Malaysia Gesa ASEAN Kaji Semula Keanggotaan Myanmar Berikutan Krisis Rohingya
2016.11.30
Washington DC

Kerajaan Malaysia menggesa supaya dikaji semula keanggotaan Myanmar dalam organisasi serantau utama Asia Tenggara itu berikutan "pembersihan etnik besar-besaran" kumpulan minoriti Rohingya Muslim di negara itu, mdenjadikannya satu lagi kritikan terbaru antarabangsa terhadap Myanmar.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Belia dan Sukan serta Ahli Parlimen Malaysia, menuntut supaya Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) mengkaji semula keanggotaan Myanmar, walaupun 10 negara anggota pertubuhan itu telah bersetuju untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara masing-masing.
"Prinsip tidak campur tangan tidak boleh diguna pakai apabila berlakunya pembersihan etnik besar-besaran di negara anggota ASEAN," katanya kepada hadirin pada mesyuarat tahunan parti pemerintah, Pertubuhan Melayu Bersatu Kebangsaan, pada Rabu, menurut Radio Free Asia, sebuah entiti BeritaBenar.
Tentera Myanmar telah menjalankan pemeriksaan keselamatan besar-besaran di bahagian utara negeri Rakhine berikutan serangan maut terhadap pondok pengawal sempadan pada Oktober, dengan mereka meletakkan kesalahan itu ke atas militan Rohingya.
Anggota-anggota tentera itu, bagaimanapun, telah bertindak keras terhadap orang awam dan didakwa melakukan pembunuhan, rogol, dan pembakaran khianat di luar batasan undang-undang dalam masyarakat Rohingya. Namun, pihak Tentera menolak dakwaan melakukan sebarang kekejaman sebaliknya, menyalahkan perbuatan khianat itu terhadap Rohingya.
Keganasan itu memaksa puluhan ribu Rohingya melarikan diri dari kawasan itu dan cuba merentas masuk ke negara jiran, Bangladesh. Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 10,000 orang mungkin tiba pada minggu-minggu akan datang dengan para pengawal sempadan Bangladesh berusaha membendung kemasukan mereka.
Awal minggu ini, seorang pegawai PBB mencetuskan kritikan antarabangsa berhubung krisis itu apabila beliau berkata kerajaan negara itu terlibat dalam pembersihan etnik Rohingya, yang dianggap sebagai pendatang haram dari Bangladesh di Myanmar, yang majoriti penduduknya adalah Buddha.
Jenayah terhadap kemanusiaan?
Pada Selasa, agensi hak asasi PBB berkata Rohingya Islam Myanmar mungkin menjadi mangsa jenayah terhadap kemanusiaan, dengan bekas Setiausaha Agung PBB Kofi Annan tiba di negara itu untuk lawatan termasuk mengadakan kunjungan ke negeri utara Rakhine.
Annan, yang mengetuai Suruhanjaya Penasihat Rakhine dilantik kerajaan negara itu bagi mengkaji penyelesaian konflik, bantuan kemanusiaan, isu-isu pembangunan dan mengukuhkan institusi tempatan di negeri miskin itu, akan melawat perbandaran Maungdaw di mana keganasan berlaku pada Jumaat.
Annan dan anggota lain suruhanjaya itu telah menawarkan untuk bertemu dengan wakil-wakil dari organisasi masyarakat sivil (CSO) etnik Rakhine, yang keangotaan kumpulan itu telah merosot, dengan Annan di[detik sebagai menggunakan perkataan "Rohingya" pada sidang berita 8 Sept lalu semasa lawatannya ke kawasan itu. Penganut Buddha negara itu merujuk Rohingya sebagai "Benggali" walaupun ramai yang sudah tinggal di Myanmar sejak banyak generasi yang lalu.
"Sebab itulah, kami mengambil keputusan untuk tidak berjumpa dengannya," kata Than Tun, pemimpin wakil jawatankuasa wakil CSO di ibu negara Rakhine, Sittwe.
Kumpulan itu juga berkata mereka tidak berpuas hati kerana suruhanjaya itu berkata ia akan berusaha terutamanya untuk pembangunan di negeri miskin itu dan bukannya menangani isu-isu etnik dan umat Islam Rakhine. Mereka berpendapat negeri itu bertanggungjawab menangani isu-isu pembangunan manakala suruhanjaya itu pula bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah penganut Buddha dan Islam.
Bergandingan
Umat Islam di negara-negara lain Asia mengadakan bantahan minggu ini terhadap layanan kerajaan Myanmar terhadap Rohingya di negeri Rakhine.
Pada 25 Nov, beratus-ratus Rohingya dan rakyat Malaysia berarak ke Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, ibu negara yang majority penduduknya adalah Islam, untuk membantah apa yang mereka namakan pembunuhan beramai-ramai Rohingya. Pada hari yang sama, kerajaan Malaysia memanggil Duta Myanmar untuk menyuarakan kebimbangan mengenai perkara itu.
Pada 25 Nov juga, ahli-ahli kumpulan Islam berarak dalam perhimpunan di Dhaka, Bangladesh, untuk membantah apa yang mereka namakan penganiayaan Rohingya di Myanmar.
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pula akan mengambil bahagian dalam satu lagi demonstrasi terhadap keganasan di Rakhine pada 4 Dis, lapor Agence France-Presse.
Berita mengenai perhimpunan pada Ahad depan dilaporkan ketika Aung San Suu Kyi, yang juga berperanan sebagai penasihat kerajaan dan Menteri Luar Myanmar, tiba di Singapura pada Rabu untuk lawatan tiga hari bagi mendapatkan pelaburan asing untuk Myanmar. Beliau tidak menyatakan tentang keadaan di Rakhine tetapi berkata beliau sedang berusaha bagi keamanan dan perdamaian kebangsaan di negara itu.
Aung San Suu Kyi dijadual melawat Indonesia selepas Singapura, tetapi menangguhkan lawatannya berikutan bantahan di negara itu yang majoriti penduduknya Islam berikutan tindakan keras Myanmar terhadap Rohingya dan penahanan seorang militan yang mempunyai kaitan dengan Negara Islam kerana merancang untuk mengebom Kedutaan Myanmar di ibu negara, Jakarta.