasatan dalam seperti yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan disebabkan perkara itu mempunyai unsur jenayah.

“Jika betul apa yang dikatakan oleh menteri, individu yang memberikan arahan tersebut perlu dibawa ke muka pengadilan,” tegas Khairy.

Di bawah pemerintahan terdahulu, portfolio kewangan dipegang oleh mantan perdana menteri Najib Razak yang sekarang ini berdepan dengan tujuh pertuduhan jenayah bersabit pengubahan wang haram, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

Irwan nafi

Dalam satu laporan oleh media tempatan Khamis, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara, Irwan Siregar menolak semua dakwaan salahlaku dan berkata bahawa setiap sen dikira dan wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun keuntungan kerajaan kerana ia perlu dilakukan di bawah undang-undang.

Irwan telah ditamatkan tempoh perkhidmatannya lebih awal oleh kerajaan Pakatan Harapan susulan kekalahan gabungan parti politik BN di bawah Najib dalam PilihanRaya Umum ke 14 baru baru ini.

Lim dalam jawapan balas terhadap kenyataan Irwan selepas persidangan parlimen tamat mencabarnya untuk menunjukkan dimana wang itu telah disembunyikan dengan berkata “Wang itu tiada. Kalau ada, sudah tentu kita akan bayar sekarang. Kalau Irwan kata ada, kita mahu beliau memberitahu di mana wang itu disembunyikan kerana tiada seorang pun dapat mencarinya,”

Menteri Kewangan itu juga bersetuju dengan Khairy dengan menyatakan bahawa kementerian beliau akan meminta Perdana Menteri Mahathir Mohamad untuk membenarkan siasatan awam terbuka ke atas kehilangan wang tersebut.

“Kita akan buat siasatan dalaman dan menyerahkan hasilnya kepada perdana menteri. Apa yang kita mahu tahu ialah siapa yang bertanggungjawab terhadap kehilangan wang bayaran balik kepada pemilik perniagaan yang sepatutnya mereka dapat balik dalam masa dua minggu” tambah Lim yang mendedahkan tentang kehilangan wang itu ketika parlimen melakukan pengundian untuk memansuhkan cukai GST, empat tahun selepas ia diperkenalkan pada 2014, pada Rabu.

Parlimen pada Rabu meluluskan bil untuk memansuhkan cukai GST dan memperkenalkan cukai lama, cukai jualan dan perkhidmatan yang akan berkuatkuasa 1 September.

Pakatan Harapan dalam janji manifestonya akan memansuhkan GST yang didakwa membebankan rakyat dan memperkenalkan cukai satu aras SST, di mana di bawah sistem cukai tersebut, cukai barangan akan dikenakan sebanyak 10 peratus manakala cukai perkhidmatan dikenakan sebanyak 6 peratus.

Sebanyak 5,443 barangan akan dikecualikan dari cukai, 10 kali ganda dari jumlah barangan yang dikecualikan dari cukai GST. Menurut Lim, hanya 43.5 peratus perkhidmatan akan dikenakan SST berbanding 64.8 peratus dibawah sistem cukai GST.

Kehilangan RM18 bilion didedahkan oleh audit dalaman dan siasatan oleh Jabatan Kastam Malaysia dengan Lim berkata, jabatan tersebut tidak boleh disalahkan kerana kuasa untuk pembayaran semula GST terletak pada kementerian beliau. Jumlah itu melibatkan RM9.18 billion bagi tahun lepas manakala RM6.78 billion bagi 2016 dan RM610 milion (2015).

Lim berkata kegagalan kerajaan Barisan Nasional untuk membayar semula kepada perniagaan telah memberi impak negatif kepada industri perdagangan di negara itu sambil memberi jaminan yang kerajaan akan tetap membuat pembayaran tetapi melalui cara lain.

Pada sidang media itu, Khairy juga memberitahu yang beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] pada Jumaat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.