Mayat Kim Masih Di Hospital Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan
2017.03.28
Kuala Lumpur

Mayat abang tiri pemimpin Korea Utara yang dibunuh masih kekal berada di Hospital Kuala Lumpur dan pihak berkuasa Malaysia masih menunggu waris terdekat tampil menuntutnya walaupun ada dakwaan yang menyatakan berlakunya pemindahan mayat dari rumah mayat, kata Menteri Kesihatan pada Selasa.
Menteri S. Subramaniam menafikan laporan berita Malaysia bahawa mayat Kim Jong Nam telah dikeluarkan dari rumah mayat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hujung minggu. Mayat Kim belum lagi dibakar atau dituntut oleh keluarga terdekat, Subramaniam memberitahu pemberita.
“Menurut laporan akhbar New Straits Times, mayatnya telah dibawa ke sebuah rumah urus mayat tempatan dari Institut Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur untuk "upacara keagamaan."
"Terdapat begitu banyak spekulasi mengenai di mana mayat itu berada…. Setahu saya, mayat berkenaan tetap berada di HKL," kata Menteri Kesihatan itu
"Sama ada ia telah diberikan kepada kumpulan lain, jawapannya adalah tidak," katanya.
Soalan mengenai apa akan terjadi kepada mayat Kim kini berada di tengah-tengah rundingan dua hala yang sedang bersemarak di antara Korea Utara dan Malaysia sejak mendiang diserang dengan racun di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2, enam minggu lepas, menurut Polis Malaysia.
Pertikaian bermula apabila Malaysia enggan menyerahkan mayat Kim kepada pegawai Korea Utara tanpa bedah siasat. Kedua-dua negara telah mengusir keluar duta masing-masing dan mengenakan pengharaman keluar ke atas rakyat masing-masing.
Pegawai dari kedua-dua negara kini cuba untuk berunding mencari penyelesaian, Subramaniam memberitahu, manakala satu sumber yang rapat dengan rundingan, dan enggan dikenali, memberitahu BeritaBenar bahawa rundingan sedang dijalankan di Kuala Lumpur.
Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan pembebasan sembilan rakyat Malaysia, termasuk tiga kakitangan di Kedutaan Kuala Lumpur di Pyongyang, yang telah terperangkap di Korea Utara sejak pengharaman keluar itu dibuat.
Pada 15 Mac lepas, Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkata Malaysia "melihat kepada semua kemungkinan," termasuk menyerahkan mayat Kim kepada Korea Utara sebagai pertukaran kepada perlepasaan sembilan rakyatnya yang berada di Pyongyang.
Subramaniam pada Selasa berkata, bahawa kementeriannya sedang menunggu arahan daripada Kementerian Luar Malaysia dan Pejabat Perdana Menteri.
"Kita perlu menunggu keputusan daripada perbincangan sebelum kita boleh membuat sebarang keputusan mengenai apa yang perlu dilakukan dengan mayat berkenaan," katanya kepada pemberita.
"Apabila perbincangan dimuktamadkan dan keputusan diambil, kami akan membuat pengumuman," katanya.
Subramaniam menafikan bahawa mayat Kim telah dibakar pada Ahad, sambil menambah tiada tindakan akan dilakukan tanpa persetujuan pihak yang terlibat. Kementerian masih menunggu waris Kim untuk menuntut mayat mendiang.
"Tetapi, malangnya, mereka (waris mendiang) belum lagi tampil ke hadapan untuk memberikan panduan tentang apa yang perlu dibuat dengan mayat itu, dan kini Kementerian Luar sedang cuba untuk mencari penyelesaian dan langkah yang harus diambil," kata Subramaniam.
Polis lawat Kedutaan Korea Utara
Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin diktator Korea Utara Kim Jong Un, telah diracuni dengan agen saraf yang diharamkan semasa sedang bersedia untuk menaiki pesawat di KLIA 2, pada 3 Feb lepas, menurut polis.
Dua wanita Asia Tenggara ditahan dan didakwa terlibat dalam pembunuhan Kim, dan pihak berkuasa tempatan mengenal pasti tujuh rakyat Korea Utara dikehendaki bagi soal siasat kes itu. Pedana Menteri Malaysia mendakwa ejen kerajaan Korea Utara terlibat dengan pembunuhan berkenaan.
Empat daripada suspek warga Korea Utara, telah dikesan melalui kamera CCTV di lapangan terbang pada hari pembunuhan itu, kemudiannya melarikan diri dari Malaysia pada 13 Februari, kata polis. Tiga suspek lain, termasuk Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara, masih dipercayai bersembunyi di kedutaan itu.
Pada Ahad, empat pegawai dari Cawangan Khas Polis Malaysia yang berpakaian biasa dilihat memasuki perkarangan kedutaan buat kali pertama sejak pertikaian itu tercetus bulan lalu, demikian menurut satu laporan oleh agensi berita Malaysia, Bernama.
Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan apa yang dilakukan oleh pegawai berkenaan selama tiga jam mereka berada di kompaun kedutaan itu.
Usaha BeritaBenar pada Selasa untuk menghubungi pihak berkuasa untuk mendapat maklumat mengenai kunjungan hujung minggu oleh pegawai Cawangan Khas itu, tidak berjaya.