Polis Malaysia Tubuh Pasukan Khas Siasat 1MDB

Hata Wahari
2016.04.14
Kuala Lumpur
160414-my-khalid620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar semasa memeriksa kawalan kehormatan pada perbarisan Hari Polis Ke-209 di Kuala Lumpur, 25 Mac 2016.
AFP

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan sebuah pasukan khas serta membuka semula kertas siasatan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Khamis.

Beliau berkata, penubuhan pasukan penyiasat khas yang diketuainya itu dibuat sehari selepas laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 April lepas.

“Saya telah menerima arahan daripada Majlis Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang di Parlimen pada 8 April lalu supaya PDRM menjalankan siasatan,” katanya seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Beliau berkata, siasatan ke atas syarikat dana negara itu akan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan sekiranya terdapat unsur pecah amanah dan penipuan.

"Polis telah memulakan siasatan dan mengambil kira lima syor dari laporan PAC dengan melihat pelbagai isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan, dengan beberapa saksi telah dan akan dipanggil termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Helmi, bagi membantu siasatan,” kata Khalid.

PAC dalam laporan 106 muka suratnya itu berpendapat bahawa Shahrol Azral perlu bertanggungjawab bagi kesemua kelemahan dan kekangan dalam 1MDB dan mengesyorkan pihak berkuasa membuat siasatan ke atas beliau serta pihak pengurusan berkaitan.

1MDB, syarikat dana pelaburan negara sarat hutang, berdepan dengan dakwaan rasuah yang turut dikaitkan dengan Perdana Menteri Najib Razak, yang juga pengerusi lembaga penasihat syarikat berkenaan, sejak Julai lalu.

Laporan PAC itu turut menggesa ahli-ahli lembaga pengarah 1MDB  meletak jawatan selain mencadangkan siasatan jenayah dilakukan terhadap pengurusan kanannya.

Usaha BeritaBenar menghubungi Shahrol dan juga Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB yang baru Arul Kanda Kandasamy tidak berjaya.

"Kami telah melihat laporan penuh PAC dan beberapa pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sedang menyiasat jika terdapat elemen jenayah, atau berlakunya pelanggaran tatacara syarikat di bawah Akta Syarikat’’ ujar Khalid sambil menambah beberapa saksi lagi akan dipanggil tetapi tidak mendedahkan jumlahnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.