Singapura Gantung Lelaki Malaysia Selepas Tolak Rayuan Terakhir
2016.05.20
Kuching, Sarawak

Singapura menjatuhkan hukuman gantung ke atas Jabing Kho dari Sarawak, Malaysia, pada petang Jumaat kerana membunuh seorang pekerja binaan lapan tahun lalu, setelah penangguhan pelaksanaan hukuman pada saat-saat akhir ditarik balik.
Rachel Zeng daripada Kempen Penalti Anti-hukuman mati Singapura mengesahkan Kho, 32 telah digantung pada 3:30 petang di Penjara Changi selepas dia dibenarkan bertemu dengan keluarganya untuk kali terakhir.
Kho memperolehi penangguhan hukuman itu pada malam Khamis, selepas pasukan peguamnya memfailkan rayuan. Pada pagi Jumaat, panel lima hakim menolak rayuan itu, yang membuka laluan bagi meneruskan pelaksanaan hukuman itu pada petangnya, sesuatu yang jarang sekali dilakukan. Singapura biasanya menjalankan hukuman mati pada waktu subuh.
“Mahkamah ini tidak harus dilihat sebagai alat untuk melemahkan proses undang-undang. Kita tidak boleh membenarkan permohonan yang dibuat pada saat akhir," Hakim Mahkamah Rayuan Chao Hick Tin berkata ketika menolak rayuan pada Jumaat, menurut laporan.
Keluarga Kho, yang tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mereka pada Jumaat, menerima surat daripada Perkhidmatan Penjara Singapura minggu lalu yang menyatakan pelaksanaan hukuman itu telah dijadualkan pada pagi 20 Mei.
Penantian enam tahun
Kho telah dikenakan hukuman mati pada 2010, selepas Mahkamah Tinggi Singapura mendapati beliau bersalah menggunakan dahan pokok untuk membunuh pekerja binaan Cao Ruyin semasa cubaan merompak pada 2008. Cao, meninggal dunia enam hari selepas dibelasah, dipukul di bahagian kepala dan mengalami beberapa keretakan tengkorak.
Pada Ogos 2013, berikutan semakan undang-undang hukuman mati mandatori Singapura, mahkamah sebaliknya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan. Pihak pendakwaan mencabar keputusan itu dan mahkamah tertinggi itu mengubah hukuman itu kepada hukuman mati.
Pelaksanaan hukuman terhadap Kho itu ditangguhkan kepada November 2015 apabila peguamnya mencabar keputusan berkenaan. Pada 5 April lalu, Mahkamah Agung mengekalkan hukuman mati.
Pada 13 Mei lalu, Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem memberitahu BeritaBenar bahawa kerajaan negeri telah kehabisan usaha untuk memujuk pihak berkuasa Singapura supaya memberikan pengampunan kepada Kho.
Kutukan
Kumpulan hak asasi global, Amnesty International (AI) mengutuk pelaksanaan hukuman itu kerana ia dilakukan "beberapa jam selepas peluang terakhirnya untuk penangguhan hukuman itu ditolak."
"Sungguh memalukan bahawa Kho Jabing telah digantung, terutamanya dalam keadaan tergesa-gesa, selepas rayuan terakhirnya ditolak pagi ini," kata Timbalan Pengarah AI bagi Pejabat Rantau Asia Tenggara dan Pasifik Josef Benedict dalam satu kenyataan.
Pengarah Eksekutif AI Malaysia Shamini Darshini berkata Singapura berkelakuan seperti sebuah negara mundur apabila ia menggunakan bentuk hukuman yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
"Beliau [Kho] melalui pelbagai hukuman; dihukum mati, dihukum penjara seumur hidup dan sebatan, dan dihukum mati sekali lagi. Pengalaman pahit ini benar-benar kejam bagi keluarga Kho selama enam tahun yang menyebabkan mereka kebingungan,” katanya.
Singapura menjatuhkan hukuman gantung terhadap enam orang pada 2014 dan 2015 - lima kerana kesalahan dadah dan satu kerana membunuh. Kerajaan tidak mengeluarkan butiran tentang kewarganegaraan mereka.
Malaysia masih belum memansuhkan hukuman mati dan kerajaan pada Selasa mengumumkan bahawa 1,041 banduan sedang menunggu hukuman mati.
Pada November, Menteri yang bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan bercadang mengemukakan rang undang-undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi beberapa jenayah, terutamanya kesalahan berkaitan dadah dan memiliki senjata api.