Kes Pembunuhan Kim 'Tidak Dikompromi' Dengan Pelepasan Rakyat Korea Utara: Ketua Polis Malaysia
2017.03.31
Kuala Lumpur

Ketua Polis Malaysia memberi jaminan pada Jumaat bahawa siasatan kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara tidak akan dikompromi dengan kebenaran untuk pulang ke tanah air tiga suspek Korea Utara di bawah perjanjian diplomatik yang diusahakan oleh kedua-dua negara.
Mereka tiba di Pyongyang pada Jumaat dari Beijing bersama-sama dengan mayat Kim Jong Nam, yang telah diracun dengan agen saraf VX di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Feb lalu, dalam satu operasi berani yang mencetuskan perbalahan diplomatik di antara Malaysia dan Korea Utara.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, lelaki-lelaki itu, yang bersembunyi di kedutaan Korea Utara selama berminggu-minggu, telah dibenarkan meninggalkan negara ini kerana mereka tidak lagi diperlukan untuk siasatan pembunuhan itu.
"Tidak, tidak, bagi siasatan jenayah saya, ia tidak dikompromi. Saya masih menyatakan bahawa siasatan terhadap pembunuhan KJN masih dijalankan," kata Khalid kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki itu telah ditemui oleh para penyiasat dan "kami telah mengambil keterangan mereka dan kami berpuas hati dengannya."
Pegawai-pegawai Malaysia berkata ketiga-tiga lelaki itu - Hyon Kwang Song, Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, Kim Uk Il, seorang pekerja syarikat penerbangan negara Korea Utara, Air Koryo, dan Ri Ji U (juga dikenali sebagai James) – dirakam dalam kamera CCTV di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, di mana Kim telah dibunuh.
Pendakwa Raya telah mendakwa dua wanita - seorang warga Indonesia dan seorang wanita Vietnam – dengan pertuduhan membunuh Kim Jong Nam, tetapi pegawai-pegawai di Korea Selatan dan Amerika Syarikat melihat mereka diperalatkan dalam satu operasi yang dijalankan oleh ejen-ejen Korea Utara.
Khalid menegaskan bahawa polis masih mencari empat lagi rakyat Korea Utara, yang telah dikenal pasti sebagai antara suspek yang dinamakan dalam pembunuhan Kim.
Polis berkata, mereka percaya empat individu itu telah kembali ke Korea Utara selepas melarikan diri daripada Malaysia pada hari pembunuhan Kim.
"Kami memerlukan empat orang itu untuk melengkapkan siasatan kami. Dan saya percaya bahawa jika Korea Utara mahu siasatan yang telus, mereka perlu bekerjasama dengan kami dan menyerahkan empat orang itu kepada kami,” kata Khalid.
Pertukaran selesaikan krisis
Kerajaan Malaysia telah membenarkan ketiga-tiga suspek itu untuk pulang dan membenarkan Pyongyang mengambil penjagaan mayat Kim sebagai pertukaran untuk sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara sejak lebih tiga minggu lalu.
"Mayat rakyat DPRK yang meninggal dunia di Malaysia dan orang yang berkaitan dari DPRK telah kembali ke DPRK hari ini dari Beijing," kata jurucakap Kementerian Luar China Lu Kang pada sidang media harian.
"Berdasarkan kepada amalan adat antarabangsa dan pertimbangan kemanusiaan, pihak China menawarkan bantuan yang sewajarnya bagi membolehkan mayat itu transit melalui China."
Isu mengenai siapa yang mempunyai hak penjagaan terhadap mayat abang tiri yang terpisah daripada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un merupakan punca sengketa diplomatik. Krisis ini menyaksikan kedua-dua negara, yang telah menjalinkan hubungan dua hala sejak 1973, mengusir duta dan mengenakan larangan keluar bagi rakyat masing-masing di negara satu sama lain.
Pada kemuncak krisis itu, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menuduh Korea Utara mendalangi pembunuhan itu.
Pada petang Khamis, Najib mengumumkan krisis itu berakhir selepas kerajaannya telah memberi kebenaran kepada Korea Utara untuk mengambil penjagaan mayat Kim. Rakyat Korea Utara yang dihalang meninggalkan Malaysia juga dibenarkan pulang dan sembilan rakyat Malaysia turut menaiki penerbangan pulang dari Pyongyang.
Hubungan dua hala masih utuh, kata Najib pada Jumaat semasa lawatannya ke Chennai, India.
"[Kami] berharap Korea Utara jangan buat angkara seperti ini lagi kerana ia boleh memudaratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara," lapor agensi berita negara, Bernama, yang memetik beliau sebagai berkata.
Pada sidang berita Jumaat, para wartawan menekan Khalid dengan bertanya mengenai siapa ahli keluarga Kim yang telah memberi kebenaran, dalam surat kepada koroner, supaya mayatnya dilepaskan tetapi beliau enggan mengulas.
Kim Jong Nam tinggal bersama isteri dan anak-anaknya dalam buangan di Macau dan hidup terasing daripada adik tirinya, Kim Jong Un, yang dilaporkan telah mengeluarkan perintah tetap supaya beliau dibunuh.
Bagaimanapun, ketua polis negara itu tidak menolak kemungkinan pemimpin Korea Utara menuntut penjagaan mayat itu.
"Waris terdekat yang [menulis surat itu]. Dari segi undang-undang, Kim Jong Un adalah waris terdekat Jong Nam," kata Khalid.