Polis Malaysia Tangkap Tujuh Suspek, termasuk Empat Warga Yaman

Fadzil Aziz
2017.03.06
Kuala Lumpur
170306-MY-detainees-620.jpg Polis Malaysia mengaburkan wajah pegawai polis dan suspek rakyat Yaman yang ditahan pihak berkuasa dalam serbuan di Serdang, 26 Feb 2017.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Pihak berkuasa Malaysia berkata mereka telah berjaya menahan plot serangan bom-kereta, memecahkan rangkaian pasport palsu dengan merampas beribu-ribu dolar apabila menahan tujuh lelaki, termasuk empat dari Yaman, dalam serbuan pada Februari.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mendedahkan mengenai perkara itu, dengan berkata, pihak berkuasa telah menahan seorang juruteknik kilang rakyat tempatan berusia 41 tahun dan seorang petani warga Indonesia berusia 28 tahun pada 21 Feb sebelum mereka melancarkan serangan keganasan.

"Melalui siasatan, kami mendapati bahawa kedua-dua lelaki menerima arahan dari Muhammad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan serangan bahan letupan menggunakan kenderaan secara besar-besaran di negara ini sebelum membuat perjalanan ke Syria untuk menyertai kumpulan Negara Islam (IS),"  kata Khalid pada Ahad.

Polis telah mengenal pasti Wanndy sebagai pejuang IS yang berpangkalan di Syria yang didakwa merancang serangan bom yang mencederakan lapan pelanggan di sebuah kelab malam di pinggir Kuala Lumpur tahun lepas.

Warga Indonesia, kata Khalid, telah dihantar pulang dari Turki pada Jun 2016 selepas cuba memasuki Syria secara haram.

Polis turut menahan seorang pelajar berusia 37 tahun pada 23 Februari lalu yang menggunakan visa pelajar palsu dan telah mendaftar di sebuah universiti awam di ibukota, kata Khalid.

"Suspek adalah anggota kumpulan pengganas dari Asia Timur dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara transit dan persembunyian," kata Khalid sambil menambah pelajar tersebut  memasuki Malaysia pada 2011.

Suspek juga dipercayai mempunyai hubungan dengan seorang lagi suspek pengganas Asia Timur, yang bertanggungjawab dalam mengatur laluan selamat bagi anggota kumpulan itu  menyertai IS di Syria, menurut Khalid.

Suspek warga Yaman


Warga Yaman telah ditahan di dua kawasan iaitu di Serdang dan Cyberjaya, di Selangor pada 26 Februari, menurut Khalid.

Polis percaya bahawa keempat mereka adalah sebahagian daripada puak pemberontak di Yaman, kata Khalid tanpa mengulas sama ada mereka mempunyai hubungan atau kaitan dengan IS.

"Siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam sindiket memalsukan dokumen perjalanan," kata Khalid.

Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai pasport antarabangsa palsu dan wang RM270,000 (AS$60,600) dalam mata wang asing.

Ahmad El-Muhammady Ahmad, seorang penganalisa dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, memberitahu BeritaBenar pada Isnin bahawa maklumat awal yang diperolehi menjurus kepada kaitan lelaki Yaman kepada Wanndy dan Katibah Nusantara (KN). Ahmad membantu pihak berkuasa Malaysia menjalankan program deradikalisasi.

KN, unit Kepulauan Melayu IS, adalah kumpulan pejuang dari rantau berbahasa Melayu meliputi Malaysia dan Indonesia bersama-sama dengan Selatan Filipina.

Walaupun Khalid tidak menamakan suspek, beliau berkata kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Imigresen.

Sejak tahun 2013, pihak berkuasa di Malaysia telah menahan serami 278 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, yang mana 66 daripada mereka telah pun dibebaskan, menurut angka terbaru daripada kerajaan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.