KJN: Wanita Indonesia Terima Ganjaran Lawatan Ke Kemboja

Hadi Azmi
2018.02.09
Shah Alam, Selangor
kjn-aisyah20.jpeg Anggota Polis DiRaja Malaysia mengiringi tertuduh Indonesia, Siti Aisyah, dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, 9 Feb 2018.
[HadiAzmi/BeritaBenar]

Seorang wanita Indonesia yang dibicarakan di Malaysia atas dakwaan bersubahat membunuh abang tiri pemimpin diktator Korea Utara pada tahun lalu, berlatih beberapa aksi usikan serta diberi ganjaran melawat ke Kemboja sebelum pembunuhan lelaki itu, peguamnya berhujah di mahkamah pada Jumaat.

Peguam Siti Aisyah mengemukakan beberapa teks pesanan bagi menggambarkan anak guamnya sebagai peserta dalam apa yang wanita itu sangkakan sebagai rancangan televisyen realiti, semasa serangan maut dengan agen saraf dilakukan terhadap Kim Jong Nam di sebuah lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Feb. 2017.

"Kepentingan bukti hari ini adalah kami memberitahu mahkamah bahawa gadis ini telah ditipu untuk melakukan aksi usikan dan dipujuk untuk pergi ke lapangan terbang pada 13 Feb. Jadi, kita perlu menunjukkan mengapa Siti Aisyah berada di lapangan terbang pada hari itu dan selebihnya terpulanglah kepada pendakwaan untuk membuktikan bahawa dia melakukan pembunuhan itu, "kata peguam bela Gooi Soon Seng kepada mahkamah.

"Orang akan berbohong, tetapi keadaan tidak akan berbuat demikian dan kami mahu terus menunjukkan konsistensi ini menerusi pembenaran melalui teks pesanan," katanya.

Pendakwa telah menuduh Siti Aisyah dan tertuduh bersama Doan Thi Huong, 29, dari Vietnam, melakukan pembunuhan dengan melumurkan agen saraf VX pada muka Kim selepas menerima latihan daripada ejen Korea Utara yang kemudian melarikan diri dari Malaysia. Kedua-dua wanita boleh dihukum mati jika disabitkan dengan pertuduhan itu.

Siti menerima RM1,500 ringgit (US$380) pada Januari 2017 untuk membeli tiket ke Phnom Penh daripada seorang rakyat Korea Utara yang dikenali sebagai James (juga dikenali sebagai Ri Ji U), yang didakwa merangka penipuan  aksi usikan itu, kata penyiasat utama Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz semasa memberi keterangannya.

Gooi berkata, Siti Aisyah berlepas ke ibu negara Kemboja itu pada 21 Jan 2017 dan bertemu dengan James di sana. Wan Azirul berkata, perjalanan itu dibuat  pada hari berikutnya.

Sebelum ini, Wan Azirul memberi keterangan bahawa Siti telah dibayar RM400  ($101) oleh James selepas melakukan aksi usikan pada 5 Jan 2017 di pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Pada Jumaat, Gooi bertanya kepada Wan Azirul jika Siti Aisyah melakukan usikan lain pada hari berikutnya dengan James dan pemandu teksi rakyat Malaysia, Kamarudin Masyod, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebuah terminal bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di mana Kim dibunuh.

Peguam itu juga berkata, wanita itu melakukan empat lagi aksi usikan di dua hotel dan dua pusat beli-belah di Kuala Lumpur pada minggu sebelum pembunuhan itu.

Wan Azirul berkata, Siti Aisyah memberitahu penyiasat tentang aksi usikan itu tetapi tiada bukti rakaman CCTV yang menunjukkan ia berlaku.

Teks pesanan

Gooi mengemukakan siri teks pesanan untuk memperkukuhkan dakwaan pihak pembelaan bahawa wanita Indonesia itu telah ditipu untuk melakukan apa yang dia fikirkan sebagai aksi usikan.

Dalam satu perbualan teks yang bertarikh 11 Jan 2017, Siti Aisyah bertanya kepada James: "Hari ini tiada kerja?" Dan menerima jawapan: "Mungkin esok atau hari selepas itu kerana bos saya tidak berada di sini pada masa ini. Saya akan menghubungi anda esok untuk mengesahkannya. "

Dalam satu lagi perbualan teks lain empat hari kemudian, Siti Aisyah menulis: "Saya lihat hari ini aksi saya tidak bagus, bukan?" Merujuk kepada aksi usikan yang dilakukan di sekitar Menara Berkembar Petronas. James menjawab: "Tidak  nampak biasa."

Selepas sesi perbicaraan itu dipendekkan kerana Wan Azirul mengadu tidak sihat, Gooi memberitahu pemberita bahawa beliau kecewa kerana polis telah mengabaikan versi pembunuhan pihak pembelaan.

"Daripada jawapan yang diberikan, anda dapat lihat bahawa mereka tidak pernah disiasat sepenuhnya, itu adalah penyiasatan berat sebelah," katanya. "Pasukan penyiasat tidak pernah menjawab sebarang surat yang dihantar kepada mereka oleh pasukan pembelaan."

Gooi juga membangkitkan bahawa Wan Azirul tidak mampu untuk mengingati butiran yang penting.

"Beliau tidak kelihatan mahu memberi kerjasama. Semua yang kami tanyakan kepadanya, beliau membantahnya, beliau tidak ingat langsung, "kata Gooi. "Kami perlu menunjukkan kepadanya [bukti] dan barulah  beliau bersetuju.

"Saya mahu katakan bahawa dalam 38 tahun pengalaman saya melakukan kerja-kerja mahkamah, ini merupakan satu daripada kes yang amat luar biasa bagi saya."

Peguam Doan pula akan menyoal Wan Azirul selepas Gooi selesai melakukan pemeriksaan balas. Perbicaraan itu akan disambung semula pada 22 Feb.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.