Tebusan Malaysia Masih Hidup, Kata Khalid
2016.04.26
Kuala Lumpur

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan keempat-empat rakyat Malaysia yang diculik oleh sekumpulan lelaki, dipercayai anggota militan Abu Sayyaf, di perairan Sabah masih hidup, selepas laporan menyatakan seorang tebusan warga Kanada telah dipenggal kepala pada Isnin.
“Maklumat yang kita dapati ialah kesemua mereka masih hidup,’’ katanya kepada BeritaBenar ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp pada Selasa.
Keadaan keempat-empat rakyat Malaysia itu menjadi tanda tanya apabila tentera Filipina menemui kepala di sebuah pulau terpencil di selatan negara itu pada Isnin
Agensi media antarabangsa melaporkan, kepala John Ridsdel, seorang warga Kanada ditemui lima jam selepas tarikh akhir penyerahan wang tebusan yang ditetapkan militan itu tamat.
Ridsdel, 68, bekas eksekutif perlombongan dipercayai di penggal kepalanya pada kira-kira pukul 3 petang di Bandar Patikul, Pulau Sulu dengan satu laporan tidak rasmi menyatakan ianya dilakukan oleh anggota kumpulan yang dikenali sebagai Ben Takoh Sawadjaan.
Ridsdel diculik bersama seorang lagi rakan senegaranya Robert Hall, 50, warga Norway, Kjartan Sakkingstad, 56, dan teman wanitanya, seorang wanita berkerakyatan Filipina, Maritess Flor, 40, di sebuah resort di Pulau Samal, wilayah Davao, pada September lepas.
Dua minggu lepas Abu Sayyaf mengeluarkan video mengancam akan memenggal kepala salah seorang daripada mereka, jika wang pampasan RM25 juta [300 juta peso] setiap seorang tidak dibayar.
Empat rakyat Malaysia yang menjadi tahanan kumpulan itu, diculik pada 1 April lepas oleh sekumpulan lapan lelaki bersenjata yang memintas sebuah kapal tunda yang menbawa 10 kru di perairan berhampiran Pulau Ligitan, Semporna, Sabah, semasa dalam pelayaran pulang dari Filipina ke Malaysia.
Kesemua empat lelaki itu berasal dari Sibu, Sarawak, ialah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29; dan Johny Lau Jung Hien, 21.
'Pertemuan dua negara’
Dalam pada itu, Khalid berkata, sepasukan pegawai tertinggi polis telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat mereka di Manila baru-baru ini, dalam usaha untuk membebaskan mereka yang diculik itu.
Khalid menambah, setakat ini, polis telah menerima maklum balas positif daripada pasukan keselamatan Filipina dalam usaha-usaha menyelamat rakyat Malaysia berkenaan.
“Apa pun kita sedang bekerjasama dengan pihak tentera dan polis Filipina untuk membebaskan empat warga Malaysia yang diculik itu," menurut beliau.
Khalid juga turut memberi amaran kepada calon yang akan bertanding di pilihanraya Sarawak tidak kira sama ada dari pembangkang atau kerajaan supaya tidak membawa keluarga mangsa culik semasa berkempen.
Keluarga mangsa telah dipergunakan semasa majlis ceramah ahli politik yang bertanding, memohon bantuan orang ramai untuk mengumpul dana bagi membayar wang tebusan yang dijangka bernilai jutaan ringgit.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan parti pembangkang yang membawa keluarga empat mangsa semasa kempen dalam pilihanraya negeri Sarawak itu.
“Keluarga berkenaan telah dijadikan modal politik dan menggambarkan seolah-olah kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk membebaskan kesemua mereka,” katanya seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Selasa.