Kesemua Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Letak Jawatan
2018.07.26
Kuala Lumpur, Malaysia

Kesemua sembilan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad termasuk Pengarah Urusannya, Azman Mokhtar telah meletakkan jawatan, susulan kritikan Perdana Menteri terhadap firma itu yang dikatakan sudah terpesong dari landasan asal dalam membantu golongan Bumiputera.
Khazanah dalam satu kenyataan media pada Khamis berkata kesemua ahli lembaga pengarah dan pengarah urusan sudah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan bagi membantu dalam peralihan kuasa kerajaan baru.
“Ahli lembaga pengarah berasa berbesar hati dapat berkhidmat, dan merasakan sudah sampai masanya untuk kerajaan baharu menggunakan budi bicara untuk membentuk lembaga pengarah yang baru,” kata kenyataan itu.
Mahathir baru-baru ini mendakwa Khazanah, Syarikat pelaburan negara yang ditubuhkan pada 1993 semasa pentadbiran terdahulunya telah menyimpang daripada teras firma berkenaan untuk membantu bumiputera.
“Agak jelas, Khazanah melakukan perkara pelik termasuk membeli rumah dan mengambil alih syarikat yang pada asalnya ditubuhkan untuk membeli saham yang diperuntukkan kepada bumiputera kerana bumiputera bila mereka membeli saham, mereka akan cepat menjualnya kepada pihak lain.
“Untuk menghentikan mereka (bumiputera) daripada melakukan perkara ini, kita tubuhkan Khazanah, tetapi mereka sekarang ini mengambil alih semua saham untuk mereka (Khazanah) sama ada untuk bumiputera atau tidak, jadi kita perlu kembali ke matlamat asal penubuhannya,” kata Mahathir.
Khazanah diperbadankan pada 3 Sept 1993, dengan diberi mandat untuk menguruskan aset komersial milik kerajaan pusat, selain merancang pelaburan strategik yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara, kini memiliki aset bernilai RM 157.2 billion (AS$39 billion)
Pada 2004, Khazanah melaksanakan pendekatan pelaburan lebih meluas dan lebih aktif, termasuk meningkatkan prestasi pegangan teras sedia ada dan pada masa sama mengenal pasti peluang dalam sektor ekonomi dan geografi baharu.
Khazanah juga memiliki lebih 100 portfolio di Malaysia antaranya CIMB Group Holdings Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan Axiata Bhd dengan pelaburan asing dalam firma teknologi milik Amerika Syarikat dan mempunyai saham dalam syarikat China, Alibaba Group.
Sebelum ini, dana milik Khazanah telah digunakan bagi membayar liabiliti syarikat 1Malaysia Development Berhad [1MDB] yang terpalit dengan skandal hutang. Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan pada 24 Mei mengesahkan bahawa bayaran yang dibuat oleh Khazanah dan Bank Negara Malaysia kepada Kementerian Kewangan telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Dalam pada itu, Penganalisis ekonomi, Barjoyai Bardai berpendapat langkah drastik perletakan jawatan tersebut tidak akan meragukan penganalisis ekonomi dalam dan luar negara sambil menekankan bahawa tindakan itu adalah sesuatu yang normal dalam pengstrukturan korporat.
"Saya tidak berasa bahawa kesemua ahli lembaga pengarah dipaksa untuk berhenti dan merasakan bahawa perletakan jawatan itu adalah kerana kata-kata Mahathir yang mahukan perubahan." kata Barjoyai kepada BeritaBenar pada Khamis sambil menambah pelabur tidak akan berasa gusar kerana perkara itu adalah sesuatu yang normal serta diperlukan dalam penstrukturan semula.
Menurut laporan media, Khazanah pada Rabu, telah sebulat suara berpendapat bahawa kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) perlu dibenarkan untuk menentukan struktur kepimpinan baru syarikat dana kerajaan itu.
Keputusan telah dibuat untuk menyerahkan surat tanpa tarikh bertujuan memberi Mahathir kata putus untuk menentukan siapakah yang harus pergi atau kekal di Khazanah, kata pegawai yang rapat dengan perkembangan tersebut.
Pensyarah kanan Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berpendapat bahawa perubahan struktural di dalam Khazanah tidak dapat dielakkan tetapi katanya langkah drastik meletakkan jawatan secara beramai-ramai mungkin akan memberi isyarat yang salah kepada pelabur.
"Pakar ekonomi dan penganalisis pasaran akan melihat perletakan jawatan secara beramai-ramai itu sebagai satu isyarat sedang berlakunya protes. Ini boleh menimbulkan keraguan pada pelabur sama ada dalam dan luar negara," tambah Awang Azman.
Guan Eng yang mengulas mengenai perletakan jawatan berkenaan berkata perlantikan semula ahli lembaga pengarah yang baru hanya akan diumumkan oleh perdana menteri.
“Perdana Menteri mempunyai hak untuk melantik seseorang bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Azman Mokhtar. Kita perlu beri peluang kepada PM untuk membuat keputusan,” kata Lim kepada media di Parlimen.
Dalam pada itu, Najib yang pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Khanazah menyangkal kritikan Mahathir yang mendakwa Khazanah menyimpang daripada tujuan asal membantu Bumiputera.
"Visi Khazanah adalah sebagai institusi pelaburan untuk mencipta kekayaan negara dan mengembalikan dividen kepada kerajaan dengan menubuhkan syarikat baharu, memasuki pasaran antarabangsa, dan mengasah bakat dalam negara.
"Namun, jika bakat ini tidak diberikan peluang, mereka akan pergi ke tempat lain dan apabila negara kehilangan bakat, kita akan memiliki pengurusan tidak berkualiti. Saya bimbang mengenai masa depan sektor korporat di negara ini," kata Najib dilobi parlimen seperti dilaporkan akhbar tempatan Berita Harian.
Mahathir dan rasuah
Dalam pada itu Mahathir dalam wawancara dengan rangkaian berita Amerika Syarikat CNN berkata, sebahagian pemimpin atasan dalam kerajaan terdahulu terlibat dalam rasuah yang dinilai amat teruk.
“Daripada luar kita dapat melihat kerosakan tetapi kita tidak pernah menjangkakan bahawa kerosakan yang begitu luas. Kebanyakan pemimpin atasan dalam kerajaan juga adalah korup,” katanya kepada CNN yang disiarkan pada Khamis.
Mahathir berkata dalam wawancara itu, “Saya terpaksa bekerja dengan sebahagian individu yang boleh dikatakan sebagai suspek. Ini adalah tugas yang begitu sukar. Jika kamu tidak bekerja dengan orang yang kamu tidak percaya, kamu tidak akan tahu sama ada kamu mahu mereka menyempurnakan tugas atau tidak,”
Bekas perdana menteri Najib yang juga merupakan protege Mahathir didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM42 juta.
Malaysia kini berada di tangga ke 62 daripada 180 negara dalam indeks rasuah yang dikeluarkan oleh badan ketelusan antarabangsa, Transparency International (TI) tahun 2017, prestasi yang dianggap terburuk sejak lima tahun lalu dan pada 2016, Malaysia berada di tangga ke-55 daripada 176 negara.